Topik diikuti
Pergi ke BHkuMantan menteri M’sia tertarik usaha TWM kekalkan warisan, budaya majmuk
Mantan menteri M’sia tertarik usaha TWM kekalkan warisan, budaya majmuk
Tan Sri Syed Hamid Albar puji inisiatif tempatan yang menghubungkan generasi muda dengan sejarah dan menonjolkan jati diri masyarakat
Mantan menteri M’sia tertarik usaha TWM kekalkan warisan, budaya majmuk
Usaha Singapura memelihara budaya dan warisan masyarakat majmuknya telah menarik perhatian bekas menteri Malaysia, Tan Sri Syed Hamid Albar, dalam rangka lawatan tidak rasmi ke sini.
Syed Hamid, yang pernah mengendalikan kementerian pertahanan, ehwal dalam negeri, dan ehwal luar negara itu, berada di sini dari 28 hingga 30 April. Beliau ditemani isterinya serta beberapa kakitangan Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara, Kuala Lumpur, di mana beliau adalah pengerusi.
Lawatan beliau, yang ditemani Kelab Pondok Peranakan Gelam (PPGC) merangkumi kunjungan ke masjid-masjid, pusat warisan, dan badan-badan Melayu/Islam di Singapura.
Antara tempat yang dilawati termasuk Taman Warisan Melayu, Makam Habib Noh di Masjid Haji Muhammad Salleh di Palmer Road, Masjid Ba’alwie dan Pondok Gelam.
Mereka juga dijadualkan melawat ibu pejabat Jamiyah di Geylang pada 30 April.
Dalam perbualan dengan Berita Harian (BH) di Masjid Sultan pada 29 April, beliau menyifatkan lawatan itu sebagai peluang meninjau amalan terbaik masjid, mempelajari pendekatan untuk memperkukuh jalinan berbilang kaum dan budaya, di samping mengeratkan silaturahim.
Syed Hamid menekankan betapa pentingnya masyarakat kekal terhubung dengan sejarah dan warisan, lebih-lebih lagi dalam era yang semakin didominasi oleh Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi.
Dua inisiatif yang memikat perhatiannya ialah pelancaran buku The Grand Mosque of Singapore yang meraikan 200 tahun pembangunan Masjid Sultan serta galeri di Taman Warisan Melayu yang baru dibuka semula.
Beliau memuji inisiatif sebegini kerana berjaya menghubungkan generasi muda dengan sejarah, sekali gus menyerlahkan keunikan jati diri masyarakat Singapura yang pelbagai kaum dan agama.
