Topic followed successfully
Go to BHkuLelaki didakwa lempar telur ke kereta polis dibawa semula ke tempat kejadian
Lelaki didakwa lempar telur ke kereta polis dibawa semula ke tempat kejadian
Lelaki didakwa lempar telur ke kereta polis dibawa semula ke tempat kejadian
Seorang lelaki, Davin Lian Ke Xiang, 28 tahun, dibawa polis ke Punggol pada pagi 31 Mac, kembali ke lokasi vandalisme yang didakwa dilakukannya.
Lian dikatakan membuat sekurang-kurangnya 18 panggilan palsu kepada polis. Kenderaan polis yang dihantar selepas panggilan itu kemudiannya dilempar telur.
Pada 25 Mac, Lian didakwa di mahkamah atas tuduhan vandalisme kerana membaling telur ke arah kenderaan polis.
Kira-kira 10 pagi, Lian, diikat tangan dan kaki serta memakai pelitup muka, dibawa pegawai polis ke Blok 296 Punggol Central di hadapan penduduk yang memerhati.
Pegawai penyiasat dilihat menyoal siasat Lian, yang bukan penduduk kawasan itu, di tingkat lima blok dan di luar sebuah tempat pengumpulan sampah.
Pada 21 Mac, Lian didakwa melempar sebutir telur ke kereta polis yang diletakkan di tempat pengumpulan sampah di Blok 296 Punggol Central.
Antara 3 Februari dengan 22 Mac, polis telah menerima panggilan telefon daripada Lian tentang aktiviti jenayah yang kemudian didapati palsu.
Kenderaan polis yang tiba untuk mengendalikan insiden pada 15, 21, dan 22 Mac dilempar telur setelah pegawai keluar untuk memeriksa laporan jenayah tersebut.
Lian ditahan pada 23 Mac hasil siasatan susulan oleh pegawai dari Divisyen Polis Ang Mo Kio.
Siasatan mendedahkan bahawa Lian telah membuat panggilan palsu setelah mendapatkan talian mudah alih menggunakan kad pengenalan yang dilapor hilang.
Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Lian pernah didakwa atas dua tuduhan pada Oktober 2025, iaitu menceroboh dan ugutan jenayah.
Ketika melakukan kededua kesalahan tersebut, dia sedang menjalani perintah pengurangan hukuman atau remission order.
Perintah tersebut lazimnya diberi selepas pesalah menjalani dua pertiga tempoh hukuman, dengan syarat tidak mengulangi kesalahan dalam tempoh itu.
Pada 25 Mac, Lian memohon di mahkamah untuk penilaian psikiatri menggantikan tahanan reman, mendakwa jenayah dilakukan kerana tekanan.
Hakim memerintahkan supaya Lian direman selama seminggu, dan seorang pegawai akan menilai sama ada dia memerlukan bantuan psikiatri.
Lian dijadualkan kembali ke mahkamah pada 1 April.
Bagi kesalahan vandalisme, hukuman boleh merangkumi penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga $2,000, dan sehingga lapan kali sebatan rotan.

