Kecederaan lutut memaksa Cik Sarimah Amat, 59 tahun, bersara awal lebih sepuluh tahun lalu, namun ia tidak melunturkan semangatnya untuk menjalani hidup yang sarat makna dan terus mencurahkan bakti kepada kanak-kanak di sekelilingnya.

Walaupun sudah membesarkan tiga anak yang kini mencecah usia 30-an, serta bergelar nenek kepada tiga cucu, kasih sayangnya kekal meluas.

Sejak terpaksa melepaskan kerjaya sebagai guru prasekolah pada 2012 akibat kecederaan yang sama, beliau terus membuka pintu flat lima biliknya di Yishun untuk menjaga kanak-kanak titipan.

“Saya jenis yang tidak boleh duduk diam di rumah. Jadi selepas berhenti kerja, saya mencari cara bagaimana saya masih boleh menyumbang kepada kanak-kanak,” katanya.

Tekadnya menjadi ibu titipan melalui perbincangan bersama keluarga dan bukan satu keputusan peribadi.

Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Cik Sarimah menegaskan peri pentingnya “mesyuarat keluarga”.

Ia bagi memastikan suaminya, Encik Appathi Ahmad, 60 tahun, seorang penyelaras keselamatan, dan anak-anaknya, mencapai persetujuan sebulat suara sebelum menyambut kanak-kanak titipan pertama ke rumah mereka.

Lebih sedekad pengalaman dalam pendidikan awal kanak-kanak turut menjadi tunjang pendekatan beliau mendampingi golongan muda.

“Apabila dikelilingi kanak-kanak, saya rasa bahagia dan muda semula. Ilmu yang saya ada, saya rasa lebih baik dimanfaatkan untuk membantu anak-anak lain juga,” ceritanya.

Dedikasi Cik Sarimah untuk berbakti tidak terhenti di pintu rumahnya sahaja.

Pada 2014 beliau mengasaskan Project Pencil, satu inisiatif yang mulanya mengumpul alat tulis untuk rumah anak yatim di luar negara.

Projek itu kemudian berkembang menjadi Project Pencil Singapore melibatkan jirannya di Yishun.

Namun, ketika pandemik Covid-19 melanda pada 2020, fokus pertubuhan itu beralih dengan pantas, menumpukan bantuan kepada keluarga dan kanak-kanak setempat melalui program Champs.

Kini, Champs membimbing lebih 50 kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 17 tahun daripada keluarga berpendapatan rendah, menawarkan tuisyen dan program bimbingan secara percuma.

Pendekatan itu melangkaui prestasi akademik, turut memberi perhatian penting kepada pembangunan emosi dan pembinaan sahsiah anak-anak.

“Ada anak-anak yang mahu menyiapkan kerja sekolah pun sukar kerana tiada orang membantu dan kekurangan kemudahan.

“Jadi kami mengumpul perabot terpakai dan membina sudut pembelajaran untuk mereka,” katanya.

Program Champs telah menunjukkan “perkembangan yang memberangsangkan”, disokong oleh sekurang-kurangnya lima mentor yang turut menjadi sukarelawan dalam kumpulan bantu diri terkenal.

Cik Sarimah berkata inisiatif itu bermula pada pandemik Covid-19, dengan hanya membantu “sekitar 12 pelajar dengan kemudahan yang sangat terhad”.

“Program ini kini berkembang jauh dengan sokongan mentor, sukarelawan dan rakan masyarakat untuk membantu lebih ramai kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan,” tambahnya.

Ia telah mekar menjadi gerakan masyarakat yang menyeluruh, merangkumi bantuan makanan, pengagihan barangan keperluan, dan projek menyelamat lebihan makanan.

Setiap bulan, inisiatif pemulihan makanan ini memberi manfaat kepada sehingga 120 keluarga.

Usaha sukarela Cik Sarimah telah dinobatkan dengan pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah Pemimpin yang Baik oleh Anugerah Presiden bagi Sukarelawan dan Dermawan (PVPA) dan tersenarai sebagai finalis Anugerah Ibu Teladan Jamiyah Singapura pada 2018.

Anugerah paling mengharukan buat beliau ialah panggilan mesra ‘Mama’ daripada anak-anak didiknya.

“Ada juga antara mereka yang memanggil saya ‘Mama’. Anak-anak kecil pula suka datang peluk saya. Itu semua sangat manis bagi saya.

Cik Sarimah Amat (barisan hadapan, tiga dari kanan) bersama kanak-kanak di bawah program ‘Champs’, sebuah inisiatif bimbingan dan sokongan masyarakat yang diasaskannya untuk membantu golongan kanak-kanak daripada keluarga memerlukan.
Cik Sarimah Amat (barisan hadapan, tiga dari kanan) bersama kanak-kanak di bawah program ‘Champs’, sebuah inisiatif bimbingan dan sokongan masyarakat yang diasaskannya untuk membantu golongan kanak-kanak daripada keluarga memerlukan. - Foto ihsan SARIMAH AMAT

“Saya percaya setiap anak memerlukan seseorang untuk membimbing mereka membuat pilihan yang betul.

“Apabila kita bantu mereka sekarang, mungkin suatu hari nanti mereka pula akan menjadi pemimpin masyarakat,” katanya.