SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kurang 50% siswazah institusi swasta dapat kerja sepenuh masa pada 2025

Kurang 50% siswazah institusi swasta dapat kerja sepenuh masa pada 2025

Perangkaan hampir sama dengan 46.4 peratus pada 2024; gaji median tetap stabil pada $3,500
Apr 8, 2026 | 5:25 PM

Kurang 50% siswazah institusi swasta dapat kerja sepenuh masa pada 2025

gaji median, siswazah baharu, pekerjaan, siswazah, institusi pendidikan swasta, stabil., pasaran pekerjaan, institusi pendidikan swasta
Siswazah baru dari Institusi Pendidikan Swasta menghadapi pasaran pekerjaan yang semakin ketat pada 2025, dengan kurang daripada separuh yang berjaya memperoleh pekerjaan sepenuh masa walaupun gaji median tetap stabil. - Foto ST

Siswazah baharu dari institusi pendidikan swasta berdepan dengan pasaran pekerjaan yang semakin ketat pada 2025, dengan kurang daripada separuh berjaya memperolehi pekerjaan sepenuh masa walaupun gaji median tetap stabil.

Tinjauan terkini Pekerjaan Siswazah Institusi Pendidikan Swasta, yang dikeluarkan oleh SkillsFuture Singapura (SSG) pada 8 April, menunjukkan 46.9 peratus siswazah baharu mendapat pekerjaan sepenuh masa, hampir sama dengan 46.4 peratus pada 2024.

Secara keseluruhan, daripada 2,600 siswazah yang sedang bekerja atau mencari pekerjaan, 78.9 peratus berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian, peningkatan sedikit berbanding 78.6 peratus pada 2024.

Hampir seperempat siswazah, iaitu 24 peratus, pula menemui pekerjaan sambilan atau sementara pada 2025, hampir sama dengan tahun sebelumnya.

Terdapat peningkatan sedikit bagi siswazah yang melakukan kerja bebas (5.1 peratus, berbanding 4.2 peratus pada 2024).

Gaji bulanan kasar median bagi mereka yang bekerja sepenuh masa pada 2025 pula adalah $3,500, sama seperti 2024.

Pendapatan bulanan kasar median adalah nilai tengah bagi gaji semua pekerja di sesebuah negara atau sektor apabila disusun dari nilai terendah hingga tertinggi.

Berbeza dengan purata atau ‘mean’, median dianggap lebih tepat untuk menggambarkan keadaan ekonomi rakyat kebanyakan kerana ia tidak dipengaruhi oleh segelintir individu yang bergaji terlampau tinggi.

Siswazah Universiti James Cook (JCU) membawa pulang gaji tertinggi pada $3,700, diikuti siswazah Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) yang berpendapatan $3,580.

Dalam pada itu, 74.4 peratus siswazah baharu daripada enam universiti berautonomi, seperti Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Nasional Singapura (NUS), memperoleh tugasan tetap sepenuh masa dalam masa enam bulan selepas tamat pengajian.

Siswazah tersebut memulakan pekerjaan dengan gaji bulanan median sebanyak $4,500, menurut hasil tinjauan pekerjaan bersama bagi kohort siswazah universiti tempatan 2025, yang diterbitkan pada Mac.

Dalam kalangan siswazah politeknik yang sudah menjalani Perkhidmatan Negara (NS), 66.2 peratus daripada mereka berjaya memperolehi pekerjaan tetap sepenuh masa, dengan gaji bulanan median sebanyak $3,137 pada 2025.

Tinjauan pendidikan swasta, yang dijalankan antara Oktober 2025 dengan Januari 2026 itu, meraih respons daripada kira-kira 3,800 daripada 6,150 siswazah baharu program ijazah Sarjana Muda sepenuh masa di 26 institusi swasta, termasuk Institut Pengurusan Singapura (SIM) dan Akademi PSB.

Keputusan tinjauan itu memberi tumpuan kepada hasil pekerjaan siswazah yang tamat pengajian antara Mei 2024 dengan April 2025 daripada program ijazah Sarjana Muda sepenuh masa dari luar negara.

Buat kali pertama juga, hasil tinjauan itu turut memberi gambaran sama ada siswazah yang ditinjau telah memperoleh pekerjaan atau tidak, berbanding pembahagian kategori “bekerja” atau “tidak bekerja”, yang digunakan sebelum ini.

Kaedah ini serupa dengan metodologi terkini yang digunakan dalam tinjauan pekerjaan siswazah politeknik dan universiti terbaru.

Mereka yang telah memperolehi pekerjaan termasuk siswazah yang sudah bekerja – sepenuh masa, bebas, atau sambilan – serta mereka yang telah menerima tawaran pekerjaan dan akan memulakan pekerjaan kelak, atau yang sedang mengambil langkah aktif untuk memulakan perniagaan.

Dalam kalangan siswazah 2025 dari institusi swasta, 21.1 peratus belum memperolehi pekerjaan, 2.4 peratus telah menerima tawaran pekerjaan tetapi akan memulakan pekerjaan nanti, manakala 0.6 peratus sedang mengambil langkah aktif memulakan usaha perniagaan.

Siswazah dari kursus Sains Kesihatan di institusi swasta mencatatkan peratusan tertinggi dalam mendapat pekerjaan tetap sepenuh masa, iaitu 76.5 peratus, diikuti mereka dalam bidang Sains, pada 57.5 peratus, dan Kejuruteraan pada 49.4 peratus.

Lulusan Sains Kesihatan ini memperolehi gaji bulanan kasar median tertinggi sebanyak $3,935, diikuti lulusan Teknologi Maklumat dan Digital serta Kejuruteraan yang meraih gaji bulanan kasar median sebanyak $3,900.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg