SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lebih 1,000 daftar bagi khidmat kenderaan ulang-alik pandu sendiri Punggol

Lebih 1,000 daftar bagi khidmat kenderaan ulang-alik pandu sendiri Punggol

Apr 1, 2026 | 5:41 PM

Lebih 1,000 daftar bagi khidmat kenderaan ulang-alik pandu sendiri Punggol

Lebih 1,000 orang telah mendaftarkan diri untuk perkhidmatan kenderaan ulang-alik pandu sendiri yang pertama di Punggol bagi beberapa minggu akan datang, setakat 31 Mac.

Demikian dimaklumkan Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Pembangunan Negara), Cik Sun Xueling, dalam hantaran Facebook pada 1 April.

Pada 1 April, Cik Sun melawat Pusat Membeli-belah Punggol Coast untuk bertemu dengan penumpang sebelum kenderaan ulang-alik pandu sendiri yang pertama berlepas pada sekitar 9.30 pagi.

Dalam hantarannya di Facebook, Cik Sun, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Punggol, berkata:

“Kami berpeluang berjumpa penduduk Punggol yang teruja mencuba perkhidmatan ini, termasuk pelajar kejuruteraan muda yang menganggapnya impian menjadi kenyataan, serta golongan karyawan yang ingin meninjau potensi teknologi autonomi dalam kerjaya mereka.”

Beliau turut menambah Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) telah bekerja keras sejak beberapa bulan lalu, bekerjasama rapat dengan pengendali tempatan, rakan teknologi, kesatuan sekerja, serta anggota masyarakat Punggol bagi menjayakan pencapaian penting itu.

“Kami berharap penumpang khidmat tersebut dapat memberi maklum balas,” tambah beliau.

Perkhidmatan Kenderaan Autonomi (AV) itu dikendalikan oleh syarikat tempahan kenderaan dalam talian, Grab, dengan kerjasama syarikat AV yang berpangkalan di Guangzhou, WeRide.

Terdapat tiga laluan perkhidmatan ditawarkan di Punggol. Buat permulaan, perjalanan adalah percuma.

Seorang pengendali keselamatan akan sentiasa berada di dalam kenderaan, bersiap sedia untuk mengambil alih kawalan jika timbul keperluan.

Laluan pertama ialah khidmat gelung sepanjang 10 kilometer, menghubungkan penumpang dari Punggol barat ke timur.

AV ini akan membuat empat perhentian – di Blok 234 Punggol Matilda Court; Blok 204A Punggol Clover; Punggol Plaza; dan Oasis Terraces.

Perjalanan dijangka memakan masa sekitar 35 minit.

Laluan kedua pula membawa penumpang dari daerah barat ke utara Punggol.

Laluan gelung sepanjang 12 kilometer ini mengambil masa sekitar 40 minit untuk diselesaikan.

Terdapat lima hentian di laluan ini – Blok 234 Punggol Matilda Court; Blok 204A Punggol Clover; One Punggol (stesen LRT Sam Kee); Blok 420A Punggol Northshore; dan Pusat Membeli-belah Punggol Coast (pusat pertukaran bas).

Laluan ketiga merupakan laluan percubaan selama 20 minit.

AV akan berhenti di Pusat Membeli-belah Punggol Coast, melalui Stesen LRT Sam Kee dan Blok 420A Punggol Northshore Drive.

Walaupun AV akan berhenti di lokasi yang ditetapkan sepanjang laluan, pada fasa awal ini, penumpang masih belum dibenarkan untuk turun.

Menjelang pertengahan tahun 2026, bayaran tetap sebanyak $4 bagi setiap penumpang akan dikenakan apabila perkhidmatan berbayar ini mula beroperasi.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg