Ada pepatah Melayu menyatakan, Rumah bukan kerana batu dan bata. Rumah kerana hati yang menanti pulang.

Kata-kata yang dinukil Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, dalam hantaran Facebook beliau pada 10 Mei memberi gambaran tentang pengertian Kelab Masyarakat Marsiling kepada pelbagai generasi penduduk Marsiling.

“Di sinilah persahabatan terbina, perkahwinan diraikan, sukarelawan bersatu hati, kanak-kanak membuat persembahan, penduduk mendapatkan bantuan dalam tempoh sukar dan ruang di mana kebanyakan daripada kita mencipta beberapa kenangan paling awal berada dalam himpunan masyarakat,” tulisnya.

Encik Zaqy menjadi tuan rumah kepada tiga mantan penasihat Kelab Masyarakat Marsiling – mantan Presiden, Puan Halimah Yacob; mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Encik Hawazi Daipi; serta mantan Setiausaha Parlimen Kanan (Buruh), Encik Lee Yiok Seng, sempena acara istimewa, Marsiling Homecoming – The Next Chapter Begins, pada 9 Mei.

Acara itu cukup simbolik kerana ia petanda tamatnya empat dekad sumbangan kemasyarakatan Kelab Masyarakat Marsiling di Admiralty Road, yang akan berpindah ke premis baru yang dinaik taraf bersebelahan Pasar dan Pusat Makanan Marsiling di Marsiling Drive.

Tetamu khas dan penduduk yang menghadiri acara itu dibawa menyusur jalan kenangan dengan meninjau pameran yang diatur khas.

Kelab Masyarakat Marsiling telah memainkan peranan sebagai ruang perhimpunan masyarakat di kawasan utara di samping menjadi ruang melancar khidmat kerahan nasional seperti vaksinasi Covid-19 dan edaran keperluan menangani wabak tersebut.

Menurut Encik Zaqy lagi, setiap Penasihat Kelab Masyarakat Marsiling membantu mencorak kejiranan itu dalam pelbagai cara menerusi era berbeza.

“Encik Lee Yiok Seng (1997-2006) menyelia transformasi awal Marsiling daripada kampung kepada bandar, sekali gus meletakkan banyak unsur asas yang dikenali penduduk hari ini.

“Encik Hawazi (2001-2015) pula memperkukuh jiwa masyarakat, mempererat ikatan antara kaum dengan agama sambil memupuk identiti budaya serta semangat kemasyarakatan di Marsiling.

“Puan Halimah (2015-2017) pula membawa ihsan dan jiwa ke dalam khidmat masyarakat. Semangat beliau iaitu, ‘Lakukan kebaikan. Lakukan dengan cemerlang. Lakukan bersama-sama’, terus membentuk pelbagai program dan usaha sokongan kami hari ini,” tambah Encik Zaqy.

Menurutnya, yang merupakan Penasihat Kelab Masyarakat Marsiling kini, dalam dirinya mendapat keistimewaan menyelia bab peralihan seterusnya kelab masyarakat itu yang melalui proses penyegaran, penyertaan generasi baru keluarga serta penduduk dialu-alukan.

Beberapa kemudahan yang akan diusahakan di Kelab Masyarakat Marsiling baru termasuk hab seni persembahan, gimnasium dan dapur masyarakat di samping sekitaran dan ruang menghijau.

Buat masa ini, penduduk boleh mengunjungi Kelab Masyarakat sementara di Blok 2, Marsiling Drive, sebelum kelab masyarakat baru dibuka pada penghujung 2026.