SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kedai kopi sumber inspirasi bangku seni di Suntec City

Kedai kopi sumber inspirasi bangku seni di Suntec City

Apr 9, 2026 | 8:20 PM

Kedai kopi sumber inspirasi bangku seni di Suntec City

Daripada jubin lantai, papan tanda dan tekstur kayu yang biasa dilihat di kedai kopi atau kopitiam, dua seniman tempatan melihat bahan-bahan itu sebagai sesuatu yang menggambarkan nilai kebersamaan yang sering terlepas pandang.

Menerusi satu kerja seni berupa bangku berarca zirafah di pusat membeli-belah Suntec City, Nur Iman Sumani, dan Diamond Nabilah Misson, cuba menyampaikan pesanan tersirat buat masyarakat renungi dalam Kempen GiraffeSG@Central, anjuran Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapore.

Kempen itu mengetengahkan enam bangku seni di beberapa lokasi tumpuan di Singapura bagi tempoh sekurang-kurangnya selama enam bulan mulai 27 Januari, dengan matlamat menggalakkan orang ramai berani tampil membantu orang lain dalam kehidupan seharian.

Antara lokasi lain termasuk pusat membeli-belah VivoCity, Galeri Nasional Singapura dan Gardens By The Bay.

Bagi Iman, 36 tahun, dan Diamond, 22 tahun, pendekatan mereka bertitik tolak daripada ruang yang dekat dengan ramai rakyat Singapura, iaitu kopitiam.

“Kita lalu, beli makanan, makan dan pergi. Jarang kita perhatikan keadaan sekeliling,” kata Iman, lulusan Diploma Seni Halus dengan pengkhususan dalam bidang lukisan dari Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Beliau yang tamat pengajian pada 2012 kini bergiat sebagai seniman sepenuh masa.

Daripada pemerhatian itu, lahir idea “membina semula” suasana kopitiam pada permukaan seekor zirafah yang digunakan sebagai simbol kempen itu untuk membawa mesej kebaikan dan keberanian agar tampil membantu orang lain.

Menurut Diamond, lulusan Nafa pada 2024, yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang seni halus di Maktab Seni Lasalle, pemilihan unsur kopitiam bukan sahaja sekadar membincangkan soal nostalgia, malah sebuah ruang bagi masyarakat berbilang generasi bergabung tenaga dan idea.

“Bagi kami, kopitiam ialah lambang ruang masyarakat. Di situ, anggota berbilang generasi duduk semeja, dan kami ingin menggalakkan mereka untuk merenung tentang maksud keprihatinan dan kebersamaan.

“Kami fikir tentang rumah, ruang makan bersama, dan akhirnya kami sedar kopitiam ialah satu ruang yang sering kita abaikan walaupun ia sebenarnya terbuka kepada semua orang,” kata beliau.

Sebelum ini, mereka pernah bekerjasama dalam beberapa projek mural sejak 2024, termasuk menghasilkan mural bagi sebuah ruang makan.

Namun, karya zirafah itu menandakan kali pertama mereka berkarya pada permukaan tiga dimensi (3D).

“Apabila diberi peluang ini, Diamond menjadi pilihan pertama saya sebab saya percaya dia boleh laksanakan projek ini dengan baik.

“Saya juga rasa kami sudah saling memahami dari segi gaya hidup dan konsep,” katanya.

Bagi Cik Diamond pula, pengalaman itu penting dari sudut perkembangan dirinya sebagai seniman muda.

Diamond turut berkongsi penghargaan terhadap ruang yang diberi oleh Iman untuk menyumbang idea dan gaya tersendiri dalam projek itu.

“Sebelum ini, saya lebih banyak membantu atau ikut arahannya. Tapi untuk projek ini, beliau beri saya lebih banyak kepercayaan dan ruang mencuba.

“Bagi saya, itu penting sebab ia membina keyakinan saya sebagai artis yang masih baharu,” katanya.

Beliau menambah kepercayaan itu memberi peluang kepadanya untuk benar-benar memahami kekuatan sendiri sebagai seorang pengkarya.

“Kalau orang tak beri kita ruang, kita tak akan tahu sejauh mana kebolehan kita.

“Jadi bila dia beri saya satu ruang untuk benar-benar melukis dan menyumbang, saya rasa lebih yakin dengan hasil kerja saya,” ujarnya.

Namun, proses menyiapkan karya itu bukan tanpa cabaran.

Menurut Diamond, mereka pada awalnya menyangka projek itu boleh disiapkan segera memandangkan saiz bangku itu tidak terlalu besar.

“Kami ingat sebab ia kecil dan tiga dimensi, mungkin lebih cepat. Tapi sebenarnya ia ambil masa lebih lama daripada yang kami jangkakan,” katanya.

Ini selain cabaran lain termasuk menyesuaikan masa kerja dengan jadual kuliah beliau, komitmen projek lain Iman, serta faktor tidak dijangka seperti perubahan tempat kerja dan keadaan fizikal.

Namun, salah satu perkara yang paling menggembirakan mereka adalah melihat reaksi orang ramai terhadap karya tersebut.

Sejak dipasang di Suntec City pada Januari lalu (2026), ramai pengunjung didapati terdorong untuk menyentuh permukaannya, cuba meneka bahan yang digunakan pada karya itu.

“Itu yang kami harapkan. Bila orang sentuh, mereka berhenti. Bila berhenti, mereka mula perhati. Bila perhati, mungkin timbul cerita,” kata Iman.

Beliau berkata ia diharapkan dapat menggalakkan perbualan, sepertimana sebuah ruang kopitiam menjadi ruang orang ramai duduk dan berbual.

“Kami mahu orang bercakap sesama sendiri, sama seperti perbualan yang berlaku di kopitiam sebenar,” ujarnya.

“Bagi kami, kopitiam ialah lambang ruang masyarakat. Di situ, anggota berbilang generasi duduk semeja, dan kami ingin menggalakkan mereka untuk merenung tentang maksud keprihatinan dan kebersamaan. Kami fikir tentang rumah, ruang makan bersama, dan akhirnya kami sedar kopitiam ialah satu ruang yang sering kita abaikan walaupun ia sebenarnya terbuka kepada semua orang.”
Diamond Nabilah Misson, lulusan Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) yang terlibat dalam Kempen GiraffeSG@Central.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg