Topic followed successfully
Go to BHkuGaris panduan gaji pekerja sektor khidmat sosial naik purata 5%
Garis panduan gaji pekerja sektor khidmat sosial naik purata 5%
MSF: Garis panduan gaji pekerja sektor perkhidmatan sosial dikemas kini setiap tahun agar kekal berdaya saing
Garis panduan gaji pekerja sektor khidmat sosial naik purata 5%
Mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan sosial bakal menerima gaji lebih tinggi, menyusuli kenaikan purata 5 peratus dalam garis panduan gaji yang dicadangkan bagi pekerjaan dalam sektor tersebut.
Pekerja yang memegang sesetengah peranan boleh menjangkakan kenaikan lebih besar sehingga 15 peratus.
Ini berdasarkan tanda aras gaji terbaru yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) pada 1 April.
Dalam satu kenyataan, MSF berkata pihaknya mengemas kini garis panduan gaji setiap tahun bagi memastikan gaji pekerja sektor perkhidmatan sosial, yang kini mempunyai lebih 22,000 kakitangan, kekal berdaya saing.
Sebagai contoh, gaji terbaru yang dicadangkan bagi kakitangan penjagaan kanan adalah $4,470 sebulan, naik 15 peratus berbanding $3,890 yang ditetapkan dalam garis panduan sebelum ini.
Gaji yang diusulkan itu merupakan kadar rujukan bagi kakitangan yang cekap dalam tugas mereka.
Antara tugas kakitangan penjagaan termasuk menyokong warga emas, orang kurang upaya dan golongan lain dalam kegiatan harian, serta memantau kesejahteraan mereka.
Gaji permulaan bagi pekerja sosial dan kaunselor adalah $3,970 dalam garis panduan gaji 2026, naik 3 peratus daripada $3,850 yang dicadangkan pada 2025.
Bagi pengurus pusat pula, gaji permulaan baru yang dicadangkan adalah $9,140, meningkat 4 peratus berbanding $8,760 dalam garis panduan 2025.
MSF menggalakkan Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) untuk membuat penyesuaian pada pakej gaji mereka dalam tempoh setahun ini supaya kakitangan mereka mendapat gaji selaras dengan garis panduan tersebut yang berkuat kuasa pada 1 April.
Meskipun garis panduan gaji ini tidak wajib diikuti oleh SSA, sekitar 80 peratus pekerja dalam sektor berkenaan dibayar mengikut garis panduan tersebut, kata MSF kepada The Straits Times (ST).
Sejak langkah semakan gaji menyeluruh yang terakhir pada 2023, MSF telah mengemas kini garis panduan tersebut bagi memastikan gaji dalam sektor perkhidmatan sosial kekal berdaya saing berbanding pekerjaan setara dalam sektor lain.
Langkah itu diambil di tengah-tengah permintaan tenaga kerja semakin meningkat dalam sektor tersebut bagi menangani keperluan penduduk semakin menua serta cabaran baru yang lebih rumit seperti isu kesihatan mental dan pengasingan sosial, jelas jurucakap MSF.
Pada 2024, MSF berkata tambahan seramai 2,000 karyawan utama perkhidmatan sosial diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ia termasuk pekerja sosial, ahli terapi, kaunselor, kakitangan penjagaan dan pakar psikologi.
Kementerian itu juga telah membuat penyesuaian pada peruntukan dana bagi program supaya SSA yang dibiayainya dapat membayar kakitangan mereka selaras dengan garis panduan terbaru.
Sejak tahun kewangan 2023, MSF telah memperuntuk lebih $170 juta bagi menyokong SSA yang mengendalikan perkhidmatan yang ditaja MSF bagi melaksanakan penyesuaian gaji tersebut.
Jurucakap tersebut berkata SSA juga perlu menyemak dan menyesuaikan belanjawan operasi mereka supaya keperluan operasi mereka dapat dibiayai secara mampan.
MSF dan NCSS berkata mereka telah bekerjasama dengan SSA sepanjang tiga tahun lalu untuk membantu agensi tersebut melaksanakan garis panduan itu secara berperingkat, dan merancang mempertingkat usaha sedemikian dalam beberapa tahun mendatang.

