Berita Harian meneruskan usaha mendekati orang muda melalui wadah terkhusus, OMGxBH yang berpangkalan di media sosial.
Namun jangkauan OMGXBH melebihi di alam maya dan ia telah mendekati golongan sasaran ini melalui lebih 20 sesi interaktif serta penganjuran bengkel penciptaan kandungan digital pada 2025.
Ini termasuk menyertai acara-acara khas untuk pelajar yang diadakan oleh institusi pendidikan tinggi seperti Politeknik Ngee Ann (NP), Politeknik Republic (RP), Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Selain itu, OMGxBH juga menganjurkan beberapa bengkel penciptaan kandungan digital bagi pelajar institusi pendidikan tinggi di bawah program Hari Media SPH anjuran SPH Media demi mengasah bakat muda dalam bidang media dan kreatif.
Para pelajar berpeluang belajar tentang penciptaan kandungan digital, mengetahui lebih lanjut tentang transformasi media berita di era digital serta skop pekerjaan dalam bilik berita.
Sementara itu OMGxBH juga menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperluas jangkauan dan membina hubungan yang lebih erat dengan masyarakat muda.
Antara penglibatan pada 2025 adalah sebagai rakan media rasmi Festival Dikir Singapura di Wisma Geylang Serai (WGS) anjuran Serumpun DK SG dengan kerjasama WGS.
Dalam pada itu, OMGxBH menganjurkan perjumpaan Hari Raya di Kampung Lorong Buangkok sebagai tanda penghargaan kepada pengikut setia buat julung-julung kali pada 2025.
Acara yang dihadiri 60 golongan muda itu menawarkan pengalaman unik, dengan anak muda dapat menikmati suasana meriah beraya di kampung, makan nasi ambeng sedulang, bermain bunga api, mencuba permainan tradisional dan memupuk semangat muhibah.
Acara itu adalah sebahagian usaha OMGxBH untuk menggabungkan media, budaya dan keterlibatan akar umbi dalam bentuk yang segar namun tetap menghargai warisan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg