Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mendaki, syarikat maritim perkenal biasiswa baru bernilai $30,000

Dermasiswa ETF-GRG bernilai $70,000 turut dilanjut hingga 2030 bagi biayai 40 pelajar politeknik, ITE
Jan 9, 2026 | 5:33 PM
Mendaki, syarikat maritim, biasiswa
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber (dua dari kanan), bergambar bersama Pengerusi merangkap Pengarah Urusan, Global Radiance Group of Maritime Companies (GRG), Encik Abdul Lateef Siddiqui (dua dari kiri), setelah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) di ibu pejabat Mendaki pada 9 Januari. Turut bersama mereka adalah Timbalan CEO Mendaki, Dr Noraslinda Zuber (kanan), dan Pengurus Sumber Manusia Kanan GRG, Cik Nooraine Minhaj. - Foto MENDAKI

Mendaki dan Global Radiance Group of Maritime Companies (GRG) telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) bernilai $100,000 bagi menyokong pelajar Melayu/Islam yang berminat dalam kerjaya sektor maritim dan kejuruteraan, berkuat kuasa dari 2026 hingga 2030.

MOA yang ditandatangani pada 9 Januari di ibu pejabat Mendaki di Kee Sun Avenue itu, merangkumi perluasan Dermasiswa Dana Amanah Pendidikan (ETF)-GRG sedia ada bernilai $70,000, yang mula dilancar pada 2020.

Biasiswa Mendaki-GRG baru bernilai $30,000 turut diperkenalkan, bakal memberi manfaat kepada 10 pelajar politeknik dalam tempoh lima tahun dari 2026 hingga 2030.

Perjanjian itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mendaki, Encik Feroz Akber, dan Pengerusi merangkap Pengarah Urusan GRG, Encik Abdul Lateef Siddiqui.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan CEO Mendaki, Dr Noraslinda Zuber, dan Pengurus Sumber Manusia Kanan GRG, Cik Nooraine Minhaj.

Dalam kenyataan bertarikh 9 Januari, Encik Feroz menzahirkan penghargaan kepada GRG atas sokongan tanpa belah bahagi dan komitmen meluas mereka memperkenalkan biasiswa tambahan itu.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Mendaki kekal komited menyediakan peluang berterusan untuk masyarakat Melayu/Islam.

“Kerjasama ini memperkasakan pelajar kita dengan peluang untuk cemerlang dalam pendidikan dan kerjaya masa depan mereka.

“Dengan sokongan (GRG), lebih ramai pelajar Melayu/Islam akan mendapat manfaat dalam tempoh lima tahun akan datang, berdasarkan kejayaan yang telah kita lihat sejak 2020,” kata Encik Feroz.

Dermasiswa ETF-GRG akan menaja 40 pelajar Melayu/Islam dari politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE), yang mengikuti pengajian sepenuh masa dalam bidang maritim atau kejuruteraan.

Setiap tahun, dermasiswa itu akan diagihkan kepada empat pelajar politeknik ($2,000 setiap seorang) dan empat pelajar ITE ($1,500 setiap seorang).

Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Mendaki berkata biasiswa itu terbuka kepada pelajar Melayu/Islam yang merupakan warganegara Singapura atau Penduduk Tetap (PR).

Pemohon perlu menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang, dengan Gred Mata Purata (GPA) minimum 2.0.

Syarat kelayakan lain termasuk pendapatan per kapita (PCI) isi rumah $1,000 ke bawah, dan tidak menerima dermasiswa lain pada tahun yang sama.

Di bawah Biasiswa Mendaki-GRG yang baru, setiap pelajar akan menerima $3,000 sebagai pengiktirafan atas keputusan akademik cemerlang, tingkah laku teladan, dan mutu kepimpinan mereka.

Mengulas mengenai MOU itu, Encik Abdul Lateef, menegaskan kepercayaan teguhnya terhadap prinsip menyumbang kembali kepada masyarakat dan menyokong pendidikan kerana kesannya jauh melangkaui bilik darjah.

“Apabila seorang kanak-kanak dididik, seluruh generasi akan diangkat, sebuah masyarakat akan diperkukuhkan, dan sebuah negara dapat bergerak maju.

“Saya amat percaya dalam prinsip mengajar cara menangkap ikan, dan bukannya sekadar memberi ikan untuk dimakan, kerana pendidikan mewujudkan maruah, kebebasan, dan perubahan yang berkekalan,” tambahnya.

Sejak dilancarkan pada 2020, lebih 200 pelajar ITE dan politeknik telah meraih manfaat daripada Dermasiswa ETF-GRG, tambah Mendaki.

Salah seorang bekas penerimanya, Muhammad Nur Iman, 18 tahun, berkongsi bahawa dermasiswa itu telah meringankan kebimbangan kewangannya.

Pelajar Tahun 2 Nitec Lanjutan dalam Pengurusan Sukan di ITE itu menambah, ia juga membolehkannya memberi tumpuan kepada pengajiannya dengan keyakinan yang lebih tinggi.

“Ia juga telah memberi inspirasi kepada saya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dengan melatih pelajar yang lebih muda,” kata Muhammad.

“Saya amat berterima kasih atas sokongan tersebut dan saya terdorong untuk melihat lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada dermasiswa ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg