Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 17 November berkata 20 bas awam elektrik buatan syarikat Yutong, yang beroperasi di jalan raya Singapura, tidak boleh dikawal dari jauh oleh pengeluar dari China itu.
LTA menambah, bas itu juga tidak menyokong pengemaskinian perisian secara jauh, sebagai menjawab soalan The Straits Times mengenai keselamatan siber bas berkenaan, menyusuli laporan daripada pengendali pengangkutan awam Norway, Ruter.
Ruter berkata pada akhir Oktober bahawa ujian ke atas bas elektrik tersebut menunjukkan Yutong berkemungkinan boleh mematikannya dari jauh.
“Ini boleh disalahgunakan untuk menjejas bas tersebut,” kata laporan itu.
Pengendali dari Norway itu kini merancang untuk memperkenalkan keperluan keselamatan yang lebih ketat dan meningkatkan langkah antipenggodaman.
LTA berkata 20 bas Yutong di Singapura telah beroperasi dengan lancar bagi perkhidmatan bas awam sejak 2020.
Menurut Land Transport Guru, sebuah laman web bebas yang memberi tumpuan kepada sistem pengangkutan awam Singapura, bas-bas Yutong di sini digunakan oleh pengendali bas awam Tower Transit Singapore, Go-Ahead Singapore dan SMRT.
Mengulas tentang laporan Ruter itu, LTA berkata: “Kami sedia maklum kenyataan awam Yutong yang menjelaskan bahawa basnya tidak boleh dikawal atau dimatikan dari jauh”.
LTA juga sedia maklum Yutong telah menyatakan bahawa data yang dikumpulkan itu digunakan semata-mata bagi penyelenggaraan kenderaan dan untuk meningkatkan prestasinya.
“Bagi bas-bas elektrik di tempat lain yang menerima pengemaskinian perisian secara jauh, ia hanya dijalankan dengan kelulusan jelas daripada pengendali dan tidak menjejas sistem kawalan kenderaan,” kata LTA.
Pihak berkuasa itu berkata bas-bas elektrik yang diperolehinya mesti mematuhi peraturan antarabangsa yang mewajibkan pengeluar melaksanakan reka bentuk keselamatan, pengurusan risiko, dan proses pengurusan kemas kini perisian sepanjang hayat kenderaan tersebut.
LTA turut menuntut agar kontraktornya mengambil langkah perlindungan data yang ketat.
Menurut LTA, ia akan bekerjasama rapat dengan semua pembekal bas dan melaksanakan pemeriksaan yang diperlukan bagi memastikan risiko berkaitan kesambungan luaran dapat dikurangkan sepenuhnya.
Pihaknya telah bertemu dengan Yutong dan pengeluar bas elektrik lain seperti BYD dan Zhongtong.
Laman web Yutong menyatakan bahawa syarikat itu telah menjual hampir 110,000 bas kepada lebih 100 negara di Eropah, Afrika, Amerika Latin dan rantau Asia Pasifik.
Ruter berkata ia akan memperkenalkan keperluan keselamatan yang lebih ketat dan meningkatkan langkah antipenggodaman selepas ujian pada Ogos yang menunjukkan Yutong mempunyai akses kepada sistem kawalan bas tersebut bagi tujuan pengemaskinian perisian dan diagnostik.
Ujian-ujian itu, di mana bas-bas dipandu ke dalam lombong bawah tanah untuk menyekat semua isyarat luaran, telah dijalankan ke atas bas Yutong serba baru dan juga bas berusia tiga tahun daripada pengeluar Belanda, VDL.
Ruter berkata ujian menunjukkan bas Belanda itu tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan pengemaskinian perisian secara jauh, manakala bas buatan China mempunyai keupayaan itu.
The Guardian melaporkan, Britain juga akan menyiasat sama ada ratusan bas buatan China boleh dikawal dari jauh oleh pengeluarnya, dan sama ada bas keluaran Yutong terdedah kepada risiko campur tangan luar.
Laporan itu berkata siasatan ini dibuat berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penglibatan Beijing dalam prasarana Britain.
Denmark turut membuka siasatan selepas laporan Norway itu dikeluarkan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg