Topik diikuti
Pergi ke BHkuMOE kurangkan pendaftaran Darjah 1 secara berperingkat di sekolah rendah
MOE kurangkan pendaftaran Darjah 1 secara berperingkat di sekolah rendah
Langkah diambil kerana kemerosotan saiz kohort pelajar mulai 2027
MOE kurangkan pendaftaran Darjah 1 secara berperingkat di sekolah rendah
Bilangan pendaftaran murid Darjah 1 di kebanyakan sekolah rendah akan dikurangkan secara berperingkat, bermula dengan proses pendaftaran 2026.
“Ia akan mengurangkan keperluan penggabungan atau pemindahan sekolah, serta mengekalkan jumlah sekolah rendah yang seimbang di pelbagai kawasan Singapura bagi pelajar,” kata Kementerian Pendidikan (MOE) dalam satu kenyataan pada 29 April.
Langkah itu diambil kerana “kemerosotan ketara saiz kohort pelajar pada 2027 dan tahun-tahun seterusnya”, tambah kementerian itu.
MOE menyatakan ia sentiasa menyelaraskan pendaftaran di sekolah terpilih, selari dengan perubahan jumlah penduduk dan pembangunan perumahan baharu.
“MOE akan terus menilai permintaan tempat Darjah 1 berdasarkan saiz kohort kelahiran serta pembangunan perumahan masa hadapan, dan memastikan tempat sekolah mencukupi untuk setiap kanak-kanak di peringkat nasional dan kawasan,” katanya.
Pendaftaran bagi tahun persekolahan 2027 akan berlangsung dari 30 Jun hingga 30 Oktober.
Ibu bapa boleh menyemak fasa pendaftaran dan sekolah yang layak untuk anak mereka melalui portal dalam talian Pendaftaran Darjah 1.
Mereka memerlukan akaun Singpass yang sah dengan Pengesahan Dua Faktor (2FA) untuk log masuk, dengan hanya seorang ibu atau bapa diperlukan untuk menghantar pendaftaran.
Mereka yang memerlukan bantuan boleh menghubungi sekolah pilihan melalui e-mel atau telefon (9 pagi hingga 4.30 petang) sepanjang tempoh pendaftaran.
Ibu bapa boleh merujuk senarai sekolah rendah dan jumlah tempat yang ditawarkan dalam talian sebelum pendaftaran bermula.
Bilangan pemohon dan jumlah tempat yang ditawarkan akan dikemas kini setiap fasa.
Namun, angka itu bukanlah muktamad dan boleh berubah apabila pemohon menarik diri atau mengubah pendaftaran, tambah MOE.
Selepas setiap fasa, ibu bapa boleh melihat maklumat muktamad mengenai sekolah yang mempunyai tempat mencukupi tanpa perlu undian.
MOE berkata: “Kami menggalakkan ibu bapa mempertimbangkan pelbagai sekolah dan menilai bagaimana programnya memenuhi keperluan pembelajaran, minat dan kekuatan anak.
“Ibu bapa juga disaran memilih sekolah berdekatan untuk mengurangkan masa perjalanan dan memastikan pilihan pengangkutan lebih baik.”
Ibu bapa boleh melayari portal SchoolFinder MOE untuk maklumat lanjut serta melihat sekolah dalam jarak 2 kilometer dari alamat kediaman.
MOE mengingatkan ibu bapa supaya menggunakan alamat rasmi seperti dalam kad pengenalan.
Kanak-kanak yang mendapat keutamaan melalui kategori jarak rumah mesti tinggal di alamat tersebut sekurang-kurangnya 30 bulan dari permulaan pendaftaran.
Sesiapa yang memberikan maklumat palsu, khususnya alamat kediaman, akan dirujuk kepada polis.
Kanak-kanak yang berjaya mendaftar berdasarkan maklumat palsu atau tidak mematuhi syarat akan dipindahkan ke sekolah lain yang mempunyai tempat.
Kanak-kanak yang lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021 wajib menyertai pendaftaran 2026 atau mendaftar dalam program di sekolah pendidikan khas dibiayai pemerintah.
Pada Mac, MOE menyatakan ia sedang mengkaji semula rangka kerja pendaftaran Darjah 1, namun proses pendaftaran 2026 tidak terjejas.
“Butiran semakan semula akan diumumkan apabila siap,” tambahnya.
