Cinta Encik Hadisyafiq Mohd Salleh pada persembahan pentas dan muzik bermula sejak kecil lagi kerana pengaruh keluarga.

Kini, sebagai Eksekutif Estet dan Teknologi Maklumat di Masjid Alkaff Kampung Melayu, Encik Hadisyafiq, 36 tahun, mendapati minat tersebut benar-benar membantunya meneroka dunia audio secara serius dan menggalas amanah hariannya dengan lebih berkesan.

Ia juga menjadikannya insan lebih yakin diri dan peka dengan tanggungjawab profesional yang digalas dalam bidang teknologi maklumat dan pengurusan estet.

“Minat saya bermula apabila pak cik saya sering membuat persembahan di atas pentas.

“Saya juga menerima gitar pertama saya pada usia 13 tahun. Ia membawa perubahan besar dalam hidup saya sehingga saya terdorong melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan audio,” kongsinya yang memiliki Diploma Kejuruteraan Audio daripada Institut Sekolah Kejuruteraan Audio (SAE).

Minat tersebut terus berkembang sehingga membawa beliau aktif dalam bidang pengajaran gitar. Beliau menimba ilmu di Sekolah Muzik Yamaha di bawah bimbingan Rosli Mansor, di samping mempelajari teknik dan gaya permainan daripada gitaris tempatan seperti Abdul Shukor Jalil dan Paul Danial.

Dari situ, beliau mula membina asas pengetahuan teknikal dalam muzik serta bunyian, sebelum bergerak aktif sebagai tenaga pengajar gitar di Sekolah Muzik Cristofori di Singapura.

Sebagai tenaga pengajar, beliau menekankan bukan sahaja kemahiran bermain, bahkan pemahaman asas teori serta penghayatan muzik secara menyeluruh.

“Cara terbaik belajar secara mendalam adalah dengan mengajar orang lain,” ujarnya lagi.

Selain mengajar, beliau turut mencipta nama dalam bidang penulisan lagu, dengan menyertai pertandingan seperti Next Big Thing, anjuran stesen radio 987FM dan peraduan ILHAM di Wisma Geylang Serai (WGS).

Beliau berada dalam kalangan lima peserta terbaik atau ‘Top 5’ dalam kededua pertandingan.

Pengalaman pentasnya turut diperluas melalui persembahan di Esplanade, termasuk sajian hiburan memberi sanjungan buat seniman agung, Tan Sri P. Ramlee, yang memberi makna tersendiri dalam perjalanan seninya.

Dalam pada itu, peralihan kepada bidang perkhidmatan masyarakat berlaku secara beransur apabila beliau mula lebih kerap terlibat dengan kegiatan masjid.

“Saya semakin kerap ke masjid dan akhirnya timbul keinginan mahu menyumbang tenaga,” jelasnya, menggambarkan perubahan tumpuan dalam hidupnya.

Kini, Encik Hadisyafiq memainkan peranan penting dalam usaha pendigitalan masjid, termasuk dalam memastikan sistem teknologi maklumatnya berfungsi dengan lancar serta melatih kakitangan masjid dalam penggunaan teknologi dan pengurusan data.

“Pendigitalan penting untuk meningkatkan kecekapan operasi dan memudahkan urusan jemaah,” jelasnya.

Berbekal visi jangka panjang, beliau berharap dapat memperkukuh konsep ‘masjid bijak’, atau ‘smart mosque’, yang lebih moden dan berkesan, termasuk dalam penggunaan teknologi automasi dan inovasi digital bagi manfaat semua masjid di Singapura pada masa hadapan.

SEKILAS:

Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di TikTok: @alkaffkm. Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.