Lelaki yang dituduh sebar ajaran sesat nafi dakwaan
Seorang lelaki yang dituduh mengajar doktrin yang bertentangan dengan undang-undang Islam telah menafikan pelbagai dakwaan yang dikenakan terhadapnya, dengan mengatakan bahawa dia tidak menjalankan kelas agama, antara lain.
Ketika memberi keterangan pada hari kelapan perbicaraannya pada 4 November, bekas tukang urut, Mohd Razif Radi, 67 tahun, memberitahu Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan bahawa dia sedar dia telah dituduh mengajar orang lain bahawa perjudian itu halal dan bahawa ‘nikah batin’ antara lelaki dengan perempuan sah.
Tertuduh menambah bahawa dia juga sedar bahawa dia dituduh mendakwa boleh menyeru roh ‘Mbah’, yang kononnya dikatakan Nabi Muhammad atau daripada keturunan Nabi.
Menjawab pertanyaan peguam bela, Encik Simon Tan, Razif, yang pernah bekerja sebagai pemandu dan kini menganggur, berkata:
“Saya tidak mengajar ajaran sebegitu. Saya berpegang kepada (ajaran) Islam.”
Menurut undang-undang Islam (syariah), perjudian adalah dilarang atau haram.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menyatakan bahawa pernikahan batin adalah pernikahan yang dilangsungkan tanpa memenuhi rukun-rukun nikah tertentu – seperti wali, saksi dan akad – justeru menjadikannya tidak sah dari segi syarak.
Dalam perbicaraan itu, Razif memberi keterangan bahawa dia telah berkahwin dengan isterinya selama 42 tahun dan mereka mempunyai tiga orang anak bersama, lapor The Straits Times.
Dia berkongsi latar belakang pendidikan pada Hakim Shaiffudin, menyatakan bahawa dia gagal dalam pendidikan Darjah 6 dan menghadiri Sekolah Vokasional Mountbatten, di mana dia belajar kemahiran pertukangan.
Razif melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk menjadi pemandu dan kemudiannya menjadi tukang urut, dan dia mengatakan telah menunaikan ibadah haji pada 2002.
Dia menekankan bahawa dia tidak mempunyai rekod jenayah, dan menambah: “Saya seorang Muslim. Saya mengamalkan (ajaran) Islam”.
Razif menafikan menjalankan kelas agama, mendakwa dia hanya bertemu dengan yang lain sebagai rakan untuk berbual mengenai keluarga dan perniagaan.
Dia juga menolak dakwaan menggunakan gelaran ‘Mbah’, menerangkan bahawa ia merujuk kepada individu yang lebih tua.
Tambahan pula, dia tidak pernah mendengar tentang ‘nikah batin’ sebelum perbicaraan ini.
Walaupun dia menafikan membuat kenyataan mengenai hasil judi boleh disucikan, dia mengakui pernah terlibat dalam kegiatan judi secara peribadi.
Perbicaraan diteruskan.

