Topik diikuti
Pergi ke BHkuRuang khusus bagi peniaga Melayu di TKC baru
Ruang khusus bagi peniaga Melayu di TKC baru
Tanjong Katong Kompleks diperbarui dijangka siap 2028, DPPMS akan kelola ruang khusus pikat peniaga Melayu, termasuk bekas penyewa
Ruang khusus bagi peniaga Melayu di TKC baru
Perbincangan kini sedang diadakan dalam usaha memudahkan perniagaan dan usahawan Melayu membuka kedai di Tanjong Katong Complex (TKC) yang berwajah baru, termasuk berhubung harga sewa.
Sekitar 1,500 meter persegi - atau kira-kira 5 peratus daripada ruang lantai kasar maksimum sekitar 30,000 meter persegi - di pusat beli belah itu bakal dikhususkan bagi perniagaan dan inkubasi keusahawanan Melayu.
Ruang tersebut akan dibangunkan dan dikelolakan oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
DPPMS juga berperanan untuk mengenal pasti penyewa yang sesuai serta menyokong usaha inkubasi perniagaan baru, selain memastikan campuran konsep niaga yang bukan hanya berdaya maju dari segi komersial, malah juga relevan kepada masyarakat.
Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan, memberitahu Berita Harian (BH) pihaknya mengusulkan model perniagaan yang “mengimbangi kemampanan komersial dengan aksesibiliti bagi usahawan”, terutamanya pemilik perniagaan baru dan peniaga kali pertama.
Sewa yang bakal dikenakan juga selaras dengan model perniagaan tersebut.
“Sejauh mungkin, kami sedang meneroka pilihan yang dapat memberikan titik kemasukan yang lebih mudah, terutamanya bagi konsep inkubasi atau jangka pendek,” kata Encik Abdul Malik.
Menambah, Encik Abdul Malik berkata ruang khusus bagi perniagaan dan usahawan Melayu itu tidak terhad kepada runcit sahaja, dan akan menampilkan campuran perniagaan lain termasuk makanan dan minuman (F&B), khidmat gaya hidup dan mungkin kedai konsep ‘pop-up’.
Kepelbagaian ini penting bagi mewujudkan ekosistem bertenaga yang menarik kunjungan pelanggan yang berterusan serta menawarkan pengalaman menyeluruh kepada mereka, ujarnya, yang berkata lokasi ruang khusus tersebut dalam TKC masih dibincangkan bersama pemaju hartanah.
Tujuannya adalah bagi ruang itu ditempatkan secara strategik supaya mudah dilihat, senang dikunjungi, dan mendapat kunjungan pelanggan yang ramai,” kata Encik Abdul Malik lagi.
TKC ditutup sejak Ogos 2023 untuk menjalani kerja-kerja peningkatan yang dijangka siap pada separuh pertama 2028. Ia akan dibuka semula secara berfasa menyusuli itu, kata jurucakap syarikat hartanah Elegant Group apabila dihubungi Berita Harian (BH).
Pelancaran penjualan TKC melalui tender Konsep dan Hasil Harga diumumkan pada Oktober 2024, dengan tender itu dimenangi dengan harga bidaan $90,000,888 daripada Jun Jie Development, sebuah syarikat yang ada kaitan dengan Elegant Group.
Dalam pada itu, pengarah eksekutif DPPMS, Cik Nadiah Hassan, berkata pihaknya telah memulakan usaha mendekati bekas penyewa TKC dan sebahagiannya telah melahirkan hasrat untuk kembali, terutamanya mereka yang mempunyai ikatan warisan yang kuat dengan pusat beli-belah tersebut.
DPPMS sedang berusaha untuk menyokong perniagaan sedemikian melalui khidmat nasihat, pemudah cara, dan di mana bersesuaian, membantu mereka menyesuaikan konsep perniagaan dengan permintaan pasaran semasa, kata Cik Nadiah.
Menurut Cik Nadiah, terdapat minat yang kukuh juga daripada anggota DPPMS dan usahawan baru - merangkumi jenama terkenal dan perniagaan baru - yang berminat untuk memulakan perniagaan di hab budaya dan komersial di TKC.
“DPPMS akan menyokong perniagaan melalui gabungan program pembangunan keupayaan, termasuk pendigitalan, penjenamaan, pengalaman pelanggan, dan kedudukan pasaran.
“Kami juga akan mempermudahkan kolaborasi, kerjasama, serta peluang pendedahan untuk membantu perniagaan kekal berdaya saing dalam landskap runcit yang kian berkembang. Aspek pengalaman, ketulenan, dan pemasaran pelbagai saluran kian dipentingkan,” kata Cik Nadiah.
Antara lain, DPPMS juga akan bekerjasama dengan pemaju hartanah dan arkitek bagi memastikan TKC mengekalkan identitinya sebagai hab budaya dan komuniti utama bagi masyarakat Melayu/Islam.
Ini akan dilakukan melalui pemilihan penyewa yang teliti, program yang berpaksikan budaya, serta acara dipacu masyarakat yang meraikan warisan di samping mendakap kesesuaian zaman.
