Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekitar 150 individu Islam ikrar sumbang harta kepada Wakaf Masyarakat S’pura

Faishal: Lebih ramai umat Islam pilih wakaf melalui CPF, wasiat
Jan 13, 2026 | 5:30 PM
wakaf masyarakat singapura, faishal ibrahim, cpf, wasiat
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. - Foto fail

Lebih ramai individu Islam telah berikrar untuk menyumbangkan harta mereka kepada Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), dengan sekurang-kurangnya 150 orang telah menetapkan wakaf itu sebagai penerima melalui wasiat, pencalonan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atau polisi insurans mereka.

Demikian kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam satu jawapan bertulis pada 13 Januari sebagai respons kepada soalan Parlimen yang diajukan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik (GRC Sengkang).

Encik Abdul Muhaimin telah bertanya tentang jumlah individu Islam yang telah menetapkan WMS sebagai penerima harta melalui wasiat, pencalonan CPF atau polisi insurans mereka dan bagaimana pemerintah akan memastikan semua segmen masyarakat Islam memahami dan dapat menyumbang kepada wakaf itu.

Dr Faishal berkata wakaf itu, yang dilancarkan pada Ogos 2024, bertujuan mewujudkan aliran pendanaan jangka panjang yang mampan bagi keperluan sosial dan keagamaan masyarakat Islam negara ini.

“Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) melaksanakan pendekatan menyeluruh untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang WMS dan menggalakkan sumbangan.

“Ini termasuk kerjasama dengan institusi keagamaan dan korporat untuk memperluaskan akses kepada saluran sumbangan WMS, serta menggalakkan penyertaan masyarakat semasa perayaan utama seperti Ramadan, ibadah haji dan tahun baru Islam.

“Langkah-langkah ini membantu memastikan setiap segmen masyarakat memahami kepentingan WMS dan dapat menyumbang mengikut kemampuan mereka,” kata beliau.

Pada September 2025, Berita Harian (BH) melaporkan lebih ramai individu Islam telah membuat perancangan harta untuk menyumbang kepada entiti seperti masjid, madrasah dan wakaf selepas kematian.

Jumlah individu itu meningkat lebih seganda dalam sembilan bulan pertama 2025 berbanding 2024 iaitu daripada lebih 55 individu pada 2024 kepada lebih 120 individu pada 2025.

Perancangan harta itu dilakukan melalui penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), penamaan insurans dan juga wasiat.

Berucap pada acara pembukaan rasmi Perkampungan Perancangan Legasi Islam (ILPV) pada ketika itu, Dr Faishal berkata kesedaran terhadap perancangan legasi dalam kalangan masyarakat Islam itu amat memberangsangkan.

Namun begitu, lebih 55 peratus umat Islam di Singapura masih belum membuat perancangan harta mereka.

Dr Faishal berkata walaupun perancangan untuk anggota keluarga harus diutamakan, beliau turut menggalakkan masyarakat mempertimbangkan pemberian harta seperti sumbangan kepada badan-badan Melayu/Islam, masjid, madrasah atau wakaf dan dana masyarakat lain.

Ini demi mewujudkan kebaikan berpanjangan bagi generasi seterusnya.

“Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) melaksanakan pendekatan menyeluruh untuk meningkatkan pemahaman masyarakat tentang WMS dan menggalakkan sumbangan... Langkah-langkah ini membantu memastikan setiap segmen masyarakat memahami kepentingan WMS dan dapat menyumbang mengikut kemampuan mereka.”
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg