Satu kawasan kehakiman baru akan dibangunkan di Havelock Road bagi menempatkan Mahkamah Negara, Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC) dan Mahkamah Syariah di satu lokasi.
Langkah itu bertujuan meningkatkan akses kepada keadilan serta memperkukuh kerjasama dalam sistem perundangan Singapura.
Mengumumkan rancangan tersebut di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan pada 12 Januari, Ketua Hakim, Encik Sundaresh Menon, berkata penempatan bersama mahkamah berkenaan akan memudahkan perkongsian kemudahan dan perkhidmatan.
Ini di samping membangunkan idea bersama serta amalan terbaik dalam kalangan institusi kehakiman.
Selain menggariskan 2026 sebagai tahun meraikan ulang tahun ke-200 Piagam Keadilan Kedua, Encik Menon berkata Mahkamah Keadilan Keluarga akan digunakan semula untuk menempatkan Mahkamah Syariah.
Encik Menon menambah: “Ulang tahun ke-200 ini juga akan menampilkan satu pencapaian penting dalam pembangunan fizikal prasarana mahkamah kita.
“Ia adalah pembentukan sebuah Kawasan Kehakiman yang merangkumi Oktagon, Menara Mahkamah Negara, serta bangunan yang sebelum ini menempatkan Mahkamah Keadilan Keluarga, yang akan diguna semula untuk menempatkan Mahkamah Syariah dan institusi kehakiman berkaitan yang lain.
“Langkah ini akan memudahkan perkongsian kemudahan dan perkhidmatan, selain membolehkan pembangunan bersama idea serta amalan terbaik.”
Dalam satu kenyataan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada 12 Januari, ia menekankan bahawa Mahkamah Syariah akan terus berpandukan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) dalam membuat keputusan kehakiman berkaitan perceraian orang Islam.
Penempatan bersama Mahkamah Syariah dengan institusi kehakiman lain di kawasan yang sama akan membolehkan perkhidmatan yang lebih baik dapat diberikan kepada mereka yang memerlukannya.
Projek itu akan dibangunkan secara berperingkat dan maklumat lanjut akan diumumkan kelak.
Sementara itu, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut menyambut baik pengumuman itu dan berkata ia menandakan satu detik penting dalam perkembangan institusi kehakiman di Singapura.
“Perpindahan Mahkamah Syariah ke Havelock Road di samping institusi-institusi kehakiman lain akan memudahkan individu dan keluarga mendapat sokongan yang mereka perlukan dengan lebih cekap.
“Ini akan membolehkan kerjasama yang lebih kukuh serta operasi yang lebih lancar antara mahkamah-mahkamah kita,” kata beliau.
Mengulas pengumuman itu, Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, berkata dalam mahkamah tersebut terus berpandukan Amla, penempatannya dengan institusi kehakiman lain akan meningkatkan kemudahan bagi pengguna mahkamah mengakses sistem dan perkhidmatan perundangan.
Ini seperti perintah perlindungan dan kewajipan nafkah untuk suami, isteri dan anak-anak, di satu lokasi pada masa hadapan, katanya.
“Ia mengukuhkan kepentingan Mahkamah Syariah dalam sistem keadilan keluarga yang lebih luas di Singapura serta peranannya dalam memperkukuh keluarga Muslim dan memelihara hubungan kekeluargaan.
“Selain itu, ia menandakan komitmen pemerintah untuk meningkatkan keberkesanan operasi sistem Mahkamah Syariah selaras dengan rangka kerja perundangan Singapura,” tambahnya.
Mahkamah Syariah, yang kini terletak di kawasan Redhill di Lengkok Bahru, akan berpindah ke bangunan bekas Kementerian Buruh – kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga Manusia (MOM) – yang telah diwartakan sebagai Monumen Negara pada 1998.
Bangunan tersebut sebelum ini digunakan oleh Mahkamah Keadilan Keluarga, sehingga mahkamah berkenaan berpindah ke bangunan berbentuk oktagon yang pernah menempatkan Mahkamah Negara sehingga 2019.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg