Topik diikuti
Pergi ke BHkuMartabatkan bahasa Melayu agar seiring sejalan bahasa Inggeris
Perkukuh bahasa Melayu sebagai jati diri selain usaha semarak budaya membaca
Martabatkan bahasa Melayu agar seiring sejalan bahasa Inggeris
Seorang nenek kelihatan meneliti menu bergambar di sebuah restoran makanan segera.
Sambil membelek, beliau berkata: “Boy, what you want to eat? I buy for you!” (“Adik nak makan apa? Nenek belikan!”),
Dua orang cucunya, yang saya anggarkan berusia antara empat dengan enam tahun, rancak berbual sesama sendiri dalam bahasa Inggeris.
Seorang bertutur dengan pelat yang mengingatkan saya kepada loghat British, manakala seorang lagi seakan-akan berloghat Australia.
Mereka berbangsa Melayu.
Saya akui, hati saya sedikit terusik.
Bukan kerana mereka bertutur dalam bahasa Inggeris, tetapi kerana saya tertanya-tanya:
“Adakah bahasa Melayu masih menjadi bahasa hati dalam keluarga Melayu hari ini?”
Saya sentiasa menitikberatkan penggunaan bahasa Melayu bersama anak-anak saya di luar waktu persekolahan.
Hanya dalam keadaan tertentu, misalnya apabila saya perlu menarik perhatian mereka dengan segera, barulah saya menggunakan bahasa Inggeris.
Hakikatnya, amalan mencampuradukkan bahasa Melayu dan Inggeris semakin menjadi kebiasaan.
Kita melihatnya dalam podcast, wawancara dan media sosial.
Mungkin strategi itu dianggap lebih berkesan untuk menarik perhatian pembaca, penonton dan pendengar, khususnya ketika tempoh tumpuan kini semakin singkat.
Namun, persoalannya, adakah strategi yang sama wajar dibawa ke dunia penulisan, sastera dan akhbar Melayu?
Haruskah kita membiarkan bahasa Melayu semakin kehilangan keasliannya dengan menerima semakin banyak perkataan Inggeris semata-mata kerana dianggap lebih mudah difahami?
Prestasi murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Singapura masih kekal baik secara keseluruhannya.
Namun, dalam masa yang sama, ramai pendidik dan pemerhati masyarakat mengakui bahawa corak penggunaan bahasa di rumah telah berubah.
Semakin banyak keluarga Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.
Keadaan ini menjadikan penguasaan bahasa Melayu dalam bentuk akademik, sastera dan penulisan yang lebih tinggi semakin mencabar bagi generasi muda.
Bagi merapatkan jurang tersebut, Kementerian Pendidikan (MOE) bersama para pendidik dan pertubuhan masyarakat telah melaksanakan pelbagai program bahasa dan kebudayaan di dalam serta di luar bilik darjah.
Inisiatif sebegini sememangnya baik.
Namun, usaha ini tidak akan berjaya jika hanya dipikul oleh pihak sekolah atau segelintir pencinta bahasa.
Bahasa Melayu mesti diberikan nilai dan kedudukan yang setara dalam kehidupan harian, bukan sekadar dijadikan mata pelajaran di sekolah.
Bahasa Melayu perlu terus dihidupkan, bukan sekadar diajar di sekolah.
Keasliannya perlu dipelihara walaupun dunia perdagangan dan tanpa sempadan terus menekan penggunaan bahasa yang dianggap lebih berpengaruh.
Jika kita ingin melahirkan masyarakat yang berilmu, kita mesti mengembalikan budaya membaca.
Tidak hairanlah wahyu pertama yang diturunkan ialah iqra’ yang bermaksud bacalah.
Membaca mendahului proses melihat dan bertindak kerana ilmu menjadi landasan bagi setiap tindakan.
Tanpa ilmu, pemerhatian dan tindakan mudah tersasar.
Membaca juga membuka pintu ilmu dan tamadun, manakala pengamatan membolehkan ilmu yang diperoleh diterapkan dalam kehidupan.
Sudah tiba masanya kita keluar daripada kerangka pemikiran kolonial yang sekian lama membentuk persepsi terhadap bangsa Melayu.
Ramai sarjana British pada zaman penjajahan menilai kecerdasan orang Melayu melalui lensa orientalisme yang sarat dengan prasangka.
Tokoh seperti mendiang Frank Swettenham, pentadbir kolonial berbangsa British yang menjadi residen jeneral pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada akhir abad ke-19 hingga awal abad ke-20; dan mendiang Hugh Clifford, pentadbir British di Tanah Melayu misalnya, sering menggambarkan orang Melayu sebagai kurang berinisiatif, tidak gemar bersaing dan tidak rajin bekerja.
Gambaran seperti ini akhirnya membentuk stereotaip bahawa orang Melayu kurang berdaya saing dari sudut intelektual berbanding bangsa lain.
Pandangan mendiang Swettenham mengenai orang Melayu itu boleh didapati dalam buku, Malay Sketches, yang diterbitkan pada 1895 dan The Real Malay: Pen Pictures, yang diterbitkan pada 1899 oleh beliau.
Begitu juga mendiang Richard Winstedt, pegawai pentadbir kolonial dan orientalis Inggeris yang mempunyai kepakaran mengenai hal ehwal Tanah Melayu pada awal abad ke-20 dalam bukunya, A History of Classical Malay Literature (diterbitkan pada 1939/1953).
Ia banyak mengaitkan kesusasteraan Melayu sebagai hasil pengaruh luar, khususnya India dan Arab, sehingga seolah-olah menafikan kemampuan intelektual masyarakat Melayu tempatan untuk membina tamadunnya sendiri.
Pandangan tersebut dikritik secara mendalam oleh Allahyarham Syed Hussein Alatas, melalui karya, The Myth of the Lazy Native (1977).
Allahyarham Syed Hussein merupakan seorang ahli akademik, sosiologi dan ahli politik Malaysia.
Beliau membuktikan bahawa stereotaip itu sebenarnya dibentuk bagi menyokong kepentingan kolonial, bukannya berdasarkan penilaian objektif.
Ramai sarjana moden pula berpendapat tradisi intelektual Melayu berkembang berasaskan agama, nilai kerohanian dan kebijaksanaan tempatan yang tidak semestinya dapat diukur menggunakan piawaian Barat.
Generasi kita mungkin sudah lama memperjuangkan keaslian bahasa Melayu.
Kita tidak mengharapkan generasi seterusnya menolak bahasa Inggeris, kerana bahasa itu juga penting dalam dunia moden.
Yang kita harapkan adalah bahasa Melayu tidak dikorbankan demi mengejar kemajuan.
Kemajuan yang sebenar bukanlah apabila kita fasih berbahasa asing, tetapi apabila kita mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia tanpa kehilangan bahasa, budaya dan jati diri sendiri.
Bahasa yang tidak dibaca akan kehilangan ilmunya.
Bahasa yang tidak digunakan akan kehilangan jiwanya.
Namun, bahasa yang sengaja ditinggalkan akan kehilangan bangsanya.
Persoalannya bukan sama ada anak-anak Melayu mampu bertutur dalam bahasa Inggeris.
Persoalannya adalah, adakah mereka masih mampu berfikir, berhujah, membaca dan bermimpi dalam bahasa Melayu?
Jika jawapannya semakin kabur, mungkin yang semakin layu bukan sekadar bahasa, tetapi sebahagian daripada jati diri kita sendiri.
Bahasa bukan sekadar alat komunikasi.
Bahasa ialah tempat sesuatu bangsa menyimpan ingatan, ilmu, adab dan harga dirinya.
Apabila bahasa semakin jarang dibaca dan digunakan, yang semakin pudar bukan sekadar perkataan, tetapi cara sesuatu bangsa memahami dirinya sendiri.
Semoga usaha kita bersama menjadi sebahagian daripada ikhtiar menghidupkan budaya membaca dan mencintai bahasa Melayu.
Seperti dalam buku rujukan, Pelita Bahasa Melayu, tulisan Allahyarham Pendeta Za’ba, beliau berkata bahawa bahasa menunjukkan bangsa.
Ungkapan itu sering diulang, tetapi maknanya masih relevan.
Bahasa bukan sekadar menunjukkan siapa kita, malah menentukan apa yang akan kita wariskan kepada generasi seterusnya.
“
Kita tidak mengharapkan generasi seterusnya menolak bahasa Inggeris, kerana bangsa itu juga penting dalam dunia moden. Yang kita harapkan adalah bahasa Melayu tidak dikorbankan demi mengejar kemajuan. Kemajuan yang sebenar bukanlah apabila kita fasih berbahasa asing, tetapi apabila kita mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia tanpa kehilangan bahasa, budaya dan jati diri sendiri.
