Dalam kawasan kejiranan MacPherson, kelibat Cik Rahimah Ma’arof, sering mencuri perhatian.
Pada usia 66 tahun, beliau mengetuai sesi Zumba sekurang-kurangnya satu jam setiap Rabu demi menggalakkan penduduk terutamanya warga senja agar mereka hidup lebih aktif.
Sambil itu, beliau juga berkongsi cara menyediakan hidangan tradisional secara lebih sihat.
Aktiviti seperti ini menjadi sebahagian daripada komitmennya sebagai Duta Kesihatan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) sejak 2012.
Kata HPB, terdapat seramai 500 sukarelawan memegang tanggungjawab itu setakat September 2025.
Dalam peranan itu, duta sukarelawan seperti Cik Rahimah bertanggungjawab dalam menggalakkan para penduduk lain dalam memupuk gaya hidup sihat dengan menjalankan latihan senaman fizikal dan membimbing dalam memuat naik aplikasi ‘Healthy 365’ – agar mereka menyertai cabaran kesihatan demi mengalakkan mereka kekal sihat.
Namun, pendekatannya tidak hanya bersifat umum.
Menurutnya beliau memberi penekanan kepada masyarakat Melayu/ Islam, yang menurutnya memerlukan sentuhan budaya dan kefahaman yang tertentu dalam memilih gaya hidup sihat sebagai rutin.
Antara langkah yang dilaksanakan nenek tiga cucu itu termasuk menyediakan penterjemah Melayu semasa ceramah kesihatan berlangsung, serta menggalakkan penggunaan bahan rendah lemak dalam demonstrasi memasak.
“Kita perlu sesuaikan mesej kesihatan supaya masyarakat rasa mudah faham,” tambahnya.
Malah dalam rutin hariannya, beliau juga menerapkan gaya hidup sihat.
Dari rumahnya di Circuit Road, Cik Rahimah berjalan kaki setiap hari ke Kelab Masyarakat (CC) Macpherson dan ke tempat kerjanya di Paya Lebar Quarter dekat Paya Lebar Road.
Ini mengambil masa sekitar 20 minit bagi setiap perjalanan.
Setiap hujung minggu juga, beliau akan memilih untuk berjalan kaki ke Masjid Wak Tanjong untuk melakukan kerja sukarela di sana.
Baginya, keadaan tubuh yang sihat membolehkannya terus menyokong keluarganya dan berkhidmat kepada masyarakat.
Sebagai duta yang berpengalaman lebih sedekad, Cik Rahimah berdepan pelbagai cabaran, khususnya persepsi dalam kalangan warga emas Melayu bahawa masalah seperti kencing manis atau tekanan darah tinggi adalah “penyakit biasa” apabila mereka menua.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa banyak komplikasi kesihatan boleh dicegah melalui perubahan kecil dalam tabiat harian.
Lantas, beliau berharap dapat terus memimpin kegiatan dan sedikit sebanyak mendidik masyarakat meskipun usianya telah mencecah 60-an tahun.
Malah, baginya, usia bukan alasan untuk berundur.
“Kalau kita jaga kesihatan, kita boleh terus bergerak dan terus bantu yang lain,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg