Warga Singapura telah menderma $200,000 kepada Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) untuk membantu mangsa gempa bumi di Myanmar dan Thailand.
Dalam kenyataannya pada 12 Julai, RLAF berkata dana tersebut akan digunakan untuk menjalankan operasi bantuan kemanusiaan menyeluruh, termasuk mengagihkan bekalan wajar seperti makanan dan air, serta selimut dan kit membersihkan diri.
Gempa bumi berukuran 7.7 di skala Richter yang melanda Myanmar pada 28 Mac itu adalah gempa bumi paling kuat yang berlaku di sana sejak 1912.
Ia meragut lebih 5,000 orang di negara tersebut dan juga di negara jiran, Thailand.
Lebih 80,000 orang lagi terjejas.
RLAF bekerjasama dengan Palang Merah Singapura (SRC) untuk melancarkan kempen mengumpul dana selama sebulan sepanjang April 2025 untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana tersebut.
Dana yang dikumpulkan itu diserahkan dalam bentuk cek simbolik oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RLAF Encik Adnan Abdul Hamid kepada Penolong Setiausaha Agung Operasi SRC, Cik Charis Chan, dalam satu majlis khas pada 12 Julai.
Penyerahan itu disaksikan oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Pengerusi RLAF, Encik Abdul Razak Maricar.
Dr Faishal berkata kempen mengumpul dana itu menunjukkan kekuatan kerjasama, sikap bersimpati dan tanggungjawab bersama.
“Kerjasama RLAF dan SRC cerminan etos negara iaitu menjadi masyarakat yang prihatin dan memandang ke luar... yang bukan sahaja memberi respons kepada keperluan dalam negeri, malah tampil untuk membantu jiran yang memerlukan bantuan,” kata Dr Faishal.
“Saya amat berbesar hati dengan sifat murah hati yang ditunjukkan oleh warga Singapura, termasuk masyarakat Melayu/Islam yang bersatu untuk menyokong matlamat ini.”
Cik Chan berkata penyampaian cek itu menunjukkan komitmen yang dikongsi untuk bersatu dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan dan melahirkan harapan untuk dapat terus bekerjasama dengan RLAF untuk membantu orang berkeperluan bukan sahaja di rantau ini, malah di tempat lain.
Pada April 2025, akhbar ini melaporkan SRC telah mengumpulkan lebih $2.7 juta untuk membantu mangsa gempa bumi di Myanmar dan Thailand.
Dalam pada itu, 12 projek yang dipimpin belia menerima Geran Masyarakat RLAF 2025 pada 12 Julai.
Geran tersebut, yang diberikan secara tahunan, menyokong projek masyarakat yang digerakkan belia untuk membantu masyarakat di dalam dan luar negara.
Menurut RLAF, ia telah mengeluarkan geran sekitar $100,000 hingga $200,000 secara tahunan sejak 2009 untuk menyokong lebih 100 projek masyarakat di dalam dan luar negara.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg