Topik diikuti
Pergi ke BHkuLim Tean ditangkap di JB selepas gagal serah diri di Mahkamah Negara S’pura
Lim Tean ditangkap di JB selepas gagal serah diri di Mahkamah Negara S’pura
Peguam dan ahli politik pembangkang, Lim Tean, ditangkap pada 6 Ogos di Johor Bahru oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), selepas satu waran tangkap dikeluarkan ke atasnya kerana gagal hadir di mahkamah Singapura.
Lim sepatutnya menyerah diri pada 3 Ogos untuk memulakan hukuman penjara kerana mengamalkan kerjaya guaman tanpa sijil amalan yang sah.
Waran tangkap dikeluarkan terhadapnya pada hari yang sama.
Pada 7 Ogos, jurucakap Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata:
“Memandangkan Lim Tean mempunyai waran tangkap mahkamah yang belum dilaksanakan di Singapura kerana gagal menyerah diri ke mahkamah, SPF sedang bekerjasama rapat dengan PDRM untuk memastikan kepulangannya ke Singapura.”
Lim disabitkan kesalahan pada Julai 2024 atas tiga tuduhan di bawah Akta Kerjaya Guaman, dan dijatuhi hukuman penjara enam minggu serta denda $1,000 oleh Hakim Daerah pada Februari 2025.
Lim, yang merupakan Setiausaha Agung parti Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), telah menghadiri perbicaraan mahkamah dan menyerahkan dokumen sebanyak 32 kali antara April dengan Jun 2021, sedangkan dia tidak mempunyai sijil amalan yang sah pada masa itu.
Dia kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukumannya.
Pihak pendakwa turut memfailkan rayuan bagi hukuman lebih berat antara lima dengan lapan bulan penjara.
Pada Februari 2026, Hakim Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwa dan menambah hukuman penjara tiga bulan dan seminggu buat Lim.
Lim kembali ke mahkamah pada April 2026, ketika dia didenda $30,000 dalam satu kes disiplin berhubung pengendaliannya terhadap sekeping cek $30,000 yang sepatutnya untuk pelanggannya.
Persatuan Peguam Singapura sebelum ini menyeru supaya Lim digugurkan sebagai peguam, manakala Lim berhujah di hadapan Mahkamah Tiga Hakim bahawa “denda yang sangat kecil” sepatutnya dikenakan.
Mahkamah memetik beberapa faktor dalam mengenakan denda yang lebih berat, termasuk sikap sambil lewanya terhadap kewajipan peguam dalam mengendalikan wang pelanggan, serta statusnya sebagai peguam senior dengan lebih 25 tahun pengalaman pada masa itu.
Peguam di Singapura perlu memohon sijil amalan mereka setiap tahun amalan, yang bermula dari 1 April hingga 31 Mac tahun berikutnya.
Lim gagal memohon sijil amalan menjelang 31 Mac 2021 kerana dia menghadapi kesukaran mendapatkan insurans indemniti profesionalnya, satu prasyarat untuk memohon sijil amalan.
Lim merupakan pengasas parti pembangkang, Suara Rakyat (PV) dan pengasas bersama PAR, sebuah gabungan yang turut disertai PV.
