Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki didakwa miliki senjata, termasuk busur silang buatan sendiri
Lelaki didakwa miliki senjata, termasuk busur silang buatan sendiri
Lelaki didakwa miliki senjata, termasuk busur silang buatan sendiri
Seorang lelaki didakwa di mahkamah pada 8 April atas satu tuduhan memiliki senjata, selepas pihak polis menemui apa yang disifatkan sebagai “simpanan besar” barang larangan di sebuah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Penemuan itu dibuat susulan laporan mengenai individu yang melepaskan tembakan (firing projectile) di kawasan tersebut.
Menurut dokumen mahkamah, Lee Chuan Sheng, 39 tahun, didakwa memiliki tiga busur silang (crossbow) memanah buatan sendiri dan lapan busur di sebuah unit di Blok 108 Potong Pasir Avenue 1 pada 6 April.
Dalam kenyataan awal, polis mendedahkan pegawai polis turut menemui pelbagai barangan lain di unit berkenaan.
Ini termasuk 119 anak panah, 12 pisau, empat pistol BB, tiga lastik, dua senapang pneumatik, satu peranti pegun (stun device), dan satu baton yang boleh dipanjangkan.
Pistol BB direka untuk menembak pelet logam atau plastik, manakala senapang pneumatik menggunakan udara mampat untuk melepaskan tembakan.
Pihak polis turut menemui sebuah pencetak tiga dimensi (3D) dan 17 gulung filamen pencetak yang dipercayai telah digunakan untuk menghasilkan beberapa bahagian senjata berkenaan.
Jurucakap polis berkata mereka menerima laporan sekitar 10 pagi pada 6 April mengenai seorang individu yang melepaskan tembakan dari sebuah flat di Potong Pasir.
Pegawai dari Divisyen Ang Mo Kio segera bergegas ke lokasi dan Lee berjaya ditangkap tidak lama kemudian.
Tanpa mendedahkan butiran lanjut, polis berkata Lee mungkin berdepan tuduhan tambahan di bawah Akta Kawalan Senjata Api, Letupan dan Senjata.
Kes Lee akan disebut semula di mahkamah pada 6 Mei.
Bagi setiap tuduhan memiliki senjata, pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga lima tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya enam kali sebatan rotan.
Bagi pesalah berulang pula, hukuman penjara boleh mencecah lapan tahun berserta sekurang-kurangnya enam kali sebatan rotan.

