Topic followed successfully
Go to BHkuHong Tat: Operasi tembak gagak dilancar di 9 daerah, bermula di Yishun
Hong Tat: Operasi tembak gagak dilancar di 9 daerah, bermula di Yishun
Kaedah tembak lengkapi usaha pengurusan sedia ada seperti perangkap, buang sarang, kurangi sumber makanan
Hong Tat: Operasi tembak gagak dilancar di 9 daerah, bermula di Yishun
Operasi menembak burung gagak telah bermula di Yishun dan akan diperluas ke lapan kawasan lain dalam beberapa minggu akan datang, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat.
Kawasan tersebut ialah Bishan, Jurong, Kranji, Punggol, Sembawang, Tampines, Toa Payoh, Woodlands dan Yishun.
Operasi sedemikian akan diluaskan ke lebih banyak kawasan secara bertahap, kata Encik Chee dalam satu hantaran di Facebook pada 25 Mac.
Menurutnya, penembakan burung gagak akan melengkapi usaha pengurusan sedia ada seperti memerangkap, membuang sarang dan mengurangkan sumber makanannya.
Kepungan dan papan tanda akan dipasang di zon menembak untuk memaklumkan orang ramai supaya menjauhkan diri, serta pegawai polis bantuan akan menyokong operasi dan memastikan keselamatan awam, tambahnya.
“Masyarakat juga boleh memainkan peranan dengan tidak memberi makan kepada burung perosak itu dan memastikan sisa makanan dilupuskan dengan betul,” ujar beliau.
Encik Chee mengumumkan keputusan untuk menyambung semula penembakan burung gagak pada Februari lalu berikutan peningkatan laporan serangan burung tersebut.
Pada 2025, aduan tentang serangan burung gagak kepada Pejabat Perkhidmatan Perbandaran melonjak kepada lebih 2,000 kes, berbanding lebih 460 pada 2020.
Ia juga menerima kira-kira 15,000 laporan mengenai isu berkaitan burung gagak, kata Encik Chee pada Februari.
Ini adalah tiga kali ganda daripada 2020, apabila terdapat hampir 5,000 laporan.
Ia termasuk laporan tentang bunyi bising, makanan dan kekotoran berkaitan burung tersebut.
Kementerian Pembangunan Negara (MND) telah menghentikan penembakan burung gagak pada 2020 disebabkan oleh insiden pelet yang mengenai kediaman berdekatan
Kes sedemikian disebabkan oleh kesilapan manusia, termasuk ketidakpatuhan terhadap protokol keselamatan, dan tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap mereka yang terlibat.
Usaha lain yang diambil selepas operasi menembak burung gagak dihentikan, didapati tidak mencukupi dalam mengawal bilangan burung gagak, kata Encik Chee.
Alternatif sedemikian termasuk memerangkap burung gagak untuk dimusnahkan, membuang sarang burung gagak, dan meningkatkan usaha untuk mengurangkan sumber makanan daripada manusia.
Meskipun Lembaga Taman Negara (NParks) mempergiat usaha pengurusan burung gagak, seperti memerangkap burung gagak dan membuang sarangnya.
Namun, bilangan burung gagak tetap meningkat di sini.
Berdasarkan tinjauan terkini pihak berkuasa, bilangan burung gagak mencecah kira-kira 160,000 ekor pada 2024 – lebih 20 kali ganda daripada bilangan pada 2016.
“Burung gagak sangat mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran bandar dan mudah menjauhi perangkap, menjadikannya perlu untuk melengkapi kawalan bilangannya dengan cara mampan lain bagi mengurangkan jumlah burung gagak,” kata NParks pada Februari.

