Seramai 150 kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah di Marine Parade akan menyertai program tuisyen percuma selama lima tahun akan datang.
Program tuisyen tersebut memperuntuk tuisyen selama 8,000 jam sepanjang tempoh tersebut dan disokong dana $500,000 yang dikumpulkan keseluruhannya oleh kakitangan bank OCBC.
Bank itu bekerjasama dengan pusat kanak-kanak dan belia The Hut untuk menjayakan program tuisyen itu.
Dalam kenyataannya pada 21 September, OCBC berkata program tersebut akan membantu murid yang sedang menunjukkan kelakonan di bawah jangkaan di sekolah dan kurang pilihan mendapatkan sokongan akademik tambahan.
Kanak-kanak sedemikian akan disalurkan kepada program itu menerusi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), tadika dan sekolah rendah.
“Kanak-kanak yang menyertai program ini berasal dari keluarga berpendapatan rendah di mana orang tua atau penjaga mereka bekerja sepanjang hari dan tidak berdaya memberikan bimbingan akademik secara konsisten,” kata kenyataan OCBC, yang menambah keluarga sedemikian biasanya tidak mampu mendapatkan tuisyen.
Murid yang menyertai program tersebut akan mendapatkan bimbingan akademik daripada kakitangan OCBC yang berkhidmat secara relawan dan guru tuisyen profesional.
Menurut OCBC, kakitangan OCBC akan membimbing kanak-kanak dari peringkat tadika hingga darjah satu, sementara guru tuisyen profesional akan membimbing kanak-kanak dari darjah dua hingga darjah enam.
“Setiap peserta program akan terus mendapat sokongan tuisyen sehingga mereka menamatkan program,” kata OCBC.
Program tuisyen tersebut diumumkan di acara sukan bertema keluarga yang diadakan di OCBC Square di Hab Sukan Singapura pada 21 September.
Sekitar 120 kanak-kanak dan keluarga mereka yang terlibat dalam kegiatan The Hut hadir. Mereka disertai Menteri Negara Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Goh Pei Ming, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade-Braddell Heights.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg