Dua orang pekerja sedang mengecat bahagian luar flat HDB di Sims Place apabila salah seorang daripada mereka ternampak sisa rangka mayat di salah satu unit melalui tingkap flat itu pada 28 Mac.
Selepas pegawai polis dipanggil ke tempat kejadian, mereka mendapati seorang lelaki berusia 71 tahun terbaring tidak bergerak di dalam unit itu, dan lelaki itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Bercakap kepada akhbar Shin Min Daily, jiran lelaki itu berkata, beliau tinggal bersendirian di flat itu, dan mereka tidak pernah melihat sesiapa melawatnya sejak tujuh tahun lalu.
Kali terakhir mereka melihat lelaki itu adalah sekitar setahun yang lalu.
Menurut akhbar itu, ketika lawatan ke blok berkenaan pada kira-kira jam 4 petang pada 28 Mac, sebuah notis di tingkat bawah memaklumkan penduduk tentang projek pengubahsuaian yang sedang dijalankan.
Salah satu projek yang sedang dijalankan adalah mengecat bahagian luar blok itu, yang dijangka berlangsung dari 10 Mac hingga 10 Mei.
Salah seorang pengecat bangunan memberitahu wartawan akhbar Shin Min, beliau ‘segera memaklumkan pengurusnya dan menghubungi polis’ ketika terhidu bau busuk semasa berada dekat dengan unit si mati.
Menurut pengecat yang lain, rangka tulang itu ditemui di atas katil di dalam bilik tidur flat itu.
Unit si mati telah pun dikepung oleh pihak polis, ketika wartawan Shin Min menziarah lokasi.
Memandangkan unit itu gelap, pegawai terpaksa menyiasat bahagian dalamannya dengan menggunakan lampu suluh.
Shin Min menjangkakan bahawa elektrik dan air flat itu telah terputus kerana bil utiliti tidak dibayar selama berbulan-bulan.
Di pintu unit itu, wartawan melihat notis bertarikh 6 September dan 16 September 2024, memberitahu si mati untuk menukar sistem penggera kebakaran flat itu.
Beberapa jiran berkongsi bahawa mereka pernah melihat pegawai polis melawat flat itu beberapa kali sebelum ini, tetapi tiada sesiapa yang membuka pintu.
Menurut Shin Min, timbunan barang boleh ditemui di dalam bilik tidur dan ruang tamu.
Seorang jiran memberitahu akhbar itu bahawa lelaki itu pernah menjadi peniaga karung guni yang akan membawa tin besi dan barangan terpakai ke rumahnya.
Seorang lagi penduduk berkata, mendiang “hanya keluar pada waktu malam” dan jarang berinteraksi dengan jirannya.
Pasukan Polis Singapura (SPF) mengesahkan mereka menerima panggilan untuk mendapatkan bantuan berhubung kejadian itu sekitar 2.10 petang pada 28 Mac.
Berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki ada unsur jenayah.
Siasatan polis sedang dijalankan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg