Walaupun ramai mahasiswa menumpukan perhatian kepada memburu kelayakan akademik, Encik Muhammad Irfan Djuanda, memilih meluangkan sebahagian besar masanya berbakti kepada masyarakat.

Menerusi Program Pemimpin Pasukan Belia (YCLP), satu program pembangunan kepimpinan masyarakat selama sembilan atau 12 bulan bagi belia berusia dari 17 hingga 25 tahun, peserta dikehendaki merancang dan melaksanakan satu projek khidmat masyarakat bagi membantu golongan memerlukan.

Encik Irfan, 25 tahun, anak bongsu dalam keluarga lima beradik, memilih untuk membimbing belia berisiko, iaitu remaja sekolah menengah, dari usia 13 hingga 16 tahun, yang kurang mendapat sokongan daripada keluarga.

Beliau bersama tujuh peserta lain dalam program YCLP telah membangunkan satu inisiatif persahabatan bagi membimbing belia berisiko yang tinggal di kawasan Lengkok Bahru.

Program yang dibangunkan itu dikenali sebagai Program Dolphins Befrienders, yang dijalankan dengan bimbingan Persatuan India Muslim Bersatu (UIMA).

Dalam sesi persahabatan belia yang diadakan setiap Jumaat, Encik Irfan membimbing belia berisiko itu menerusi pelbagai tema, termasuk mengenali potensi diri, berani keluar dari zon selesa serta memupuk kemahiran insaniah, seperti kemahiran berkomunikasi, kepimpinan dan kebolehsuaian.

“Belia berisiko. Itu hanyalah satu label.

“Ada yang memandang rendah terhadap mereka kerana tanggapan awal, lalu memilih untuk tidak bergaul dengan mereka. Tetapi keadaan ini hanya mewujudkan satu kitaran yang berterusan.

“Melalui interaksi dan sesi yang kami lalui bersama, saya sedar sebenarnya kami tidak banyak beza.

“Seperti orang lain juga, mereka cuma memerlukan seseorang yang boleh memahami, mendengar dan berbual dengan mereka,” kata Encik Irfan ketika ditemui Berita Harian (BH).

Markah agregat Encik Irfan yang hanya mencecah sekitar 200 mata bagi Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) membuatkan beliau percaya dirinya tidak akan mampu mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

Perasaan ragu-ragu terhadap kebolehan sendiri itu berterusan sehingga ke sekolah menengah.

Beliau sering berasa kurang bermotivasi dan tidak mempunyai tujuan yang jelas dalam pelajaran, malah sekadar mengikut arus rakan-rakan, bahkan lebih gemar bergurau.

Namun, keprihatinan guru-guru yang sentiasa bertanya khabar, rakan-rakan yang memberikan semangat, serta ahli keluarga yang tidak pernah berhenti mempercayainya, sedikit demi sedikit memberinya keyakinan dan kekuatan untuk terus melangkah demi masa depan.

Pengalaman itu telah mendorong beliau untuk menjadi sumber sokongan yang sama buat belia berisiko yang dibimbingnya.

“Saya mempunyai sistem sokongan ini, tetapi mereka tidak. Jadi, lebih penting bagi saya untuk menyokong mereka.

“Apabila kami menyedari belia ini mungkin tidak mempunyai sistem sokongan seperti yang kami nikmati, kami tampil membimbing mereka mengenali diri sendiri dengan lebih baik.

“Kami berharap dapat menyemai keberanian dan daya tahan dalam diri mereka,” katanya.

Menurut beliau, membina kepercayaan belia merupakan antara keutamaannya.

Dalam setiap sesi, beliau meluangkan masa mengenali mereka dengan lebih mendalam agar dapat menjadi sumber sokongan yang tekal.

Iltizam Encik Irfan untuk berbakti kepada masyarakat telah dipupuk jauh sebelum beliau menyertai program YCLP.

Nilai sukarelawan telah diterapkan sejak kecil.

Bapanya, Encik Djuanda Kamid, merupakan sukarelawan aktif bersama Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), dan ini menjadikan amalan menyumbang kepada masyarakat sebagai sebahagian kehidupan keluarganya.

Justeru, meskipun perlu mengimbangi pengajian di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) dengan tanggungjawab mengetuai Jabatan Perhubungan Pelajar universiti itu, Encik Irfan tetap meluangkan masa membimbing belia berisiko kerana percaya usaha itu sama pentingnya dengan menuntut ilmu.

Dengan mengetuai Jabatan Perhubungan Pelajar universiti, Encik Irfan menjadi penghubung antara mahasiswa dengan pihak pengurusan kanan universiti bagi menyampaikan maklum balas serta kebimbangan pelajar

Segala usaha itu dilaksanakan seiring dengan pengajiannya di SUTD, di mana beliau menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dalam Kejuruteraan Sistem dan Reka Bentuk, serta merupakan antara hampir 600 lulusan yang menerima ijazah pada 30 Mei lalu.

Bagi Encik Irfan, ilmu yang diperoleh di universiti bukan sesuatu yang terpisah daripada kerja sukarelawannya, sebaliknya saling melengkapi.

Beliau percaya kemahiran analisis yang dipelajari sepanjang pengajiannya suatu hari nanti mampu membantu pertubuhan masyarakat memahami dengan lebih mendalam keperluan golongan memerlukan.

“Sebagai contoh, penggunaan kecerdasan buatan (AI) boleh membantu memperkukuh sistem sokongan dengan mengenal pasti kumpulan sasaran yang ingin kami dekati melalui kerja-kerja kesukarelawanan dengan lebih berkesan.

“AI boleh membantu menjawab persoalan seperti, ‘Siapakah kumpulan sasaran ini?’ dan ‘Apakah cabaran utama yang mereka hadapi?’ Semua ini boleh diperoleh menerusi tinjauan, kemudian dianalisis pada skala yang lebih besar dengan bantuan AI,” jelas beliau.

Walaupun teknologi mampu membantu sesuatu pertubuhan menjangkau lebih ramai penerima manfaat, Encik Irfan percaya perubahan yang benar-benar bermakna tetap bermula dengan hubungan sesama insan, sesuatu yang beliau sendiri alami sepanjang menjadi sukarelawan dan mendampingi belia berisiko.

Pernah bergelut dengan keyakinan diri dalam perjalanan pendidikannya sendiri, Encik Irfan kini melihat pengajian dan kerja sukarelawan sebagai dua usaha yang saling melengkapi.

Walaupun beliau berharap teknologi suatu hari nanti dapat memperkukuh usaha menyokong masyarakat, beliau percaya perubahan berkekalan bermula daripada insan yang sudi mendengar, memberi dorongan dan percaya kepada potensi orang lain, sebagaimana orang lain pernah mempercayai dirinya.