Penduduk Singapura yang bercuti di benua Afrika semasa musim sibuk pelancongan ke safari iaitu dari Julai ke September tidak perlu khuatir dikuarantin sekembalinya ke sini.
Pakar penyakit berjangkit berkata pelawat dan penduduk setempat yang masuk ke Singapura dari benua itu tidak perlu dikuarantin jika mereka tidak mengalami sebarang simptom penyakit mpox.
Buat masa ini, virus mpox sedang menular dengan pantas di Congo dan telah berjangkit ke negara jiran seperti Burundi, Central Africa, Rwanda dan Uganda.
Simptom mpox termasuk demam, ruam dan nod limfa yang bengkak.
Semua orang yang memasuki Singapura perlu melaporkan simptom berhubung mpox dan sejarah perjalanan mereka menerusi Kad Ketibaan SG, kata Kementerian Kesihatan (MOH).
Mpox, yang telah diisytihar sebagai kecemasan kesihatan awam sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggap tidak boleh berjangkit menerusi hubungan kasual dalam masyarakat sebagaimana yang berlaku semasa penularan Covid-19, kata Profesor Dale Fisher dari Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Menambah, beliau berkata kuarantin tidak diperlukan pada peringkat ini, kecuali jika ada orang yang masuk ke sini dari negara-negara Afrika dan orang itu telah berhubungan dengan orang yang dijangkiti mpox atau melibatkan diri dalam kegiatan risiko tinggi.
Orang yang melakukan kegiatan seksual risiko tinggi, seperti mempunyai berbilang pasangan seks didapati paling berisiko dijangkiti mpox pada masa ini.
Dr Barnaby Young, profesor bersekutu di Sekolah Perubatan Universiti Teknologi Nanyang-Lee Kong Chian berkata jangkitan mpox kebanyakannya adalah menerusi hubungan rapat dan secara langsung dengan individu yang dijangkiti, sesuatu yang boleh dielak oleh orang yang bertandang ke negara lain.
Menambah, beliau berkata perkara yang lebih mencetus keprihatinan adalah lebih separuh kes mpox di Congo melibatkan kanak-kanak.
Penularan mpox kali ini melibatkan jenis lebih membawa maut, iaitu clade Ib.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg