Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 85% individu jalani pemeriksaan TB di Bedok Central diuji negatif
Lebih 85% individu jalani pemeriksaan TB di Bedok Central diuji negatif
Pemeriksaan besar-besaran dibuat susulan penemuan tiga kelompok batuk kering
Lebih 85% individu jalani pemeriksaan TB di Bedok Central diuji negatif
Sebanyak 85.1 peratus daripada 3,169 individu yang menjalani pemeriksaan penyakit batuk kering, atau tuberkulosis (TB), di Bedok Central disahkan negatif daripada jangkitan tersebut.
Pemeriksaan besar-besaran itu dikendalikan menyusuli penemuan tiga kelompok TB di kawasan berkenaan.
Baki 14.9 peratus atau seramai 473 individu yang mencatat keputusan ujian darah positif akan dihubungi untuk menjalani pemeriksaan x-ray bagi menentukan sama ada mereka menghidap TB aktif atau jangkitan pendam, kata pihak berkuasa.
Keputusan pemeriksaan operasi selama seminggu pada awal Mei itu diumumkan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) pada 13 Mei.
“Keputusan pemeriksaan setakat ini sejajar dengan jangkaan,” kata Menteri Negara Kanan (Kesihatan), Encik Tan Kiat How, ketika ditemui di Heartbeat@Bedok, lokasi ujian imbasan x-ray percuma bagi mereka yang menunjukkan keputusan ujian darah positif diadakan antara 13 dengan 15 Mei.
Beliau menambah, keputusan tersebut serupa dengan keadaan jangkitan TB yang pernah menular di Pasar dan Pusat Makanan ABC Brickworks di Jalan Bukit Merah pada Februari 2024.
Selepas latihan pemeriksaan besar-besaran di Jalan Bukit Merah, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, pada 5 Mei, berkata tiada lagi kes TB aktif dikesan dalam kalangan penduduk di kawasan itu sejak Februari 2024.
Sebilangan besar daripada 473 individu yang mencatat keputusan ujian darah positif mungkin menghidap jangkitan TB jenis tidak berjangkit, atau lebih dikenali sebagai jangkitan TB pendam, jelas CDA.
Jangkitan TB pendam bukan sesuatu yang luar biasa dalam kalangan warga Singapura.
Individu yang menghidap jangkitan TB pendam tidak berjangkit dan tidak boleh menyebarkan penyakit tersebut kepada orang lain.
Bakteria TB kekal tidak aktif dalam sekitar 90 peratus orang dewasa sihat dengan jangkitan TB pendam, tambah CDA.
Pemeriksaan TB tersebut dijalankan menyusuli penemuan tiga kelompok melibatkan 13 kes yang semuanya sama dari segi genetik, yang dikesan di Bedok Central.
Beberapa kes berkemungkinan dijangkiti melalui kunjungan berulang kali atau pendedahan lama di Heartbeat@Bedok, Pusat Makanan & Pasar Blok 216 Bedok, serta Pusat Perjudian Singapore Pools Bedok di Blok 215, Bedok North Street 1.
Justeru itu, sekitar 700 penyewa dan pekerja di tiga lokasi berkenaan diwajibkan menjalani pemeriksaan dari 2 hingga 8 Mei.
Pemeriksaan secara sukarela turut ditawarkan kepada individu yang kerap mengunjungi lokasi tersebut bagi tempoh masa yang lama sejak 2023.
Daripada 3,169 individu yang diperiksa, seramai 1,255 diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan.
Setakat 12 Mei, masih terdapat 41 individu yang belum menjalani pemeriksaan wajib atau membuat janji temu untuk pemeriksaan tersebut.
CDA menggesa individu berkenaan supaya tampil menjalani ujian yang ditawarkan secara percuma sehingga 5 Jun.
Keputusan imbasan x-ray biasa menunjukkan individu tersebut menghidap jangkitan TB pendam.
Ini bermakna individu itu tidak menunjukkan sebarang gejala, tidak berjangkit dan tidak mendatangkan risiko kepada kesihatan awam.
Selain itu, pesakit TB pendam boleh menerima rawatan pencegahan menggunakan antibiotik anti-TB selama empat hingga enam bulan bagi mengurangkan risiko menghidap penyakit TB aktif pada masa akan datang.
Bagi mereka yang menunjukkan keputusan imbasan x-ray tidak normal, penilaian lanjut akan dijalankan di Pusat Penjagaan Tuberkulosis Kebangsaan dan mereka akan dirawat dengan segera jika disahkan menghidap TB aktif.
Pemeriksaan x-ray dada di lokasi bermula di Heartbeat@Bedok pada 13 Mei dan akan berlangsung sehingga 15 Mei.
Penyakit TB berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis.
Ia lazimnya menjangkiti paru-paru tetapi boleh menjejas bahagian badan yang lain juga.
Antara gejala penyakit TB termasuk batuk berpanjangan melebihi dua minggu, demam ringan, peluh malam, keletihan, penurunan berat badan dan sakit dada, kata CDA.
