Topic followed successfully
Go to BHkuLondon terima Hadiah Bandar Dunia Lee Kuan Yew 2026
London terima Hadiah Bandar Dunia Lee Kuan Yew 2026
Diiktiraf atas keupayaan perbaharui, laksana perubahan bagi kota yang padat dibangunkan
London terima Hadiah Bandar Dunia Lee Kuan Yew 2026
Kota London di Britian telah dianugerahkan Hadiah Bandar Dunia Lee Kuan Yew 2026.
Ia merupakan edisi kelapan bagi anugerah antarabangsa dwitahunan tersebut bagi mengiktiraf kota yang mencerminkan daya inovasi cemerlang, tadbir urus berkesan dan kepimpinan strategik dalam mengatasi cabaran bandar.
London telah dianugerahkan hadiah tersebut atas keupayaannya yang luar biasa untuk memperbaharui kotanya dan melaksanakan perubahan bagi metropolis yang padat dibangunkan.
Pada hakikatnya, kota tersebut berdepan dengan kerumitan dalam mentadbir urus lebih sembilan juta penduduk merentasi 32 daerah serta City of London Corporation.
Namun, London tetap menonjolkan kepimpinan berdaya tahan dan tadbir urus yang tersusun dalam mendekati perihal pembangunan bandar.
Dalam satu hantaran Facebook, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada London atas penganugerahan Hadiah Bandar Dunia Lee Kuan Yew 2026 itu.
“Daripada prasarana utama seperti Laluan Kereta Api Elizabeth (Elizabeth Line) hingga kepada usaha menghidupkan semula kawasan seperti King’s Cross dan Taman Olimpik Queen Elizabeth, London menunjukkan bagaimana perancangan bersepadu dapat memacu pembaharuan bandar yang terangkum dan mampan.
“Semasa lawatan saya ke London tahun lalu (2025), saya berpeluang melihat sendiri bagaimana ruang awamnya yang meriah serta usaha penjanaan semula bandar menyokong perniagaan dan masyarakat, sambil memelihara kekayaan warisan bandar tersebut dengan penuh teliti,” tambah beliau.
Beberapa strategi penting yang dilaksanakan London telah melayakkan kota itu untuk dianugerahkan hadiah itu.
Antaranya ialah membangunkan rangkaian prasarana pengangkutan yang menjadi pemangkin kepada penjanaan semula bandar.
Contohnya, pembangunan Laluan Kereta Api Elizabeth sepanjang 118 kilometer yang merentasi bandar di kota yang padat dan kompleks itu.
Setakat ini, laluan itu telah membawa lebih 800 juta penumpang dan telah menjadi pemangkin kepada pembinaan lebih 71,000 rumah baru.
Selain itu, London juga telah mengusahakan Zon Pelepas Ultra Rendah, zon udara bersih yang terbesar seumpamanya di dunia.
Usaha itu telah membawa kepada pengurangan sebanyak sekitar 54 peratus dalam kepekatan nitrogen dioksida di pusat London.
Secara tidak langsung, ia telah meningkatkan mutu udara bagi sembilan juta penduduk, sekali gus membolehkan bandar itu memenuhi had undang-undang Britain setahun lebih awal daripada jadual.
Merakam penghargaannya atas penganugerahan ini, Datuk Bandar London, Encik Sadiq Khan, berkata:
“Hadiah ini merupakan penghargaan terhadap usaha inovatif kami sepanjang 10 tahun.
“Daripada usaha tangkas untuk mengatasi pencemaran udara dan melancarkan Laluan Kereta Api Elizabeth hingga kepada penyediaan 100 juta makanan sekolah percuma kepada penduduk muda London.”
Lima lagi bandar, Antwerp, Belgium; Budapest, Hungary; Guangzhou dan Tianjin, China serta Taipei, Taiwan telah dipilih sebagai sebutan khas atas inisiatif pembangunan bandar mereka yang cemerlang.
Lima bandar tersebut telah berjaya melaksanakan usaha transformatif dalam projek pembaharuan bandar mereka.

