SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lisa Haryono: Dari pentas tempatan ke konsert antarabangsa

Lisa Haryono: Dari pentas tempatan ke konsert antarabangsa

Feb 23, 2026 | 5:30 AM

Lisa Haryono: Dari pentas tempatan ke konsert antarabangsa

Lisa Haryono
Lisa Haryono membawakan empat lagu, termasuk solo ‘Your Love’ dan ‘Valentine’, serta duet bersama John Trones, ‘Destiny’ dan ‘The Gift’. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Penyanyi dan pemuzik yang berpangkalan di Singapura, Lisa Haryono, 33 tahun, meluaskan pengalaman muziknya dari pentas tempatan ke konsert antarabangsa Jim Brickman (penggubah lagu dan pemain piano dari Amerika Syarikat) pada 6 Februari di Panggung Capitol.

Minatnya terhadap muzik berputik sejak kecil apabila ibunya mendaftarkannya dalam kegiatan muzik ketika masih menetap di Indonesia.

“Sejak kecil, muzik adalah luahan rasa saya. Saya rasa ia sebahagian daripada diri saya,” ujar Lisa yang kini menetap di Singapura dan menuntut pada tahun pertama di Maktab Seni Lasalle di peringkat Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang muzik.

Kerjaya profesional Lisa di Singapura bermula sekitar 2012 dan 2013, ketika beliau menuntut di politeknik dan memenangi pertandingan band antara politeknik anjuran Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dengan Thunder Rock School.

Penampilan profesional pertamanya sebagai pemuzik sesi (sessionist) ialah ketika bermain celo dan menyanyi latar untuk Esther Low (Esther Lowless).

Sejak itu, Lisa kerap bekerjasama dengan artis tempatan terkemuka seperti, Benjamin Kheng, Rriley, Linying, Marian Carmel, Inch Chua, dan Charlie Lim.

“Setiap persembahan mengajar saya sesuatu yang baru tentang diri sendiri dan muzik,” jelas beliau yang mengagumi penyanyi Alicia Keys dan Whitney Houston.

Di konsert Jim Brickman, Lisa mendendangkan empat lagu, termasuk solo Your Love dan Valentine, serta duet bersama John Trones, Destiny dan The Gift.

Pada awalnya, beliau mengakui agak gugup kepada penulis.

“Saya memang takut pentas dan ingatan lirik saya agak teruk.

“Namun, apabila di atas pentas, semua ketakutan itu hilang.

“Suasana sekeliling serta sokongan daripada Jim dan John membuatkan saya benar-benar ‘lebur’ dalam muzik,” ujarnya.

Bagi Lisa, detik paling istimewa adalah kebebasan untuk berkarya dan ketika melakukan persembahan.

“Anda boleh rasa muzik itu bergerak dalam diri anda, walaupun di hadapan penonton yang ramai dan tanpa teleprompter (telepanduan). Itu adalah pengalaman yang amat luar biasa,” katanya.

Lisa berpendapat, muzik bukan sekadar bunyi, malah jambatan yang menghubungkan dirinya dengan setiap cerita dan emosi.

“Suara saya unik dan tiada galang gantinya. Ia membuatkan saya lebih menghargai setiap nota yang saya nyanyikan,” tambah Lisa.

Pengalaman itu semakin menguatkan tekad Lisa untuk menjaga kesihatan vokal dan meneruskan perjalanan kerjayanya, baik di pentas tempatan mahupun antarabangsa.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg