Topic followed successfully
Go to BHkuPelajar bawa keceriaan Hari Raya kepada pesakit Hospital Masyarakat Jurong
Pelajar bawa keceriaan Hari Raya kepada pesakit Hospital Masyarakat Jurong
Pelajar bawa keceriaan Hari Raya kepada pesakit Hospital Masyarakat Jurong
Hospital Masyarakat Jurong (JCH) telah mengadakan konsert Hari Raya sulungnya pada 19 Mac, dianjurkan oleh pelajar Institusi Hwa Chong (HCI), dengan penyertaan pelajar daripada kegiatan kokurikulum ‘Swiss Dance’ daripada Sekolah Menengah Swiss Cottage.
Seramai 40 pelajar sukarelawan telah menyuntik semangat perayaan bagi sekitar 30 pesakit melalui program yang direka istimewa itu.
Dinamakan Jom, Raya Bersama!, program selama 45 minit itu menampilkan pelbagai kegiatan seperti membuat ketupan dan segmen tarian duduk.
Pesakit turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian Melayu yang bertajuk Serumpun.
Inisiatif itu tercetus daripada Projek ‘Hearts & Crafts’, kumpulan khidmat masyarakat lima pelajar HCI yang telah berbakti setiap bulan di JCH sejak Julai 2025.
Kumpulan itu kemudian memperluaskan usaha sukarela mereka dengan menganjurkan sebuah konsert berskala besar bagi mendekati dan memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit.
Menurut JCH dalam satu kenyataan media pada 19 Mac, konsert ini sebahagian program Music-on-the-Move oleh Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH) dan JCH, yang kerap mengadakan konsert untuk menceriakan pesakit, terutamanya pada musim perayaan.
Diadakan di Hab Masyarakat JCH, inisiatif tersebut juga memberi peluang kepada pesakit untuk menikmati perubahan suasana serta berinteraksi silang generasi.
Penyelaras Sukarelawan NTFGH dan JCH, Cik Naseema Banu, berkata kerjasama dengan pihak sekolah membawa keceriaan tambahan kepada program seperti ini serta mewujudkan penglibatan yang bermakna bagi para pesakit.
“Kami sentiasa menantikan peluang untuk bekerjasama dengan sekolah. Selain tenaga dan semangat muda yang mereka bawa, para pelajar turut mempersembahkan pelbagai persembahan kebudayaan serta kegiatan kraftangan interaktif yang menggalakkan pesakit menonton, mengambil bahagian dan meraikan perayaan ini bersama.
“Sepanjang konsert ini, kami gembira melihat para pesakit berayun mengikut rentak persembahan tarian dan menyanyi bersama lagu-lagu klasik yang dikenali seperti Rasa Sayang.
“Program ini dirancang dan dianjurkan dengan teliti oleh para pelajar, dan ia benar-benar berjaya mewujudkan suasana Hari Raya yang meriah dan penuh kegembiraan,” ujarnya.

