Topic followed successfully
Go to BHkuPalang Merah S’pura buat rayuan kumpul dana awam sokong misi kemanusiaan Gaza
Palang Merah S’pura buat rayuan kumpul dana awam sokong misi kemanusiaan Gaza
Sebagai sebahagian daripada usaha rayuan, Palang Merah Singapura akan adakan pameran gambar
Palang Merah S’pura buat rayuan kumpul dana awam sokong misi kemanusiaan Gaza
Palang Merah Singapura (SRC) telah melancarkan rayuan dana awam demi menyokong kerja kemanusiaan berterusan di Gaza.
Bantuan kemanusiaan itu merangkumi sokongan perubatan, makanan, air, tempat tinggal, pendidikan dan psikososial untuk penduduk yang terjejas akibat konflik Israel-Palestin di Gaza.
Dalam kenyataan pada 6 Mac, SRC memaklumkan rayuan itu bersempena pelancaran pameran bergambar mengenai krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza.
SRC masih berusaha mencapai sasaran $500,000, seperti yang tertera di laman giving.sg, bagi tempoh rayuan dari 27 Oktober 2025 hingga 30 April 2026.
Sehingga 6 Mac, lebih $300,000 telah dikumpulkan, menurut laman web itu.
Pameran bergambar itu akan berlangsung dari Mac hingga Jun di pelbagai lokasi di Singapura.
Pameran pertama dijangka bermula dari 9 hingga 15 Mac di pusat beli-belah Tiong Bahru Plaza.
Bertema, ‘Dua tahun telah berlalu, kami masih di sini’, pameran itu, ujar SRC, melakar gambaran jelas bahawa bantuan kemanusiaan bukan sekadar sokongan segera. Ia adalah denyutan nadi pemulihan, daya tahan dan harapan jangka panjang bagi penduduk yang terjejas.
SRC berkata: “Pameran sebanyak tujuh panel gambar ini akan berkongsi gambaran mendalam mengenai kehidupan individu dan keluarga yang mengharungi krisis dan kehilangan tempat tinggal yang berpanjangan.
“Melalui gambar yang menarik, pengunjung dapat menyaksikan cabaran harian yang dihadapi oleh masyarakat yang terjejas.
“Ini meliputi kekurangan makanan, akses terhad kepada sumber air yang selamat, cabaran mencari tempat perlindungan, penjagaan kesihatan dan maruah (bangsa).”
SRC adalah antara beberapa pertubuhan yang menerima dana awal daripada pemerintah.
Pada Disember 2025, pemerintah mengumumkan penyaluran $1 juta sebagai dana permulaan untuk menyokong usaha pengumpulan dana awam bagi bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Jumlah itu akan diagihkan sama rata kepada SRC, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), Humanity Matters (HM) dan Mercy Relief.
Ia akan digunakan untuk membiayai bekalan air, sanitasi, kebersihan, makanan dan operasi bantuan lain di Gaza.
Difahamkan, ini adalah kali pertama inisiatif sedemikian dilaksanakan dalam usaha bantuan kemanusiaan untuk mangsa di Gaza.

