Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mi segera, sos dan garam akan ada label ‘Nutri-Grade’ pertengahan 2027

Apr 6, 2025 | 7:43 PM
Seperti label pada minuman, produk yang mengandungi sodium tinggi akan diberi nilai dari A hingga D – dengan D merupakan pilihan paling kurang sihat.
Seperti label pada minuman, produk yang mengandungi sodium tinggi akan diberi nilai dari A hingga D – dengan D merupakan pilihan paling kurang sihat. - Foto ZAOBAO

Label gred khasiat atau ‘Nutri-Grade’ akan diwajibkan untuk produk yang mengandungi kadar sodium yang tinggi seperti garam, sos, perasa dan mi segera menjelang pertengahan 2027, jika produk tersebut diberi penilaian C atau D. 

Langkah ini diambil bagi menggalak rakyat Singapura membuat pilihan pemakanan yang lebih sihat, di tengah kadar penyakit kronik yang tinggi.

Seperti label pada minuman, produk tersebut akan diberi gred dari A hingga D – dengan D merupakan pilihan paling kurang sihat.

Produk yang diberi gred D, dengan kadar sodium, gula, dan/atau lemak tepu tertinggi, tidak boleh diiklankan, lapor The Straits Times (ST).

Label tersebut juga akan dikemas kini untuk menyerlahkan bahan utama yang mempengaruhi penilaian muktamad produk, bagi membantu pengguna lebih memahami sebab di sebalik penilaian itu.

Sebagai contoh, jika kandungan sodium dalam sebuah produk mi segera dinilai C, tetapi kandungan lemak tepunya dinilai D, produk tersebut akan diberi penilaian muktamad D dan label ‘Nutri-Grade’ akan menyerlahkan kandungan lemak tepu di dalamnya.

Skim ‘Nutri-Grade’ untuk minuman yang dikuat kuasa pada Disember 2020 telah memberi kesan positif dalam mendorong pengeluar untuk mengurangkan tahap gula dalam produk mereka.

Kadar gula median bagi minuman prabungkus telah turun daripada 7.1 peratus pada 2017 kepada 4.6 peratus pada September 2023.

Kini, pemerintah berharap inisiatif label ‘Nutri-Grade’ diperluas ini dapat membantu mengurangkan pengambilan sodium dan lemak tepu berlebihan pengguna.

Mengumumkan skim yang diperluas ini pada acara memperingati ulang tahun ke-55 Yayasan Jantung Singapura pada 6 April, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung berkata:

“Kesihatan baik sebenarnya tidak memerlukan kos yang tinggi. Ia berkaitan dengan amalan mudah, menjadi lebih aktif secara fizikal, mengamalkan tabiat tidur yang baik, mengurangkan pengambilan garam, sos, dan minyak masak.

“Apabila kita memasak, pilihlah produk dengan (logo) pilihan lebih sihat. Saya fikir ia mungkin akan rasa lain pada mulanya. Ia memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri. Tetapi tidak lama selepas itu... anda akan mula merasa bahan-bahan tersebut berbanding rasa sos.”

Sistem penilaian yang berbeza akan diterapkan bagi produk seperti garam, sos, perasa, mi segera, dan minyak masak.

Produk tersebut dibahagikan kepada 23 subkategori, termasuk garam dan pengganti garam, minyak masak serta pelbagai bahan perasa seperti kicap, sos tiram, campuran perasa, sup, stok, serta mi segera.

Setiap subkategori akan mempunyai kriteria tersendiri untuk penilaian gred A hingga D.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) berkata sistem penilaian ini menggalakkan rumusan semula dalam setiap subkategori produk, sambil mengekalkan kepelbagaian dalam hidangan Singapura.

Skim ini bertujuan menggalak pengguna beralih kepada bahan alternatif yang lebih sihat bagi setiap jenis produk.

MOH dan HPB telah menghubungi lebih daripada 7,000 rakan dari industri dan pakar, serta orang awam, dalam membangunkan langkah ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg