Singapore Airlines (SIA) dan syarikat penerbangan tambang murah, Scoot, berhenti menggunakan ruang udara Iran sejak 1.30 pagi pada 2 Ogos, kata jurucakap SIA, lapor The Straits Times.
Ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang memuncak di Timur Tengah berikutan pembunuhan pemimpin politik kumpulan Palestin, Hamas, Encik Ismail Haniyeh, pada 31 Julai di Iran.
Bagi menjawab pertanyaan, jurucakap itu berkata penerbangan SIA dan Scoot yang terjejas akan menggunakan laluan penerbangan alternatif.
“Kami akan terus memantau dengan teliti keadaan di Timur Tengah, dan menyesuaikan laluan penerbangan kami mengikut keperluan,” tambah jurucakap itu.
Tiada penerbangan dibatalkan.
“Keutamaan utama Kumpulan SIA ialah keselamatan pelanggan dan kakitangan kami.”
Agensi berita Reuters melaporkan OpsGroup, sebuah pertubuhan berasaskan keahlian yang berkongsi maklumat risiko penerbangan, memberikan nasihat dalam satu buletin bagi trafik antara Asia dengan Eropah supaya mengelakkan ruang udara Iran dan Iraq.
Nota itu dikeluarkan sehari selepas sumber memberitahu Reuters pegawai tertinggi Iran akan bertemu wakil sekutu serantau negara itu dari Lebanon, Iraq dan Yaman untuk membincangkan kemungkinan berlakunya tindak balas terhadap Israel.
Menurut Reuters, penerbangan SIA ke Heathrow di London pada awal 2 Ogos pergi ke utara Iran melalui Turkmenistan dan Azerbaijan, dan tidak menyeberangi Iran seperti yang dilakukan sehari sebelumnya.
Ini ditunjukkan oleh laman web penjejakan penerbangan, Flightradar24.
Bagaimanapun, sejumlah besar syarikat penerbangan pada 2 Ogos masih terbang di atas Iran, termasuk syarikat penerbangan Amiriah Arab Bersatu (UAE) Etihad, Emirates dan FlyDubai, serta Qatar Airways dan Turkish Airlines.
Sepanjang dua hari lalu, Air India, Kumpulan Lufthansa Jerman, syarikat penerbangan Amerika United Airlines dan Delta Air, dan ITA Airways Italy berkata mereka telah menggantung penerbangan ke Tel Aviv di Israel.
SIA dan Scoot baru-baru ini menyambung semula penerbangan melalui ruang udara Iran pada 27 Jun.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu pada mulanya menghentikan penerbangan di atas Iran mulai 13 April, selepas negara itu melancarkan serangan langsung pertamanya ke atas wilayah Israel pada 13 April.
Penerbangan terjejas termasuk penerbangan SIA antara Singapura dengan 14 destinasi – Amsterdam, Brussels, Copenhagen, Frankfurt, Istanbul, London, New York (JFK), New York (Newark), Manchester, Milan, Munich, Paris, Rome dan Zurich – serta penerbangan kendalian Scoot antara Singapura dengan Athens.
Pada 2022, SIA menggantung semua penerbangan antara Singapura dengan Moscow atas “sebab operasi”, di tengah-tengah tekanan semakin memuncak ke atas Russia berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.
Pada 2016 pula, SIA menghentikan semua penerbangan melalui ruang udara Ukraine selepas penerbangan Malaysia Airlines MH17 terhempas di wilayah timur negara itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg