Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih banyak kes Covid-19 dijangka dari pusat KTV

Ye Kung: Kes jangkitan baru mengecewakan, tapi pelonggaran langkah pengurusan selamat tidak akan ditarik balik, S'pura berkedudukan baik tangani jangkitan
Jul 15, 2021 | 5:30 AM
4b7e6d33-ce17-4c98-9050-075e68915ec3
-

LEBIH banyak kes Covid-19 yang dikaitkan dengan kelompok pusat hiburan KTV dijangka muncul dalam beberapa hari mendatang, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, dengan kelompok tersebut kini antara yang terbesar di Singapura.

Namun, Encik Ong yang menyifatkan kejadian itu sebagai merisaukan dan mengecewakan, berkata pelonggaran langkah-langkah diperketat sejak Isnin lalu, yang antara lain membolehkan sehingga lima orang duduk makan semeja di tempat makan, tidak akan ditarik balik.

Ini kerana Singapura kini dalam kedudukan lebih berdaya tahan disebabkan kadar vaksinasi yang tinggi, dengan lebih 70 peratus penduduk telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 manakala lebih 40 peratus pula telah mendapatkan kededua dos vaksin mereka.

"Kami berfikir panjang, dan oleh sebab kita baru saja memulakannya pada Isnin, dan kita kini mempunyai kadar vaksinasi lebih tinggi... tidak akan ada sebarang penarikan balik," kata beliau kepada wartawan menerusi Zoom semalam.

Beliau berkata tidak begitu terkejut dengan lonjakan kes itu kerana varian Delta memang lebih mudah berjangkit.

Encik Ong menambah, keutamaan Kementerian Kesihatan (MOH) kini adalah mengenal pasti mereka yang dijangkiti dan mengasingkan individu tersebut dengan pantas untuk melindungi masyarakat.

Semalam, 41 daripada 56 kes dalam masyarakat yang dilaporkan dikait dengan kelompok KTV itu.

Ini termasuk seorang penumpang berusia 40 tahun di atas kapal persiaran Dream Cruises, yang dikenal pasti sebagai kenalan rapat salah satu kes positif.

Ini menjadikan saiz kelompok KTV 53 kes, antara kelompok terbesar yang masih aktif di sini.

Encik Ong menggesa mereka yang mengunjungi pusat hiburan KTV dan berinteraksi dengan pelayan sejak 29 Jun lalu agar menjalani ujian yang disediakan percuma, sambil berkata proses ujian itu rahsia dan privasi mereka dilindungi.

"Saya tahu ada segelintir yang terfikir jika mereka diuji positif, adakah tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka. Saya akan katakan ini: polis akan ambil tindakan terhadap pusat hiburan KTV dan pelayan. Bagi pelanggaran langkah jarak selamat, penguatkuasaan berada di bawah MOH. Keutamaan MOH kini ialah untuk mencari siapakah yang dijangkiti, dan jika anda positif, dengan cepat mengasingkan anda dan cepat mengambil tindakan untuk melindungi keluarga anda dan masyarakat. Itu keutamaan kami sekarang. Oleh itu, sila tolong tampil untuk menguji diri anda," kata beliau.

Jika individu tidak selesa menjalani ujian di pusat pemeriksaan, Encik Ong menggesa mereka agar mengasingkan diri dan mendapatkan ahli keluarga mereka membelikan kit ujian pantas antigen (ART). Mereka juga boleh memantau kesihatan mereka bagi 14 hari dan tidak berinteraksi dengan sesiapa.

Beberapa kelab dan ruang KTV, seperti Club Dolce di Balestier Point dan Empress KTV di Pusat Beli-Belah Tanglin, dikaitkan dengan kelompok KTV itu.

Kes pertama dalam kelompok itu merupakan seorang wanita warga Vietnam yang berada di sini dengan pas lawatan jangka pendek. Wanita itu telah pergi ke doktor pada Ahad lalu dengan gejala jangkitan pernafasan teruk, kata pengarah khidmat perubatan MOH, Profesor Madya Kenneth Mak.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg