Hubungan antara 560 bapa dengan anak mereka dieratkan menerusi satu acara berbuka puasa di Masjid Darul Ghufran, anjuran gerakan Bapa Sepanjang Hayat pada 16 Mac.
Para peserta acara, Sedulang Bersama Ayah juga mengambil bahagian dalam bengkel ‘Bahasa Cinta’, atau ‘Love Language’, bagi mempelajari cara lebih baik dalam berhubung antara satu sama lain.
Mereka yang menghadiri acara itu terdiri daripada jemaah Masjid Darul Ghufran, aktivis Kelab Masyarakat (CC) Hougang dan penduduk daerah Beo Crescent.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Ketua Pembangunan dan Jangkauan Pusat Kebapaan (CFF), Encik Eruandee Prayitna, berkata dengan berbuka puasa bersama, kaum bapa dapat menunjukkan kepada anak mereka kepentingan hidup berkeluarga, berbakti kepada orang tua serta mengawal diri sepanjang berpuasa.
Menurutnya juga, kegiatan berbuka puasa bersama memberi peluang kepada anak untuk melihat cara bapa mereka menguruskan aspek rohani dan jasmani semasa Ramadan.
Dengan itu, masa ini berharga dalam membentuk kesejahteraan emosi dan psikologi antara kededua pihak.
“Bapa boleh menyampaikan pengajaran agama dan budaya kepada anak mereka, menerangkan kepentingan berpuasa, kesabaran dan kesyukuran.
“Dengan terlibat sama dalam berbuka puasa, bapa boleh menurunkan tradisi serta amalan penting,” kata Encik Eruandee.
“Selain itu, apabila golongan bapa menghadiri acara berbuka puasa bersama, ia membantu mencipta kenangan dan pengalaman positif untuk anak-anak,” tambahnya.
Sebelum itu, seramai 150 anggota keluarga daripada 24 keluarga yang memerlukan telah menghadiri majlis berbuka puasa bersama di dewan serba guna Blok 813A, Choa Chu Kang Avenue 7, pada 2024.
Ia merupakan hasil sokongan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), Balai Rakyat Brickland, bagi membolehkan golongan bapa memanfaatkan waktu berbuka puasa untuk mengeratkan lagi silaturahim dengan anak dan keluarga.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, turut hadir semasa majlis berbuka puasa tersebut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg