Satu-satunya akhbar bahasa Tamil di Singapura, Tamil Murasu (TM), menganjurkan majlis Murasu 360 bagi menutup tirai Festival Bahasa Tamil (TLF) 2026 di Kelab Perkhidmatan Awam (CSC) di Tessensohn Road, berdekatan Farrer Park, pada 26 April.

Ini merupakan kali pertama majlis seumpama itu diadakan untuk menyingkap detik-detik penting semasa TLF, yang berlangsung selama sebulan bermula 29 Mac.

Festival itu menyaksikan lebih 40 acara diadakan, merangkumi pameran budaya, perbahasan kesusasteraan dan program kemasyarakatan bagi meraikan bahasa Tamil.

Majlis penutup tirai itu memberi introspeksi menyeluruh berkenaan festival tersebut bagi masyarakat India di sini, di samping menumpukan fokus kepada golongan belia yang menjadi pelapis bahasa Tamil untuk masa hadapan.

Ia dihadiri Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Undang-Undang), Encik Murali Pillai, selaku tetamu kehormat.

Antara yang hadir termasuk Anggota Parlimen (AP) GRC West Coast-Jurong West, Dr Hamid Razak dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Haresh Singaraju.

Ketika berucap kepada hadirin, Encik Murali menyentuh tentang evolusi festival itu sejak 2006, daripada satu inisiatif berskala kecil kepada gerakan komuniti yang penting kini.

“Kami melihat generasi belia (kini) yang mempelajari bahasa Tamil bukan sahaja kerana mereka terpaksa, tetapi disebabkan mereka ingin mempelajarinya.

“Mereka mencari kaedah inovatif untuk menerapkan bahasa Tamil ke dalam dunia moden,” ujarnya.

Beliau menggesa masyarakat untuk meluaskan usaha yang disemai semasa festival itu di rumah, sekolah, dan tempat kerja bagi memastikan bahasa Tamil terus mekar.

Tumpuan utama majlis itu adalah penglibatan 15 wartawan pelajar, yang telah dikerahkan bagi membuat liputan pelbagai acara TLF.

Para pelajar menjalani dua sesi latihan sebelum festival itu berlangsung.

Ia merangkumi latihan penulisan berita, teknik menemu bual, dan penerbitan video.

Pelajar ini kemudian dijemput naik ke pentas semasa majlis itu untuk membentangkan hasil kerja mereka, termasuk video ringkas mengenai pengalaman sebagai wartawan.

Salah seorang pelajar, Kamadchi Chandrasekar, 19 tahun, berkata interaksi dengan orang ramai daripada segenap lapisan masyarakat adalah pengalaman paling unik baginya.

“Ia memberikan saya wadah untuk menjadi suara masyarakat dan mengetengahkan isu-isu yang benar-benar penting bagi saya, seperti kesihatan mental,” kata beliau.

Editor TM, Encik T. Rajasegar, menyatakan belum pernah ada majlis penutup tirai TLF sebelum ini, lantas menyifatkan majlis sedemikian penting bagi berkongsi sorotan festival, menilai jangkauan sama ada pihaknya mencapai impak yang diinginkan.

Pengerusi Majlis Bahasa Tamil (TLC), Encik Naseer Ghani, menyuarakan sentimen serupa.

Beliau memuji wartawan muda atas kepintaran digital dan menyatakan penerbitan video golongan itu membantu dalam menyiarkan mesej festival tersebut merentasi pelbagai platform.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), Encik Anbarasu Rajendran, pula menyatakan inisiatif berteraskan belia akan memastikan bahasa Tamil terus berkembang maju.

“Wartawan muda ini membawa dalam diri mereka keyakinan yang tinggi. Mereka mempunyai visi jelas mengenai cara memacu bahasa Tamil ke hadapan,” tambah beliau.

Wartawan pelajar dari Maktab Rendah Saint Andrew’s (SAJC), Kumaravelu Kamalasivaani, 16 tahun, akur tugasan kewartawanan yang bersifat pantas amat menggerunkan pada mulanya.

Namun, selepas menghadiri acara-acara sempena festival, beliau berkata ia mendorongnya untuk “keluar dari zon selesa” dan berinteraksi dengan individu lain, sekali gus “membuka mata kepada minat mendalam Singapura terhadap bahasa Tamil”.

Beliau menambah pengalaman itu mengasah kemahiran penulisan, pengurusan masa dan media sosial – kecekapan penting dalam era digital hari ini.

Penolong Setiausaha Persatuan Tamil Singapura, Cik Gopikka Narasa Lakshmi, berkata beliau menghargai sorotan yang diberikan semasa majlis itu.

Menurutnya, maklumat yang disampaikan menyeluruh dan adalah cara yang baik untuk menyerlahkan acara-acara TLF yang mudah difaham untuk masyarakat.

Beliau berkata ‘Murasu 360’ yang dipacu wartawan pelajar berjaya menerapkan kemahiran industri kepada golongan muda, di samping memberi suara kepada golongan belia.

“Dengan meminta para belia mengenal pasti cabaran terhadap bahasa Tamil dan mencari penyelesaian secara aktif, ia adalah satu langkah yang hebat bagi masa hadapan,” katanya.

Selain pembentangan pelajar, majlis itu turut menampilkan sesi temu bual secara langsung dalam format podcast bersama Encik Naseer di atas pentas, serta pementasan sandiwara oleh artis tempatan.