Lebih 100 pekerja migran, kebanyakannya dari India dan Bangladesh, hadir di pejabat Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 22 Jun bagi menuntut hak mereka setelah syarikat tempat mereka bekerja ditutup.

Mereka merupakan kakitangan KPA Engineering, sebuah firma yang berpangkalan di Tagore Lane.

Firma tersebut sebelum ini menyediakan khidmat penyelenggaraan penyaman udara.

Encik Sampath, seorang pekerja dari India, mendedahkan beberapa kakitangan tidak menerima gaji selama dua bulan meskipun isu tersebut telah dibangkitkan kepada pihak pengurusan.

“Tetapi kemudian kami terdengar firma itu telah menutup perniagaannya; kami bimbang kerana sudah lama gaji kami tidak dibayar,” luah beliau.

Beliau menambah dalam nada kesal, “Kami tidak tahu siapa lagi yang perlu dirujuk.”

Kumpulan pekerja migran itu tiba di Pusat Perkhidmatan MOM pada 9 pagi.

Pusat di Bendemeer itu merupakan lokasi bagi pelbagai urusan, termasuk pendaftaran permit kerja.

Sebaik dikenal pasti sebagai kakitangan KPA Engineering, mereka disambut oleh pegawai kementerian dan diiringi masuk ke dalam bangunan itu.

Sekurang-kurangnya 100 pekerja dilihat memasuki bangunan tersebut.

Empat daripada mereka, yang enggan mendedahkan identiti, berkongsi bahawa mereka direkrut oleh seorang warga India untuk tugasan berkaitan elektrik serta penyelenggaraan alat penyaman udara.

Mereka mendakwa gaji mereka tertunggak selama dua bulan dan ejen pengambilan pekerja gagal dihubungi.

Para pekerja itu berkata bahawa mereka mengetahui kira-kira empat hari lalu bahawa firma tersebut telah ditutup. Apabila melawat pejabat berkenaan mereka mendapati pintu-pintunya berkunci.

Seorang pekerja berkongsi bahawa beliau menerima gaji bulanan sekitar $600, namun firma itu masih berhutang sebanyak $1,400 kepadanya.

Seorang lagi pekerja mendakwa gaji tertunggaknya mencecah $4,000.

Encik Rajenderan Berthap, 36 tahun, seorang teknisyen di KPA Engineering, telah melaporkan isu itu kepada pegawai MOM yang berjanji untuk menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, tinjauan oleh akhbar The Straits Times di 42 Tagore Lane mendedahkan alamat tersebut kini diduduki oleh CHL Construction.

Menurut kakitangan CHL Construction, syarikat itu telah berpindah ke premis berkenaan pada September 2025, selepas KPA Engineering mengosongkan unit itu.

Rekod perniagaan menunjukkan KPA Engineering diterajui oleh dua pengarah warga asing dengan alamat berdaftar di Hillview.

Sementara itu dalam satu kenyataan pada 22 Jun, Pusat Pekerja Migran (MWC) berkata ia telah mengambil tindakan segera pada pagi 22 Jun untuk bertemu dan membantu pekerja migran yang terjejas akibat dakwaan isu gaji di KPA Engineering dan SK Industries.

“Apabila MWC bertemu dengan pekerja migran di MOM pagi itu, ramai yang hanya mempunyai sedikit atau tiada wang untuk makanan atau pengangkutan. MWC bertindak pantas untuk mengurus keperluan segera mereka, mengatur bantuan makanan dan pengangkutan.

“MWC juga menyediakan sokongan lanjut, termasuk tempat perlindungan sementara dan pertukaran pekerjaan, sekiranya mana-mana pekerja asing memerlukannya. Selain itu, MWC melawat asrama pekerja migran ini petang itu, dan bertemu lebih 300 pekerja, bagi mendengar kebimbangan mereka dan menawarkan jaminan dan bantuan kepada mereka,” kata kenyataan itu.

MWC menambah ia akan membantu pekerja migran yang terjejas meneruskan tuntutan gaji mereka melalui Pakatan Tiga Pihak Bagi Pengurusan Pertikaian (TADM).

Sementara tuntutan mereka sedang diselesaikan, MWC akan terus menjaga keperluan segera pekerja tersebut dan membantu mereka melalui tempoh yang sukar ini, tambah kenyataan itu.