Meskipun penting untuk menyediakan kemudahan bagi jemaah, beberapa masjid di Singapura berkata usaha itu perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab jemaah untuk menjaga keselamatan jalan raya.

Hal tersebut termasuk meletakkan kenderaan secara bertanggungjawab serta mengambil kira kepentingan masyarakat sekeliling.

Beberapa masjid yang dihubungi Berita Harian (BH) telah memperkenalkan pelbagai langkah bagi menguruskan peningkatan jumlah kenderaan semasa solat Jumaat.

Ia susulan pemerhatian mereka bahwa tindakan meletakkan kenderaan secara sembarangan bukan sahaja menjejas kelancaran trafik, malah menyulitkan penduduk dan perniagaan berhampiran.

Malah, ia juga berpotensi menghalang laluan bagi kenderaan kecemasan.

Antara masjid yang dihubungi ialah Masjid Ahmad Ibrahim yang terletak di Upper Thomson.

Dengan tempat letak kereta yang terhad, masjid tersebut sering mendapati kereta yang dipandu jemaah diletakkan di sisi Sembawang Road dan jalan raya yang menghala ke estet perumahan Springside View.

Menurut Pengerusi Masjid Ahmad Ibrahim, Encik Firdaus Suraidi, perbuatan meletakkan kereta secara sembarangan di kededua jalan raya itu boleh menimbulkan beberapa masalah.

“Pada Jumaat, bilangan jemaah yang ramai tiba dalam tempoh agak singkat, yang secara semula jadi memberi tekanan tambahan kepada tempat letak kereta yang sedia ada dan di jalan raya di sekitarnya.

“Jadi apabila kenderaan diletakkan secara sembarangan, hal itu boleh menyempitkan jalan raya, menghalang penglihatan, menjejas pergerakan kenderaan lain atau mengganggu penduduk dan perniagaan berdekatan.

“Kita juga perlu peka untuk memastikan laluan tetap mempunyai ruang untuk kenderaan kecemasan apabila diperlukan, serta mengelakkan situasi yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas,” ujar beliau.

Bagi mengatasi hal tersebut, terdapat beberapa langkah yang diambil termasuk menggunakan ruang gereja Grace Presbyterian Church yang terletak berhampiran Masjid Ahmad Ibrahim, bagi menampung kenderaan jemaah yang ingin menunaikan solat Jumaat.

“Kami juga beruntung kerana mempunyai hubungan yang terjalin lama dan positif dengan Grace Presbyterian Church yang berdekatan.

“Selama bertahun-tahun, gereja tersebut telah menyokong masjid dengan membenarkan jemaah menggunakan sebahagian daripada tempat letak keretanya semasa solat Jumaat.

“Ini sangat membantu dalam mengurangkan sebahagian daripada tekanan tempat letak kereta.

“Selain itu, sukarelawan dan kakitangan masjid juga turut turun padang bagi bantu mengarahkan kenderaan ke tempat yang sesuai serta mengurus pergerakan kenderaan agar tidak menghalang jalan,” kata Encik Firdaus.

Selain daripada menggunakan ruang Grace Presbyterian Church untuk menampung kenderaan jemaah, sukarelawan dan kakitangan masjid turut turun padang bagi bantu mengarahkan kenderaan ke tempat yang sesuai serta mengurus pergerakan kenderaan agar tidak menghalang jalan raya.
Selain daripada menggunakan ruang Grace Presbyterian Church untuk menampung kenderaan jemaah, sukarelawan dan kakitangan masjid turut turun padang bagi bantu mengarahkan kenderaan ke tempat yang sesuai serta mengurus pergerakan kenderaan agar tidak menghalang jalan raya. - Foto MASJID AHMAD IBRAHIM

Masalah kenderaan yang diletakkan secara sembarangan juga dialami Masjid Al-Istighfar yang terletak di Pasir Ris.

Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Changi, Encik Sharael Taha, memberitahu BH, terdapat individu yang meletakkan kenderaan secara sembarangan tatkala berlaku ‘kebanjiran’ kereta sewaktu solat Jumaat.

Beliau berkata: “Keprihatinan berkenaan peletakan kenderaan secara sembarangan merentas pelbagai masyarakat dan rumah ibadah termasuk kuil, gereja dan masjid, khususnya di kawasan GRC Pasir Ris-Changi.

“Bagi Masjid Al-Istighfar, terdapat isu berbangkit melibatkan individu-individu yang meletakkan kenderaan mereka secara sembarangan di sekitar kawasan masjid.

“Sebagai contoh, terdapat kereta yang diletakkan di tepi jalan raya di garisan kuning berkembar dan di bulatan jalan raya.

“Ini boleh menyebabkan kesesakan jalan dan kenderaan seperti ambulans terhalang daripada memasuki pekarangan rumah tumpangan yang terletak bersebelahan masjid.”

Namun, keadaan tersebut ujar Encik Sharael, dapat dikawal dengan lebih baik menerusi usaha para sukarelawan dan kakitangan Masjid Al-Istighfar yang bertungkus lumus membantu mengarahkan kenderaan serta menguruskan pergerakan jalan raya.

Selain itu, terdapat juga kawasan tambahan iaitu Tempat Meletak Kenderaan Berat Loyang Close yang dibuka sejak Ogos 2022, bagi jemaah Masjid Al-Istighfar meletakkan kereta mereka sewaktu solat Jumaat.

“Dengan kerjasama Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Tempat Meletak Kenderaan Berat Loyang Close telah dibangunkan dan dibuka pada siang hari pada setiap Jumaat untuk kegunaan jemaah Masjid Al-Istighfar.

“Dengan penyediaan tempat letak kenderaan yang lebih banyak, kami berharap masyarakat akan lebih bertanggungjawab untuk meletakkan kereta secara teratur dan tidak menyebabkan gangguan di jalan raya,” jelas Encik Sharael.

Masjid Al-Ansar di Bedok turut berdepan cabaran serupa, khususnya kerana ia dikelilingi blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan mempunyai ruang tempat letak kenderaan yang terhad.

Pengurus Masjid Al-Ansar, Cik Annurah Ahmad, berkata tempat letak kereta di ruang bawah tanah masjid hanya boleh menampung 28 kereta, sedangkan sekitar 3,000 anggota jemaah hadir untuk solat Jumaat.

Menurutnya, antara cabaran yang dihadapi ialah apabila jemaah meletakkan kenderaan di petak tempat letak kereta bermusim di blok HDB berdekatan yang sepatutnya dikhaskan untuk penduduk.

Terdapat juga jemaah yang meletakkan kenderaan berhampiran perhentian bas di luar masjid, sehingga menyukarkan bas berhenti dekat dengan bebendul jalan bagi mengambil atau menurunkan penumpang, khususnya warga emas dan pengguna kerusi roda.

“Antara cabaran kami ialah jemaah meletakkan kenderaan di petak tempat letak kereta bermusim yang sebenarnya dikhaskan untuk penduduk.

“Ada juga yang meletakkan kenderaan di perhentian bas. Ini menyukarkan bas untuk berhenti betul-betul berhampiran bebendul jalan, terutama bagi warga emas dan pengguna kerusi roda,” kata Cik Annurah.

Malah, pernah berlaku satu kejadian pada 2025 apabila sebuah bas terpaksa menunggu kerana sebuah kereta menghalang perhentian bas.

Susulan kejadian itu, pihak masjid mempertingkatkan peringatan kepada jemaah mengenai cara meletakkan kenderaan dengan betul.

Pengumuman kini dibuat dalam bahasa Melayu dan Inggeris, manakala slaid turut dipaparkan secara berterusan untuk menunjukkan contoh peletakan kenderaan secara sembarangan serta kesannya menghalang jalan.

Masjid Al-Ansar turut bekerjasama dengan LTA, yang menyediakan maklumat mengenai tempat letak kereta alternatif untuk dikongsi dengan jemaah.

Seramai tiga sukarelawan turut dikerahkan untuk membantu menguruskan keadaan dan menasihati jemaah supaya meletakkan kenderaan di tempat yang sesuai.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengakui isu trafik dan tempat letak kenderaan boleh timbul di sekitar sesetengah masjid ketika waktu sibuk, khususnya semasa solat Jumaat dan solat Hari Raya, apabila ramai jemaah tiba dan beredar dalam tempoh yang singkat.

“Kami memahami kesulitan yang mungkin dihadapi oleh para penduduk dan pengguna jalan raya lain berhubung perkara ini, serta kepentingan untuk memastikan akses yang selamat dan teratur bagi semua pihak.

“Keadaan di setiap lokasi masjid adalah berbeza-beza, dan pihak masjid akan mengambil langkah atau aturan yang bersesuaian dengan situasi di kawasan masing-masing.

“Ini termasuk menempatkan sukarelawan atau marshal trafik bagi membantu mengawal aliran lalu lintas, membimbing pemandu kenderaan, serta memastikan laluan masuk dan jalan raya di sekeliling masjid kekal lancar serta bebas daripada halangan,” tambah MUIS.

Dalam pada itu, jemaah digalakkan supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan mempertimbangkan pilihan pengangkutan lain ketika ke masjid.

“Kami menggesa pemandu supaya mematuhi peraturan trafik dan tempat letak kenderaan, meletakkan kenderaan hanya di tempat yang dibenarkan serta mengelakkan daripada berhenti atau meletakkan kenderaan dengan cara yang boleh menghalang trafik, laluan masuk atau menimbulkan risiko keselamatan kepada pejalan kaki dan pengguna jalan raya lain.

“Jika boleh, jemaah digalakkan menggunakan pengangkutan awam atau pilihan perjalanan lain, khususnya semasa waktu puncak solat,” tambahnya.

MUIS berkata pihaknya dan masjid akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi menangani isu trafik dan tempat letak kenderaan yang berulang.

“Kami mengharapkan kerjasama dan sikap timbang rasa daripada semua jemaah supaya kehadiran mereka untuk menunaikan solat tidak menjejas keselamatan dan keselesaan masyarakat di sekeliling,” katanya.