SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lelaki sedang jalan Raya bantu padam api di Pasir Ris

Lelaki sedang jalan Raya bantu padam api di Pasir Ris

SCDF, netizen puji tindakan pantas padam kebakaran
Mar 24, 2026 | 7:50 PM

Lelaki sedang jalan Raya bantu padam api di Pasir Ris

jubah boys, padam api, Pasir Ris, wira
Encik Pravin @ Kayden Zaqarya Abdullah (berpakaian putih) dan abang iparnya, Encik Mohammad Thaqif Ishak (berpakaian kelabu, menghadap kamera), tampil membantu memadamkan api di Blok 150, Pasir Ris Street 13, bersama penduduk lain pada 22 Mac. - Foto ihsan PRAVIN @ KAYDEN ZAQARYA ABDULLAH

Perwira Melayu zaman dahulu kala akan menyarung tanjak sebagai tanda keperkasaan mereka.

Adiwira seperti Superman pula memiliki kain layang atau ‘cape’ dalam misi menyelamatkan dunia.

Namun, siapa sangka wira yang hadir dalam satu tempoh cemas tatkala bunyi penggera kebakaran berbunyi pada malam 22 Mac, mengenakan pakaian putih dan kelabu.

Salah seorang daripada mereka, Encik Pravin @ Kayden Zaqarya Abdullah, 31 tahun, sedang kunjung-mengunjung sempena Hari Raya.

Namun, segalanya bertukar menjadi detik penuh debaran.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengesahkan kepada Berita Harian (BH), terdapat kebakaran yang berlaku di pelongsor sampah di Blok 150, Pasir Ris Street 13, pada sekitar 8.30 malam.

Dalam satu video tular di media sosial baru-baru ini, sekumpulan lelaki kelihatan kekal tenang ketika memadamkan kebakaran tersebut.

Video tersebut, yang meraih lebih 112,000 tontonan di Instagram, turut mengundang pujian netizen, yang menyanjung keberanian mereka dan menggelarkan kumpulan itu sebagai ‘Jubah Boys’.

“Saya sebenarnya sedang menziarahi keluarga sempena Hari Raya di Blok 150, Pasir Ris Street 13.

Apabila terdengar bunyi penggera, saya terus memeriksa keadaan sekeliling dan ternampak kebakaran itu,” kata Encik Kayden.

Dengan keadaannya yang masih lengkap berpakaian jubah putih, beliau tidak menunggu lama untuk bertindak.

Menurut beliau, pengalaman sebagai paramedik di SCDF sehingga 2015 mencorak nalurinya yang sentiasa sedia membantu dengan segera bagi mengatasi sebarang masalah seperti kebakaran itu.

“Sebagai paramedik, saya memang pernah didedahkan kepada cara menggunakan alat pemadam api.

“Selain itu, pengalaman menyertai program bersama SCDF serta pendedahan kepada aspek keselamatan kebakaran juga banyak membantu dalam situasi ini.

“Saya tahu saya perlu bertindak pantas sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

“Saya tidak teragak-agak kerana berasa ini adalah tanggungjawab sivik saya untuk membantu,” ujarnya.

Isterinya, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Icha, 30 tahun, berkata tindakan suaminya itu bukan sesuatu yang luar biasa.

“Ini adalah respons semula jadi bagi suami saya, terutamanya apabila ia melibatkan keselamatan masyarakat atau sekitaran.

“Kami juga pernah berhenti di beberapa lokasi kemalangan jalan raya sebelum ini, supaya suami dapat membantu sementara menunggu pihak berkuasa tiba,” ceritanya.

Encik Kayden, bapa seorang anak lelaki berusia tiga tahun pula menambah: “Dalam apa jua situasi kecemasan, nyawa seseorang menjadi taruhan.

“Saya bayangkan ada anggota keluarga yang sedang menantikan kepulangan mereka di rumah, dan saya rasakan menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan mereka dapat pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga.

“Jadi memang tidak hairan apabila situasi ini berlaku, saya segera tampil membantu,” katanya, yang memeluk agama Islam pada 2015.

Kebakaran itu berjaya dipadamkan kurang 10 minit sebelum ketibaan pegawai SCDF.

Encik Kayden, bagaimanapun, menegaskan kejayaan itu bukan hasil usahanya seorang sahaja, sebaliknya menyerlahkan kepentingan semangat kemasyarakatan serta kerjasama berganding bahu dalam saat kecemasan.

“Saya tidak sepatutnya menerima pujian sepenuhnya. Selain saya, ada juga individu lain yang tampil membantu.

“Seorang pak cik Cina turut mendapatkan alat pemadam api dari lokasi lain dan kami bersama-sama memadamkan api tersebut,” tambahnya.

Abang iparnya, Encik Mohammad Thaqif Ishak, yang bertugas sebagai pegawai keselamatan, tanpa berlengah turut mendapatkan bekalan air daripada paip yang pada mulanya didapati berkunci, sebelum menggunakan hos bagi memadamkan api di bahagian utama saluran sampah.

Mengulas lanjut, Encik Kayden meluahkan rasa bangga melihat semangat kerjasama masyarakat yang ditunjukkan ketika kejadian itu.

“Saya berasa bangga kerana kami dapat bekerjasama sebagai satu masyarakat.

“Tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama, semua berganding bahu membantu setakat yang mampu,” ujarnya.

Dalam respons kepada BH, SCDF memaklumkan beberapa orang awam telah membantu dalam usaha memadamkan kebakaran tersebut.

SCDF memuji tindakan pantas serta kecekapan mereka, dan akan menyampaikan Anugerah Petugas Tindak Balas Pertama Masyarakat atau ‘Community First Responder Award’, sebagai tanda penghargaan.

Saya bayangkan ada anggota keluarga yang sedang menantikan kepulangan mereka di rumah, dan saya merasakan menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan mereka dapat pulang dengan selamat ke pangkuan keluarga. Jadi memang tidak hairan apabila situasi ini berlaku, saya segera tampil membantu.
Encik Pravin @ Kayden Zaqarya Abdullah.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg