Media sosial tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada bahasa Melayu.

Sebaliknya, ia boleh menjadi antara ruang baharu yang membantu memastikan bahasa itu terus hidup dan relevan dalam kalangan generasi muda, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.

Beliau menjelaskan bahawa pembelajaran bahasa Melayu hari ini tidak lagi berlaku hanya di bilik darjah, malah turut berlangsung di rumah, dalam masyarakat dan di wadah digital seperti TikTok.

“Kita tidak lihat pembelajaran bahasa Melayu itu sesuatu yang akan bersaing dengan segala apa yang diletakkan di media sosial walaupun di TikTok.

“Selagi mana penggunaan bahasa Melayu itu terus diperjuangkan dan digunakan secara organik oleh masyarakat, kita rasa bahasa Melayu itu akan terus berkembang,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi podcast NoTapis Live, bertajuk ‘Melayu atau MeLAYU? Bahasa Melayu Dalam Dunia Moden’, sempena acara kemuncak Piala Podcast 2026 di Institut Millennia (MI) pada 4 Julai.

Piala Podcast, anjuran MI dengan sokongan MLLPC itu, antara lain, menyediakan platform bagi pelajar menghasilkan podcast dan mengetengahkan idea mereka.

ia sekali gus menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi digital.

Berita Harian (BH) ialah rakan media rasmi pertandingan tersebut.

Menurut Dr Syed Harun, pendekatan yang diambil untuk mengajar bahasa hari ini sudah bertukar dengan menggunakan wadah digital seperti wadah pembelajaran digital Ruang Pembelajaran Pelajar (SLS), video dan juga sumber berlainan dalam talian.

Dr Syed Harun berkata bahasa Melayu juga perlu mengikut arus kemodenan supaya terus kekal relevan untuk generasi akan datang.
Dr Syed Harun berkata bahasa Melayu juga perlu mengikut arus kemodenan supaya terus kekal relevan untuk generasi akan datang. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Merujuk kepada pertandingan podcast tersebut, beliau menjelaskan pendekatan pengajaran bahasa harus berkembang mengikut peredaran zaman.

“Mungkin pada masa dahulu kita gunakan dialog ataupun berbahas tetapi sekarang mungkin lebih cenderung kepada podcast, vlog dan sebagainya.

“Bagaimana kita dapat menghidupkan lagi mungkin pementasan bangsawan ataupun drama berpantun atau berpuisi dalam wadah masa kini adalah antara cabaran kita.

“Tetapi dari segi menarik minat ramai, perlulah kita lebih terbuka menggunakan wadah baharu dan kerana ia akan menjejas bagaimana kita mengekalkan dan meningkatkan kesesuaian bahasa kita pada masa hadapan,” ujarnya.

Pandangan itu turut dikongsi penulis muda dan pengasas bersama kolektif penulisan Meja Conteng, Cik Nur Aisyah Lyana Mohamed Satria, yang menyifatkan media sosial sebagai ruang baharu untuk bahasa Melayu terus berkembang.

Cik Aisyah Lyana Mohamed Satria berkata walaupun kandungan di media sosial kadangkala menggunakan bahasa rojak atau kurang baku, penggunaan bahasa secara semula jadi mampu mendekatkan golongan muda dengan bahasa Melayu.
Cik Aisyah Lyana Mohamed Satria berkata walaupun kandungan di media sosial kadangkala menggunakan bahasa rojak atau kurang baku, penggunaan bahasa secara semula jadi mampu mendekatkan golongan muda dengan bahasa Melayu. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

“Kalau dulu bahasa Melayu mungkin lebih banyak dikaitkan dengan sekolah atau majlis rasmi, sekarang ada lagi satu wadah baharu, iaitu media sosial.

“Sebagai seorang penulis, bahasa yang hidup itu ialah bahasa yang digunakan,” katanya.

Menurut Cik Aisyah, walaupun kandungan di media sosial kadangkala menggunakan bahasa rojak atau kurang baku, penggunaan bahasa secara semula jadi mampu mendekatkan golongan muda dengan bahasa Melayu.

“Bahasa yang digunakan secara semula jadi itu mungkin dapat mendekatkan lagi para pelajar kepada apa yang mereka lihat di media sosial,” ujarnya.

Sementara itu, pencipta kandungan, Cik Sofia Daud, yang lebih dikenali sebagai ‘soficattt’, berkata media sosial kini memainkan peranan yang jauh lebih besar dalam membentuk cara generasi muda mempelajari bahasa dan budaya Melayu.

Sebagai pencipta kandungan Melayu, Sofia Daud, berkata tanggungjawab lebih besar kini diletakkan bagi pencipta kandungan melestarikan bahasa Melayu.
Sebagai pencipta kandungan Melayu, Sofia Daud, berkata tanggungjawab lebih besar kini diletakkan bagi pencipta kandungan melestarikan bahasa Melayu. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Menurut Cik Sofia, perkembangan itu membolehkan bahasa dan budaya Melayu diperkenalkan kepada masyarakat umum.

Namun pada masa yang sama, Cik Sofia berkata ia meletakkan tanggungjawab yang lebih besar kepada pencipta kandungan.

“Sejujurnya, saya rasa tertekan juga,” jelasnya seraya ketawa.

“Sebagai pencipta kandungan yang berbangsa Melayu, saya rasa saya ada tanggungjawab untuk mempengaruhi anak muda mengenai budaya Melayu, bukan sekadar bahasa sahaja.

“Identiti seseorang merangkumi nilai, budi bahasa dan adat.

“Jadi, saya rasa tak adil sekiranya kita menilai identiti seseorang dengan bahasa saja,” tambahnya.

Walaupun begitu, Cik Sofia menjelaskan, beliau akan meneroka usaha lain bagi meningkatkan pendekatan bahasa melalui sari kata bahasa Melayu dalam kandungan yang dihasilkannya.

Mengulas mengenai masa depan bahasa Melayu, Dr Syed Harun, melahirkan rasa optimis beliau selagi bahasa itu terus digunakan dalam pelbagai konteks kehidupan.

“Bagi saya, ukuran kejayaan ialah bahasa Melayu kekal digunakan bukan sahaja di bilik darjah, bahkan juga dalam keluarga, masyarakat dan untuk kita membincangkan isu-isu semasa.

“Bukan sahaja penggunaan bahasa Melayu itu meluas, malah, ia juga perlu mengikut arus kemodenan supaya terus kekal relevan untuk generasi akan datang,” katanya.