Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, mengingatkan jemaah haji agar terus menjaga kebajikan fizikal, mental dan rohani mereka, terutama dalam keadaan cuaca semasa.

Dr Faishal, juga selaku Ketua Delegasi Haji 2026, telah menemui jemaah Singapura pada 21 Mei lalu.

Beliau turut menggalakkan jemaah agar terus menyuburkan semangat kebersamaan, ihsan dan saling mengambil berat sepanjang perjalanan suci ini.

Ini boleh dilakukan dengan saling menjaga antara satu sama lain, mengamalkan sikap sabar dan berbuat baik, serta mengekalkan nilai murni dan kelakuan terpuji yang mencerminkan masyarakat Islam Singapura.

Perkara itu dikongsikan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menerusi satu hantaran di Facebook pada 22 Mei.

Menukil apa yang disampaikan Dr Faishal ketika menemui jemaah Singapura di musala hotel penginapan mereka, Muis menulis:

“Selaras dengan nasihat utama yang dikongsikan semasa Simposium Haji Perdana baru-baru ini serta taklimat oleh pihak berkuasa Arab Saudi, jemaah digalakkan agar memastikan badan kekal hidrat.

“(Ini di samping) mengurangkan aktiviti di luar antara 10 pagi dengan 4 petang, dan mengelakkan diri daripada terdedah kepada pancaran matahari buat tempoh yang lama.”

Nasihat itu diberikan tatkala cuaca terik di Makkah.

Dr Faishal berkongsi bahawa ia kini mencecah setinggi 47 darjah Celsius, katanya dalam satu kenyataan Facebook yang berbeza pada hari tersebut.

Beliau turut berkongsi kunjungannya ke Pusat Operasi Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan klinik perubatan di Madinah dan Aziziyah, Makkah.

Di samping itu, Dr Faishal menegaskan bahawa kesihatan dan kesejahteraan jemaah haji merupakan keutamaan, terutama menghampiri tempoh kemuncak ibadah haji.

“Saya terharu melihat kemudahan perubatan dan sokongan yang disediakan serta dedikasi pegawai SPAO dan kakitangan perubatan untuk menjaga jemaah kita.

“Usaha ini memastikan jemaah kita mempunyai akses kepada penjagaan dan bantuan jika diperlukan,” katanya.

Sebelum ini pada 20 Mei, Dr Faishal juga telah menghadiri Simposium Haji bersama menteri dan ketua delegasi haji dari seluruh dunia, yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah (Mohu).

Ia bertujuan membincangkan persiapan haji serta keperluan jemaah.

“Bagi Singapura, pertukaran pandangan dan maklumat ini amat penting. Ia membolehkan kami menerima perkembangan terkini secara langsung daripada pihak berkuasa Arab Saudi, berkongsi pengalaman bersama delegasi lain, dan mengukuhkan penyelarasan dengan rakan kongsi kami di sini,” kongsi Dr Faishal di Facebook pada 21 Mei.