Topik diikuti
Pergi ke BHkuNenek rai ulang tahun ke-100; syukur masih sihat, ingatan baik
Nenek rai ulang tahun ke-100; syukur masih sihat, ingatan baik
Ibu 15 anak dan 35 cucu nikmati kehidupan dengan semangat berdikari yang tidak pernah luntur
Nenek rai ulang tahun ke-100; syukur masih sihat, ingatan baik
Mencecah usia 100 tahun mungkin dianggap sebagai kemuncak sebuah kehidupan yang luar biasa.
Namun bagi Cik Juhara Abdul Rahib, usia seabad ini hanyalah satu lagi lembaran dalam perjalanan hidup yang panjang dan bermakna.
Pada 24 April lalu, beliau baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 di HomeTeamNS Bukit Batok.
Seramai 80 anggota keluarga termasuk anak, cucu dan cicit hadir bagi memeriahkan sambutan tersebut.
“Saya tak begitu terkejut mencapai usia 100 tahun,” ujar beliau yang mewarisi usia panjang daripada kededua ibu bapanya – bapanya hidup melepasi satu abad, manakala ibunya menjangkau usia lewat 90-an tahun.
Pada usia ini, Cik Juhara masih dikurniakan ingatan yang jernih serta semangat yang tidak pernah luntur.
Dikelilingi 15 orang anak yang menjadi nadi kehidupannya, beliau terus menikmati hari-hari tuanya dengan penuh rasa syukur.
“Saya happy anak-anak dan keluarga dapat meluangkan masa bersama,” katanya yang mengenakan kebaya merah jambu ketika Berita Harian (BH) mengunjungi sambutan itu.
Menurut anak ke-14, Cik Rozie Dasuri, 57 tahun, yang juga penjaga utamanya, kesihatan ibunya masih berada pada tahap yang baik tanpa sebarang penyakit kronik.
“Alhamdulillah kesihatan ibu masih berada dalam tahap yang baik dan tidak mengalami sebarang penyakit kronik.
“Malah, dalam sehari, ibu boleh minum sebanyak lima cawan kopi dengan gula dan susu,” kata eksekutif kanan itu.
Meskipun pernah menjalani pembedahan akibat tulang pinggul retak selepas terjatuh di rumah ketika ingin masuk ke bilik tidur pada Julai 2025, Cik Juhara tetap bersemangat untuk pulih dalam tempoh yang singkat.
“Mak menerima rawatan di Hospital Ng Teng Fong selama dua minggu sebelum menjalani pemulihan selama tiga minggu di Hospital Masyarakat Jurong,” kata Cik Rozie.
Sebagai seorang yang sentiasa aktif, ibunya dikatakan berasa dirinya seperti tidak lagi diperlukan, namun anak-anaknya berjaya mengisi masanya dengan pelbagai aktiviti seperti mewarna, melukis dan permainan papan.
“Selepas dikeluarkan dari hospital, beliau menjalani fisioterapi dua kali seminggu selama empat bulan. Buat ketika ini, kami mendapatkan doktor dari Khidmat Sosial Fei Yue untuk memeriksanya di rumah setiap bulan.
“Mak juga menerima rawatan secara berkala di Poliklinik Bukit Batok serta menyertai program CAL-Reach Care Circle,” tambah Cik Rozie.
Walaupun begitu, Cik Juhara mempunyai cara tersendiri dalam menjaga kesihatan.
“Beliau amat mengutamakan asam, gula dan garam. Sehinggakan jika Mak jatuh sakit, beliau tidak akan ke hospital tetapi lebih memilih untuk menggunakan rawatan tradisional,” kata Cik Rozie.
Ketika ditanya tentang aktiviti harian beliau pula, Cik Juhara kata beliau memulakan harinya seawal 4 pagi.
“Saya bangun awal, solat dan mengaji. Kadang berkebun dan cuba bersenam setiap minggu,” kata Cik Juhara.
Dari segi peribadi, beliau dikatakan sebagai seorang yang tegas dan berdisiplin tinggi, terutama dalam membesarkan anak-anak.
Nilai kebersihan, berdikari dan sifat rendah diri sentiasa menjadi pegangan hidupnya.
Walaupun jarang menegur secara lisan, beliau cukup dikenali dengan cara tersendiri – riak wajah atau sikap diam yang sudah memadai untuk menyampaikan maksud.
“Mak amat menjaga penampilan diri. Beliau memang suka bersiap dan kelihatan kemas kerana baginya, kekemasan mencerminkan keperibadian,” tambah Cik Rozie, 57 tahun.
BH sebelum ini pernah memaparkan kisah Cik Juhara yang masih ligat pada usia hampir 100 tahun.
Dalam rutin hariannya, Cik Juhara gemar melakukan kerja tangan seperti menjahit.
Antaranya termasuk menghasilkan selimut, pakaian seperti kebaya, serta menghadiahkan hasil tangannya kepada orang lain.
Beliau juga masih giat melancong, termasuk menziarahi anaknya yang berada di London, atau berjalan-jalan di Johor Bahru.
Selain itu, nenek kepada 35 cucu itu dikenali sebagai seorang tukang masak yang handal.
“Tiada siapa yang boleh kacau Mak bila beliau sibuk. Semua benda Mak nak buat sendiri sampaikan hari jadinya pun beliau masak sup daging dan bergedel buat tetamu.
“Kami dulu suka panggil Mak ‘Badang’ sebab semua barang berat beliau boleh angkat,” kongsi Cik Rozie.
Pada suatu ketika dahulu, beliau pernah menjalankan perniagaan makanan dan memasak dalam jumlah yang besar.
Sehingga kini, beliau masih gemar melakukan kerja sendiri tanpa bergantung kepada orang lain.
Dengan keluarga yang bakal mencapai lima generasi tidak lama lagi, bagi Cik Juhara, rahsia kehidupan bukanlah sesuatu yang rumit.
Ia terletak pada kesederhanaan, disiplin, kasih sayang keluarga dan pegangan agama yang terus menjadi panduan sepanjang satu abad kehidupannya.
