Topik diikuti
Pergi ke BHkuPadah dendam peribadi: Lelaki dijel 15 bulan dek kirim daging babi ke masjid
Padah dendam peribadi: Lelaki dijel 15 bulan dek kirim daging babi ke masjid
Mahkamah tegaskan hukuman berat cegah keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama S’pura
Padah dendam peribadi: Lelaki dijel 15 bulan dek kirim daging babi ke masjid
Disebabkan rasa tidak puas hati terhadap seorang wanita yang dikenalinya, seorang lelaki menghantar surat mengandungi hirisan daging babi berserta maklumat wanita tersebut ke beberapa masjid.
Bill Tan Keng Hwee, 62 tahun, yang hadir ke mahkamah menerusi pautan video pada 11 Mei, melakukan kesalahan itu kerana mahu penerima di masjid mengganggu wanita berkenaan.
Tan dijatuhi hukuman penjara setahun tiga bulan selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan perbuatan yang menyakiti perasaan keagamaan tiga pengadu beragama Islam.
Dia juga mengaku bersalah atas satu tuduhan gangguan yang melibatkan wanita tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Selene Yap berkata:
“Tindakan tertuduh mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama kita.
“Tindakan sedemikian mesti menerima bantahan keras daripada mahkamah dan isyarat jelas perlu diberikan bagi menghalang orang lain daripada melakukan tingkah laku antisosial dan memecahbelahkan masyarakat seperti ini.”
Butiran identiti wanita tersebut – yang dikenali sebagai C1 dalam dokumen mahkamah – tidak boleh didedahkan, berikutan perintah larangan bagi melindungi identiti beliau.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Sharmila Sripathy-Shanaz berkata kes itu melibatkan tempat ibadat, sambil menegaskan kesalahan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan agama dan mengancam ketenteraman awam di Singapura.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki warga Singapura itu berasa tidak puas hati terhadap C1 pada 11 September 2025.
“Dia kemudian merangka rancangan untuk menghantar surat yang mengandungi hirisan daging babi dan maklumat C1 ke beberapa masjid berbeza.
“Dia tahu hirisan daging babi itu akan menyinggung perasaan penganut Islam dan dia berniat supaya penerima di masjid tersebut menghubungi C1 selepas menerima surat itu untuk mengganggu wanita berkenaan,” kata DPP Yap.
Bagi menyiapkan surat tersebut, Tan membeli daging babi, kertas, sampul surat, selain menggunakan barangan lain yang ada di rumahnya.
Selepas menyiapkan surat berkenaan, dia menghantarnya melalui khidmat pos biasa pada 15 September 2025 ke tujuh masjid.
Ini termasuk Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris, Masjid Al-Abrar di Telok Ayer Street dan Masjid Ahmad di Lorong Sarhad, berhampiran South Buona Vista Road.
Tan memilih masjid tersebut secara rawak, kata DPP Yap.
Pada 19 September 2025, tiga individu yang mempunyai kaitan dengan masjid tersebut membuat laporan polis selepas menerima surat berkenaan.
C1 pula menerima panggilan telefon daripada seorang kakitangan sebuah masjid, lalu beliau membuat laporan polis pada hari yang sama.
Pada 11 Mei, DPP Yap memohon mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara sehingga satu tahun enam bulan terhadapnya.
“Tindakan tertuduh berpotensi besar mencemar keamanan yang diperjuangkan sekian lama dalam masyarakat berbilang budaya kita, dan hukuman yang dijatuhkan mesti memberi mesej jelas bagi menghalang perbuatan serupa (pada masa akan datang) berlaku lagi,” kata DPP Yap.
