SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Lapangan terbang, syarikat penerbangan Asean hadapi ujian kapasiti

Lapangan terbang, syarikat penerbangan Asean hadapi ujian kapasiti

Konflik Teluk telah ubah hala trafik penumpang, sehingga dianggap “krisis membimbangkan”
Mar 31, 2026 | 7:18 PM

Lapangan terbang, syarikat penerbangan Asean hadapi ujian kapasiti

Konflik Iran, Teluk, jejas kapasiti lapangan Terbang, Changi, Asean
Hab-hab penerbangan utama seperti Lapangan Terbang Changi Singapura semakin menghampiri had kapasiti penerbangan mereka, kata Pengarah Jualan Serantau platform data penerbangan OAG, Encik Mayur Patel. - Foto fail

Penutupan lapangan terbang di Timur Tengah – pusat transit utama antara Asia dengan Eropah – akibat konflik Teluk yang berterusan telah mengubah hala perjalanan para penumpang ke hab penerbangan Asia Tenggara seperti Singapura dan Bangkok.

Walaupun peralihan itu memberi manfaat kepada syarikat-syarikat penerbangan Eropah dan Asean, ia turut memberi tekanan kepada kapasiti syarikat-syarikat itu dan lapangan terbang, sehingga sekurang-kurangnya seorang pemerhati industri menggelarnya sebagai “krisis yang membimbangkan.”

Bercakap kepada TTG Asia baru-baru ini, Ketua Pengarah Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik, Encik Subhas Menon, menunjukkan kepada dua situasi yang boleh “menghalang perkembangan industri penerbangan yang sedang berlangsung.”

“Satu adalah (isu) rantaian bekalan; yang satu lagi adalah penutupan ruang udara akibat konflik,” kata beliau kepada syarikat penerbitan perniagaan perdagangan itu.

Hab transit Eropah-Asia tradisional di Dubai dan Doha telah menghadapi serangan dan penutupan berulang di tengah-tengah perang Iran, yang teruk menjejas trafik syarikat-syarikat penerbangan Timur Tengah, Emirates dan Qatar Airways, pada Mac.

Sebagai gantinya, syarikat-syarikat penerbangan Asia seperti Singapore Airlines (SIA) dan Cathay Pacific telah mengambil alih permintaan yang meningkat itu, dengan para penumpang memilih syarikat itu kerana reputasi keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi.

Akibatnya, harga tiket untuk syarikat penerbangan Asia telah meningkat dan mengukuhkan margin keuntungan mereka, kata pemerhati industri.

Para penumpang juga memilih untuk berulang alik melalui pintu masuk yang “selamat” di Asean, seperti Lapangan Terbang Changi Singapura dan Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.

Data daripada agensi perjalanan korporat FCM Travel, sebagai contoh, menunjukkan lonjakan 38 peratus dalam tempahan penerbangan langsung antara Eropah dengan Australia melalui Singapura oleh pengembara korporat, apabila membandingkan tempoh antara 2 dengan 15 Mac dengan dua minggu sebelumnya.

Ini berlaku walaupun tambang penerbangan pada laluan di antara Eropah dengan Asia telah meningkat sehingga 5.6 kali ganda, kata Alton Aviation Consultancy.

Para penganalisis percaya pengembara korporat sanggup membayar harga tinggi untuk keselamatan dan kepastian operasi yang ditawarkan oleh laluan-laluan tersebut.

Syarikat-syarikat penerbangan telah mula menambah kapasiti tempat duduk di lapangan terbang Asia Tenggara untuk memintas negara Teluk.

Antara 10 dengan 19 Mac, British Airways telah menambah lebih 3,300 tempat duduk melalui perkhidmatan tambahan ke Singapura dan Bangkok untuk menampung penumpang yang terjejas.

Begitu juga, Lufthansa dan Air France telah menggunakan pesawat yang lebih besar dan penerbangan tambahan yang diaturkan dalam masa singkat ke Changi dan Suvarnabhumi.

Namun, dengan hab penerbangan Asean yang sudah sesak, lonjakan permintaan untuk penerbangan terus ke Eropah dari hab-hab penerbangan Asean boleh kian menekan kapasiti lapangan terbang rantau ini, kata para penganalisis.

Hab-hab utama seperti Changi semakin menghampiri had kapasiti penerbangan akibat perang Iran, kata Pengarah Jualan Serantau platform data penerbangan OAG, Encik Mayur Patel.

“Tekanan yang berlaku sekarang hanyalah memburukkan lagi keadaan sistem yang sudah pun tegang, kerana banyak lapangan terbang ini dijangka terus sesak sepanjang 2026,” kata Encik Patel.

Lapangan Terbang Changi Singapura mengendalikan hampir 70 juta penumpang pada 2025 – rekod tertinggi yang telah membawanya hampir kepada kapasiti tahunan maksimum 90 juta penumpang.

Jirannya di utara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, memproses 63.3 juta penumpang pada 2025, hanya 6.7 juta kurang daripada kapasiti maksimum yang ditetapkan.

Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok lebih hampir kepada hadnya, setelah mengendalikan 62.9 juta penumpang pada 2025 apabila kapasiti puncaknya adalah 65 juta.

Ketiga-tiga hab itu sedang aktif menaik taraf kapasiti mereka, tetapi kerja-kerja sedemikian hanya dijangka siap sekitar tahun 2030-an.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg