Laporan mengenai buaya di sekitar Pulau Ubin mula kedengaran pada awal April, namun, penduduk tidak gusar dan menjalani hidup seperti biasa.

Akhbar Lianhe Zaobao, pada 31 Mac melaporkan beberapa penduduk melihat reptilia itu di kawasan paya bakau dan berpaya.

Peruncit, pengunjung dan penduduk kampung memberitahu The Straits Times (ST) bahawa mereka tidak berjaga-jaga dan tidak pernah melihat buaya sebelum ini.

Encik Lim Chye Hee, pengusaha kedai sewa basikal berhampiran jeti, berkata beliau tidak pernah melihat buaya sepanjang membesar dan bekerja di tepi laut.

“Apa yang perlu ditakutkan? Buaya di sini mungkin akan lari dahulu apabila nampak anda,” guraunya.

“Sangat sukar untuk melihatnya, mungkin hanya nelayan atau penangkap ketam pernah terserempak.”

Beliau menambah tiada pelanggan pernah melaporkan terserempak dengan buaya, termasuk pemancing di sekitar pulau itu.

“Jika anda melihat buaya, anda seperti menang loteri,” katanya.

Pemandu van Encik Lim Cheng Tek, 68 tahun, juga ragu-ragu tentang dakwaan tersebut kerana tiada bukti gambar dan rakaman.

Beliau pernah tinggal di Pulau Ubin selama 40 tahun dan tidak pernah melihat buaya sepanjang hampir 70 tahun hidupnya.

Ketika lawatan ST pada 21 April, beberapa papan tanda amaran telah dipasang di sepanjang pantai dan kawasan paya bakau.

Walaupun buaya tidak ditemui, Lembaga Taman Negara (NParks) tetap menilai ancaman keselamatan awam setiap kali buaya dilaporkan dan mengambil langkah mengurangkan risiko daripada populasi buaya liar.

Baru-baru ini, seekor buaya dikesan berhampiran Teluk Keppel pada 29 April, lantas orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika beraktiviti di air.

Simply Science, laman khas sains merangkumkan fakta penting mengenai buaya air masin di Singapura.

Buaya air masin atau buaya muara (Crocodylus porosus) ialah satu-satunya spesies buaya liar di Singapura.

Spesies itu mempunyai gigitan paling kuat dalam kalangan haiwan, dengan daya kira-kira 260 kilogram (kg) per sentimeter persegi, hampir 25 kali ganda lebih kuat daripada manusia.

Encik How Choon Beng, Pengarah Kumpulan Pengurusan Hidupan Liar NParks, menyatakan ia lazimnya ditemui di Selat Johor serta kawasan air payau dan air tawar.

Buaya air masin mendiami hutan bakau di sungai, membentang dari pantai timur India hingga utara Australia, dengan anggaran lebih 100,000 ekor spesies itu ditemui.

Menurut Presiden Persatuan Herpetologi Singapura (HSS) yang prihatin tentang pemuliharaan reptila, Encik Kannan Raja, dan pegawai saintifik, Encik Law Ingg Thong, dalam jawapan e-mel kepada ST, buaya air masin di Singapura berkemungkinan gabungan yang menetas di sini dan yang berenang dari negara lain, kerana spesies itu mampu berhijrah jauh mencari persekitaran yang sesuai.

Mereka berkata walaupun buaya air masin diklasifikasikan sebagai “kurang membimbangkan” dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN), ia dianggap sangat terancam di peringkat tempatan dalam Buku Data Merah Singapura.

NParks menekankan bahawa buaya memainkan peranan penting dalam ekosistem paya bakau dengan mengawal populasi haiwan.

Ia turut menjadi penunjuk kesihatan alam sekitar dalam ekosistem tanah lembap.

Menurut Encik How dari NParks, sebagai pemburu nokturnal (waktu malam), ia memakan ikan, mamalia, burung, serta bangkai.

Sebagai pemburu utama, ia licik dan berpontesi menyerang manusia.

Perangkaan CrocAttack mencatat sekurang-kurangnya 1,236 serangan buaya di Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea (2015–2024), dengan kira-kira 700 kematian.

Di Singapura, kes kematian terakhir berlaku pada 1962, apabila ST melaporkan seekor buaya ditembak mati di kampung nelayan berhampiran Upper Serangoon Road selepas dipercayai membaham dua lelaki.

Serangan terakhir dilaporkan di sini berlaku pada 1989, apabila seorang pekerja Thailand berusia 31 tahun diserang di sungai di Lim Chu Kang.

Pada tahun sama, seorang jurulatih buaya kehilangan sebahagian pipi kiri akibat digigit buaya betina di Jurong Reptile and Crocodile Paradise.

Namun, HSS menyatakan, walaupun besar dan kuat, buaya air masin biasanya berwaspada terhadap manusia dan akan mengelak dengan menyelam serta berenang menjauhi mereka.

Persatuan itu menambah, buaya boleh kelihatan di kawasan yang kerap dikunjungi manusia jika tersesat, atau terpaksa melaluinya kerana laluan atau persekitaran yang lebih sesuai telah terhalang atau tiada.

Encik How dari NParks berkata, apabila buaya dianggap mengancam keselamatan orang awam, usaha akan dilakukan untuk menangkap, memindahkan, atau menempatkan semula haiwan tersebut jika perlu.

Jika buaya dianggap berbahaya, NParks akan cuba menangkap dan memindahkannya.

Namun, ia mungkin dimatikan jika tiada pilihan lain demi keselamatan awam.

Pada 2023, seekor buaya liar berhampiran Marina East Drive dimatikan kerana membahayakan keselamatan awam.

Menteri Negara Kanan (Pembangunan Negara merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital) ketika itu, Encik Tan Kiat How, menjelaskan pemindahan ke Paya Simpanan Sungei Buloh tidak sesuai kerana jumlah buaya sedia ada di kawasan lindungan itu sudah tinggi.

Langkah NParks untuk mengurangkan risiko termasuk memasang pagar di Paya Simpanan Sungei Buloh bagi menghalang buaya memasuki laluan pejalan kaki.

Mereka juga memasang papan tanda nasihat berhampiran kawasan kemunculan buaya.

Orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, berundur, dan tidak mendekati atau memberi makan kepada buaya jika terserempak dengannya.

Mereka juga boleh menghubungi NParks di 1800-476-1600 untuk melaporkan kejadian tersebut, tambahnya.

“Walaupun buaya tidak ditemui, Lembaga Taman Negara (NParks) tetap menilai ancaman keselamatan awam setiap kali buaya dilaporkan dan mengambil langkah mengurangkan risiko daripada populasi buaya liar. Langkah NParks untuk mengurangkan risiko termasuk memasang pagar di Paya Simpanan Sungei Buloh bagi menghalang buaya memasuki laluan pejalan kaki. Mereka juga memasang papan tanda nasihat berhampiran kawasan kemunculan buaya.”