Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 36,000 isi rumah HDB bakal nikmati kerja naik taraf di kejiranan

Apr 6, 2025 | 5:48 PM
Di bawah Program Pembaharuan Kejiranan (NRP), sebanyak 17 projek di seluruh negara akan menerima suntikan $165 juta oleh pemerintah.
Di bawah Program Pembaharuan Kejiranan (NRP), sebanyak 17 projek di seluruh negara akan menerima suntikan $165 juta oleh pemerintah. - Foto A D LAB

Lebih 36,000 isi rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di seluruh Singapura bakal mendapat manfaat daripada kerja naik taraf di kejiranan mereka di bawah dua skim berbeza.

Kerja naik taraf ini termasuk kemudahan baru seperti laluan berbumbung, tempat menurunkan penumpang dan kemudahan mesra warga emas.

Di bawah Program Pembaharuan Kejiranan (NRP), sebanyak 17 projek – termasuk di Bukit Panjang, Sembawang dan Sengkang – akan menerima suntikan $165 juta oleh pemerintah, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee pada 6 April.

Lebih 25,000 isi rumah dijangka meraih manfaat daripada kerja naik taraf ini.

Kerja naik taraf bagi setiap projek disesuaikan berdasarkan maklum balas penduduk, kata HDB dalam satu kenyataan pada 6 April.

Antara kemudahan yang dibina termasuk laluan berbumbung, kawasan tempat duduk, sudut kecergasan, tempat menurunkan penumpang dan sudut penduduk.

Sementara itu, Program Peningkatan Warga Emas, yang menyediakan penambahbaikan mesra warga emas di kawasan lama yang pernah dinaik taraf sebelum ini, akan diperluas secara berperingkat ke 12 lagi daerah.

Kawasan ini terletak di Ang Mo Kio, Bukit Merah dan Toa Payoh, dan 11,000 isi rumah dijangka dapat meraih manfaat daripada program ini, kata Encik Lee.

Berucap di acara Hari Membina Masyarakat anjuran HDB di Toa Payoh, Encik Lee menambah: “Kini, rumah HDB mempunyai tempat yang istimewa dalam hati ramai rakyat Singapura, jadi kita sentiasa berusaha memastikan ia kekal selesa dan meriah untuk didiami serta terus disesuaikan dengan keperluan yang berubah dari semasa ke semasa.”

Kerja naik taraf di bawah NRP dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah, lapor The Straits Times (ST).

Sejak 2007, lebih $1.5 bilion telah diperuntukkan bagi 229 projek NRP, tidak termasuk 17 projek terbaru.

Daripada jumlah ini, 131 projek yang memberi manfaat kepada 187,000 isi rumah telah siap dilaksanakan, manakala 98 projek melibatkan lebih 103,000 isi rumah masih dijalankan.

Semua blok HDB yang layak dan dibina sehingga 1995 telah dipilih untuk NRP, dan program ini kini diperluas kepada blok yang dibina sehingga 1999, menurut HDB.

Peruntukan akan dinaikkan daripada $6,100 kepada $6,600 bagi setiap flat, bagi menyediakan lebih banyak kemudahan mesra warga emas.

Penambahbaikan ini selaras dengan program nasional Sihat Menua SG, yang menyokong warga emas agar dapat menjalani kehidupan sihat di rumah dan dalam masyarakat, kata Encik Lee.

Secara berasingan, Program Peningkatan Warga Emas – yang menyasarkan kawasan dengan lebih ramai warga emas yang mungkin tidak memenuhi syarat kelayakan di bawah skim NRP – akan selesai dilaksanakan mulai separuh kedua 2027.

Butiran lanjut akan diumumkan.

Encik Lee mengumumkan geran tambahan untuk penduduk yang tidak layak bagi Program Peningkatan Lif, yang memasang lif di blok lama dengan hentian di setiap tingkat.

Mulai 6 April, Geran Akses Lif Perumahan – yang membantu penduduk yang memerlukan akses lif terus untuk membeli flat HDB baru atau jualan semula, akan meningkat sehingga $80,000 untuk keluarga dan $30,000 untuk golongan bujang, berbanding had sebelumnya iaitu masing-masing $30,000 dan $15,000.

Encik Lee berharap penambahbaikan ini memudahkan isi rumah dengan cabaran pergerakan berpindah ke rumah baru yang lebih sesuai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg