Rabiulawal kembali lagi. Bulan yang dikenali sebagai bulan Maulidur Rasul dalam kalangan masyarakat kita, sangat dinantikan sebagai bulan bagi mengadakan acara memperingati Rasulullah saw dan ajarannya.
Ini bukan bermakna kita menyambut Maulidur Rasul sebagai merayakan hari kelahiran Nabi saw seperti hari lahir yang diraikan individu tertentu.
Majlis yang diadakan sepanjang bulan ini adalah bagi mengingatkan umat Islam bagaimana kelahiran Rasulullah saw yang membawa ajaran Islam dan seterusnya membawa rahmat kepada sekalian alam, telah mengubah kehidupan manusia yang mengimaninya sejak 1,400 tahun dahulu sehingga hari kiamat.
Peringatan terhadap Rasulullah saw juga tidak hanya terbatas pada bulan tertentu atau majlis khas semata-mata.
Malah, ia sering disampaikan dalam setiap kesempatan dakwah melalui pelbagai wadah.
Melalui acara sebegitu, umat Islam diingatkan tentang perjuangan Baginda dalam menegakkan Islam di bumi Arab serta usaha para sahabat menyebarkannya sehingga Islam dianuti jutaan manusia di seluruh dunia hari ini.
Melalui majlis ilmu pula, masyarakat Islam diingatkan tentang sunah dan ibadah Baginda, cara hidup Baginda dalam berkeluarga dan bermasyarakat.
Pendek kata, melalui majlis Maulidur Rasul, umat Islam akan terus diingatkan agar sentiasa berusaha mengikut contoh yang baik daripada Rasulullah saw.
Sempena Rabiulawal juga, seperti kebanyakan badan Islam lain, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah akan turut mengadakan acara Zikr Rasul seperti tahun-tahun sebelumnya.
Acara itu akan berlangsung pada Sabtu, 20 September.
Pada sebelah pagi dari 8.30 hingga 12 tengah hari akan diadakan Musabaqah Tahfiz Al-Quran yang terbuka kepada pelajar madrasah sepenuh masa dan institusi tahfiz Al-Quran Singapura.
Acara juga akan diserikan dengan bacaan diba’i yang akan disampaikan oleh pelajar madrasah dan seterusnya juga akan diisi dengan tazkirah daripada alumni madrasah.
Selain acara pentas, akan diadakan juga jamuan beriani dam yang disediakan oleh syarikat Hasan Rabit Briyani House and Catering, bermula dari 10 pagi hingga 2 petang.
Kami juga akan menyediakan beberapa reruai menjual makanan dan pakaian di pekarangan madrasah. Orang ramai dipersilakan hadir.
Penulis merupakan Mudirah Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah.
Acara Zikr Rasul bakal diadakan pada Sabtu, 20 September 2025, bermula 8.30 pagi hingga 2 petang di pekarangan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, yang terletak di 589 Sims Avenue, Singapura 387600.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg