Topik diikuti
Pergi ke BHkuLTA uji papan tanda ERP baru di lima lokasi
LTA uji papan tanda ERP baru di lima lokasi
LTA uji papan tanda ERP baru di lima lokasi
Keberkesanan papan tanda dan penandaan jalan bagi Bayaran Elektronik Jalan Raya (ERP) generasi baru akan diuji di lima lagi lokasi pada Jun dan Julai 2026.
Papan tanda dan penandaan jalan itu bertujuan menjadi petunjuk visual lokasi kutipan ERP apabila gantri fizikal ditanggalkan, di bawah sistem baru yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2027.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mahu mengetahui pengalaman pengguna tentang isyarat visual tersebut.
Fasa percubaan terkini itu merupakan fasa kedua kajian tersebut, susulan ujian awal yang dijalankan di Bayshore Drive pada Mac, kata LTA pada 12 Mei.
Reka bentuk papan tanda dan penandaan jalan ERP turut diperhalusi berdasarkan maklum balas daripada fasa percubaan di Bayshore itu.
Lima gabungan papan tanda dan penandaan jalan yang berbeza akan diuji di lima ekspreswe serta jalan raya dari 1 Jun hingga 31 Julai.
Menurut LTA, lokasi yang dipilih merupakan kawasan kutipan ERP sedia ada yang mewakili pelbagai keadaan trafik dan jalan raya, bagi membolehkan ujian dijalankan dalam pelbagai senario, kata LTA.
Lima lokasi percubaan itu ialah:
1) Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) – Menghala ke barat selepas Kallang Bahru di Jejambat Woodsville.
2) PIE – Menghala ke barat sebelum Eunos Link.
3) Ekspreswe Central (CTE) – Menghala ke selatan dari Serangoon Road.
4) Marina Boulevard ke Ekspreswe Pantai Marina (MCE), menghala ke timur.
5) Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) – Menghala ke bandar selepas Jurong Town Hall
Fasa percubaan itu akan melibatkan kira-kira 1,000 pemandu dan penunggang.
Dalam percubaan di Bayshore itu, pengalaman pengguna terhadap penandaan jalan seperti simbol bujur biru dengan huruf ‘E’ dan laluan sepanjang 25 meter yang dicat biru telah diuji.
Ujian rintangan gelincir turut dijalankan bagi memastikan permukaan penandaan jalan itu memenuhi piawaian keselamatan jalan, kata LTA.
Kejelasan papan tanda dan penandaan jalan itu juga diuji.
Sistem ERP 2 menggunakan teknologi satelit, bukan gantri, untuk menentukan lokasi kenderaan bagi tujuan kutipan tol.
Unit dalam kenderaan (OBU) akan mengesan apabila kenderaan melalui lokasi ERP dan mengira caj yang dikenakan.
Pemandu akan dimaklumkan mengenai lokasi kutipan ERP melalui papan tanda, penandaan jalan dan pemberitahuan di OBU.
Pesanan OBU akan memberi amaran awal mengenai lokasi caj ERP, kadar caj semasa dan jumlah caj yang dikenakan, kata LTA.
LTA berkata pihaknya bekerjasama dengan Persatuan Automobil Singapura (AAS), Majlis Keselamatan Jalan Raya Singapura (SRSC) dan pihak berkepentingan lain untuk mengundang pemandu dan penunggang menyertai kajian itu.
Peserta juga akan mencuba fungsi baru OBU termasuk pemberitahuan ERP tambahan, pembayaran automatik tol pusat pemeriksaan dan pembayaran tempat letak kereta tepi jalan melalui skrin sentuh OBU.
Pada 12 Mei, LTA berkata sekitar 960,000 kenderaan telah dipasang dengan OBU, meliputi lebih 96 peratus kenderaan berdaftar di Singapura.
Semua kenderaan di jalan raya perlu dipasang dengan OBU mulai 1 Januari 2027.
Pemandu dan penunggang yang tidak menyertai kajian itu boleh menghantar maklum balas mengenai penandaan jalan dan papan tanda itu kepada LTA melalui LTA_Pilot_GNSS@lta.gov.sg sebelum 31 Julai.
Menurut LTA, penemuan kajian itu akan membantu pembangunan isyarat visual jalan yang jelas dan mudah difahami bagi menyokong peralihan lancar kepada sistem ERP 2 tanpa gantri.
LTA sebelum ini berkata gantri akan mula ditanggalkan secara berperingkat pada lewat 2026, bermula dengan gantri yang tidak lagi beroperasi.
Sehingga Mac, terdapat 95 gantri di seluruh Singapura, dengan 22 daripadanya sedang beroperasi.
