Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Artifak menarik bentang kisah S’pura

Aug 4, 2025 | 5:30 AM
Treasures at Home, Wak Sadri, Singapore
Pemilik kedai Treasures at Home, Encik Mohamed Sadri Mohamed Farick, membaca majalah hiburan lama dalam bahasa Jawi bertajuk, ‘Gelanggang Film’, yang memaparkan dunia perfileman Melayu era 1960-an. Koleksi seumpama itu, ujar beliau, bukan sahaja mengimbau nostalgia, malah mencerminkan warisan budaya dan bahasa yang pernah menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Singapura. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Melangkah masuk ke kedai Encik Mohamed Sadri Mohamed Farick di 80 Playfair Road seolah-olah membawa anda kembali ke zaman 1960-an Singapura.

Kedai bernama, Treasures at Home, itu menempatkan koleksi barangan lama mlik bekas pegawai polis dikenali sebagai Wak Sadri, 47 tahun, yang percaya setiap barangan memiliki nilai sejarah yang mencerminkan perjalanan negara menuju kemakmuran.

Semasa ditemui Berita Harian (BH), beliau berkongsi beberapa barangan yang paling dekat di hatinya.

Ini termasuk lesen basikal lama, papan tanda lalu lintas dari era pascakemerdekaan, serta topi keledar lama anggota Pasukan Polis Singapura (SPF).

Baginya, setiap artifak mempunyai cerita yang mencerminkan kehidupan masyarakat dahulu, dengan beliau bertekad ia harus disimpan demi generasi akan datang.

“Kenangan itu penting,” kata Encik Mohamed Sadri.

Baginya, setiap barang yang disimpan bukan sekadar hiasan atau koleksi semata-mata, bahkan membawa makna mendalam yang berkait rapat dengan sejarah dan identiti Singapura.

“Bila kita simpan barang lama, kita bukan saja jaga warisan, malah kita ajar generasi baru tentang sejarah kita,” tambah beliau.

Papan tanda pertama Bata dengan tulisan Jawi

Papan tanda pertama bagi jenama kasut Bata yang mula bertapak di Singapura sejak 1931 itu dipercayai adalah satu-satunya papan tanda Bata dengan tulisan Jawi. Pengumpul barangan lama boleh membelinya dengan harga lebih $1,000.
Papan tanda pertama bagi jenama kasut Bata yang mula bertapak di Singapura sejak 1931 itu dipercayai adalah satu-satunya papan tanda Bata dengan tulisan Jawi. Pengumpul barangan lama boleh membelinya dengan harga lebih $1,000. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Di sebalik jenama kasut yang sering menjadi pilihan kanak-kanak sekolah, tersembunyi sejarah panjang yang bermula seawal 1931.

Pada tahun tersebut, jenama Bata diperbadankan secara rasmi di Singapura dan membuka cawangan pertamanya di Bangunan Capitol, Stamford Road.

Hari ini, Singapura menjadi pusat operasi Bata bagi wilayah Asia Pasifik dan Afrika.

Menariknya, jenama itu telah begitu sebati dengan kehidupan harian di sini sehingga ramai menganggapnya sebagai jenama tempatan

Poster papan tanda TP Singapura dari 1970-an

Sekeping poster memaparkan tanda-tanda trafik di Singapura dari era 1970-an yang pernah digunakan oleh pasukan Polis Trafik (TP).
Sekeping poster memaparkan tanda-tanda trafik di Singapura dari era 1970-an yang pernah digunakan oleh pasukan Polis Trafik (TP). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Poster setinggi 83 sentimeter dan selebar 58 sentimeter itu pernah digunakan secara meluas oleh pasukan Polis Trafik (TP) dan digantung di sekolah memandu sekitar 1974.

Menurut Encik Mohamed Sadri, semua pelatih memandu ketika itu diwajibkan menghafal kesemua tanda dalam poster tersebut sebelum menduduki ujian teori lesen memandu. 

Poster itu turut menampilkan logo rasmi TP dan ditaja oleh syarikat minyak British Petroleum (BP) pada ketika itu.

Papan amaran tanda KTM

Sebuah papan tanda amaran lama yang ditulis dalam pelbagai bahasa, termasuk Tamil, Jawi dan Cina. Artifak itu dipercayai berasal dari era 1940-an dan merupakan sebahagian daripada Stesen Kereta Api Tanjong Pagar.
Sebuah papan tanda amaran lama yang ditulis dalam pelbagai bahasa, termasuk Tamil, Jawi dan Cina. Artifak itu dipercayai berasal dari era 1940-an dan merupakan sebahagian daripada Stesen Kereta Api Tanjong Pagar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Papan amaran berpalang merah itu pernah berfungsi sebagai papan tanda keselamatan di Stesen Kereta Api Tanjong Pagar pada era 1940-an.

Menurut Encik Mohamed Sadri, keunikannya terletak pada mesej yang ditulis dalam lima bahasa.

Selain bahasa Inggeris, ia juga memaparkan ukiran dalam bahasa Tamil, Cina dan Jawi.

“Ini mencerminkan kepelbagaian masyarakat dan keterangkuman pada masa itu,” kata beliau.

Topi keledar pegawai SPF

Topi keledar yang pernah digunakan oleh anggota Pasukan Polis Singapura (SPF) pada tempoh Komanwel. Kini, ia menjadi salah satu koleksi unik yang dipamerkan di kedai, Treasures at Home. milik Encik Mohamed Sadri Mohamed Farick.
Topi keledar yang pernah digunakan oleh anggota Pasukan Polis Singapura (SPF) pada tempoh Komanwel. Kini, ia menjadi salah satu koleksi unik yang dipamerkan di kedai, Treasures at Home. milik Encik Mohamed Sadri Mohamed Farick. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Topi keledar rusuhan itu merupakan artifak yang dikatakan pernah digunakan oleh anggota Pasukan Polis Singapura (SPF) semasa rusuhan pelajar sekolah menengah Cina pada 1956.

Kini dipamerkan di kedai, Treasures at Home, topi keledar itu menjadi simbol penting sejarah ketegangan sosial yang pernah melanda republik ini, kata Encik Mohamed Sadri.

Rusuhan tersebut tercetus akibat ketegangan antara pihak penjajah yang berkuasa dengan masyarakat Cina, kejadian yang mengorbankan 13 nyawa serta mencederakan lebih 120 orang.

Potret seniwati, Zaiton Abdullah

Gambar ini memaparkan seniwari, Zaiton Abdullah, sebagai satu-satunya pelakon Melayu yang dipilih untuk mewakili Singapura dalam poster syarikat penerbangan, Pan American Airways, pada era 1960-an.
Gambar ini memaparkan seniwari, Zaiton Abdullah, sebagai satu-satunya pelakon Melayu yang dipilih untuk mewakili Singapura dalam poster syarikat penerbangan, Pan American Airways, pada era 1960-an. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Poster klasik syarikat penerbangan, Pan American Airways (Pan Am), itu menampilkan seniwati ikonik, Zaiton Abdullah.

Mungkin anda mengenali beliau sebagai ‘Chombi’ daripada filem, Ibu Mertuaku, yang ditayangkan pada 1962.

Menurut Encik Mohamed Sadri, seniwati Zaiton dipilih sendiri oleh syarikat penerbangan itu sebagai wajah Singapura kerana kecantikannya yang terserlah pada 1963.

“Pan Am hanya memilih wanita paling cantik di setiap negara,” kongsi beliau.

Poster yang turut memaparkan tandatangan Zaiton itu berjaya dimiliki Encik Mohamed Sadri lima tahun lalu (2020) selepas menantikan peluang memilikinya dengan harga yang mampu dimiliki, berbanding RM15,000 ($4,562.32) yang pernah ditawarkan kepadanya dahulu.

Bagi Encik Mohamed Sadri, nilai poster itu bukan sekadar sebagai koleksi antik, malah warisan peribadi kerana seniwati Zaiton juga merupakan ibu saudaranya.

Poster itu akan diwarisi anak atau cucunya kelak sebagai tanda kebanggaan terhadap legasi keluarga, tambah beliau.

Majalah ‘Gelanggang Film’ pada 1960-an

Majalah, ‘Gelanggang Film’, memaparkan dunia perfileman Melayu klasik yang diterbitkan sekitar 1960-an.
Majalah, ‘Gelanggang Film’, memaparkan dunia perfileman Melayu klasik yang diterbitkan sekitar 1960-an. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dalam pada itu, koleksi naskhah lama majalah hiburan berbahasa Jawi itu juga merupakan antara bahan paling ikonik yang disimpan rapi Encik Mohamed Sadri.

Diterbitkan sekitar 1960-an, majalah seperti, Gelanggang Film, memaparkan dunia perfileman Melayu klasik dengan wajah popular seperti Tan Sri P. Ramlee.

“Saya rasa tidak ramai yang pernah pegang, apatah lagi baca naskhah seperti ini sekarang,” kata Encik Mohamed Sadri.

Beliau menambah majalah seperti itu bukan sekadar sumber hiburan, malah bukti sejarah tulisan Jawi yang pernah digunakan secara meluas oleh semua kaum, termasuk golongan Cina dan India.

Lukisan potret Presiden pertama Singapura

Lukisan potret Presiden pertama Singapura, Allahyarham Encik Yusof Ishak, yang telah berkhidmat dari 1965 hingga 1970. 
Lukisan potret Presiden pertama Singapura, Allahyarham Encik Yusof Ishak, yang telah berkhidmat dari 1965 hingga 1970.  - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Potret lelaki bergaya itu bukan sekadar karya seni, bahkan merupakan potret awal Presiden pertama Singapura, Allahyarham Encik Yusof Ishak, ketika beliau baru memulakan kerjayanya sebagai wartawan.

Menurut Encik Mohamed Sadri, potret itu ditemui di Perak, lokasi pejabat pertamanya semasa beliau menubuhkan akhbar, Utusan Melayu.

Namun, setelah dibersihkan, Encik Mohamed Sadri yakin potret itu harus dimilikinya sebagai penghormatan kepada tokoh negara yang disegani.

Walaupun ada yang sanggup menawarkan sehingga $8,000 untuk potret itu, beliau enggan menjualnya kerana nilai sentimental dan sejarahnya terlalu tinggi.

“Ramai usahawan gemar meletakkan gambar beliau di pejabat sebagai simbol keyakinan, seolah-olah kehadiran potret Allahyarham Presiden Yusof Ishak membawa tuah dan mencerminkan perniagaan mereka sebagai sesuatu yang boleh dipercayai,” kata Encik Mohamed Sadri.

Plat basikal dari zaman 2000-an

Disebabkan penggunaan basikal yang menjadi kenderaan utama di Singapura pada zaman 2000-an, pendaftaran diperlukan oleh warga British.
Disebabkan penggunaan basikal yang menjadi kenderaan utama di Singapura pada zaman 2000-an, pendaftaran diperlukan oleh warga British. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Disebabkan kebergantungan tinggi terhadap basikal suatu ketika dahulu, pihak penjajah berkuasa British memperkenalkan sistem pendaftaran bagi memastikan keselamatan kenderaan itu.

Plat pendaftaran logam seperti itu, lengkap dengan nombor siri unik pada setiap satu unit basikal, menjadi simbol penting dalam usaha penguatkuasaan ketika itu.

Walaupun keperluan mendaftarkan basikal telah dimansuhkan pada 1982, plat seperti sebegitu kekal sebagai artifak bersejarah yang mencerminkan kaedah pengangkutan bagi orang ramai pada zaman dahulu.

Beg plastik Metro sempena Hari Kebangsaan

Beg plastik Metro ini merupakan barangan promosi ikonik yang pernah diedarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada era 1980-an. Versi itu memaparkan wajah individu pelbagai kaum di Singapura, Melayu, Cina, India dan Serani sebagai lambang perpaduan.
Beg plastik Metro ini merupakan barangan promosi ikonik yang pernah diedarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada era 1980-an. Versi itu memaparkan wajah individu pelbagai kaum di Singapura, Melayu, Cina, India dan Serani sebagai lambang perpaduan. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Beg plastik dengan cogan kata, ‘Metro is Singapore’ ini merupakan barangan promosi ikonik yang pernah diedarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada era 1980-an.

Encik Mohamed Sadri berkata beliau menemui beg itu secara tidak sengaja dalam sebuah bas polis semasa masih bertugas di SPF pada 2014.

“Saya perlukan sesuatu untuk lindungi kepala daripada hujan.

“Ternampak beg ini di sisi pemandu, lalu saya ambil dan simpan sehingga hari ini,” katanya.

Menariknya, versi beg itu memaparkan wajah individu daripada pelbagai kaum di Singapura, iaitu Melayu, Cina, India dan Serani sebagai lambang perpaduan.

“Ia mencerminkan semangat kebersamaan dan kepelbagaian masyarakat yang menjadi tunjang kepada identiti negara,” ujar Encik Mohamed Sadri.

Jata Negara

Jata Negara ini dipercayai berasal dari bangunan Istana dan diperbuat daripada papan lapis. Menurut Encik Mohamed Sadri, jata seumpamanya menjadi lambang kebanggaan negara yang digantung di bangunan rasmi pemerintah.
Jata Negara ini dipercayai berasal dari bangunan Istana dan diperbuat daripada papan lapis. Menurut Encik Mohamed Sadri, jata seumpamanya menjadi lambang kebanggaan negara yang digantung di bangunan rasmi pemerintah. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Jata Negara itu menjadi lambang yang dikenali ramai dan lazim dipaparkan di bangunan pemerintah.

Berukuran sekitar 88 sentimeter lebar dan 90 sentimeter tinggi, artifak itu dipercayai berasal dari bangunan Istana semasa era kepimpinan Allahyarham Presiden Yusof Ishak.

Diperbuat daripada papan lapis, versi itu dipercayai berusia antara 50 dengan 70 tahun berdasarkan jenis kayu dan mutu pertukangan ketika itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg